Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Kemelesetan di Amerika Syarikat yang berlaku lebih tiga tahun dan yang terburuk sejak Kemelesetan Besar 1930-an, menyebabkan dunia turut terbabit. Sejak krisis kewangan tahun 2008, kemerosotan ekonomi dirasakan mungkin tidak berakhir. Di sesetengah negara, misalnya di Amerika Syarikat sendiri, kadar pengangguran masih tinggi, walaupun semakin berkurangan, iaitu masih 8.5 peratus - data terbaharu.
Beberapa buah negara di Eropah, seperti zon euro terus bergelut dengan krisis hutang. Bagi Greece seperti tidak ada tahun baru, dan kerajaannya memberikan kata dua untuk meninggalkan zon mata wang bersama itu dalam masa tiga bulan. Ireland yang sejak awal-awal lagi mengikut telunjuk Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) masih menanggung defisit yang tinggi dan kadar pengangguran mencecah 15 peratus. Sementara ekonomi Britain dijangkakan semakin teruk pada tahun ini. Keadaan tidak dapat membuat keputusan oleh pemimpin Eropah, bahas George Soros, memburukkan lagi keadaan dan menabur benih untuk krisis pada masa hadapan.
Dari segi sosial, krisis kewangan boleh membawa kepada banyak perceraian, seperti yang didedahkan oleh The Independent. Bagi rakyat Amerika pula, mereka tidak mudah luntur, waspada, dan berpecah belah, menurut kajian yang dijalankan oleh 11 Allstate/National Journal Heartland Monitor setiap suku tahun sejak April 2009. Kajian yang diterbitkan dalam The Atlantic menunjukkan rakyat Amerika tidak mudah luntur dalam mengekalkan keyakinan bahawa nasib ekonomi mereka akan pulih terutamanya atas usaha mereka sendiri, dan bukannya kerana kuasa yang besar di luar kawalan mereka; waspada dari segi sikap ragu-ragu yang mendalam mereka bahawa mereka boleh bergantung pada mana-mana institusi besar, daripada bank dan perbadanan besar kepada Kongres dan birokrasi persekutuan, untuk melindungi kepentingan mereka; berpecah belah dengan mendalam mengikut garis partisan, ideologi, dan kaum berhubung dengan peranan Washington dalam kehidupan nasional.
Dengan lebih 12,000 temu bual kumulatif, kajian itu menggambarkan negara berhempas-pulas untuk mengekalkan keyakinan terhadap kepercayan lama tentang peluang, mampu diri, dan ganjaran kerja kuat di tengah-tengah ketakutan yang menghantui bahawa dinamik baru ekonomi mendedahkan rakyat Amerika biasa kepada keadaan yang amat tidak terjamin dari segi kewangan berbanding dengan generasi terdahulu, dan menghukum negara kepada kitaran pemusnahan deburan dan pecah. Meskipun kajian ini menunjukkan bahawa masih wujud keyakinan terhadap pencapaian Impian Amerika, wujud perasaan pesimis yang menjadi-jadi bahawa anak-anak mereka akan menikmati taraf hidup yang melebihi atau sama dengan mereka.
Dari segi ekonomi, antaranya, rakyat Amerika secara keseluruhan percaya bahawa mereka mempunyai lebih banyak peluang jika dibandingkan dengan ibu bapa mereka, tetapi orang kulit putih berasa lebih tidak pasti tentang prospek mereka berbanding dengan golongan minoriti. Dengan margin yang besar, rakyat Amerika percaya mereka terdedah pada lebih banyak risiko berbanding dengan generasi terdahulu.
Dari segi politik pula, kajian menunjukkan bahawa Presiden Barack Obama menghadapi pendapat yang sangat berbelah bahagi tentang prestasi dan hala tuju beliau. Sebilangan kecil rakyat Amerika percaya mereka adalah lebih berada berbanding apabila Obama dipilih, tetapi negara hampir berpecah belah dari segi sama ada Presiden yang seterusnya mampu melakukan yang lebih baik atau akan melakukan yang lebih baik untuk bergerak maju. Kajian juga menunjukkan bahawa negara dipolarisasikan secara ketara bukan sahaja mengikut garis partisan, tetapi juga kaum. Meskipun wujud perasaan pesimis yang mendalam tentang hala tuju negara, tinjauan terbaharu menunjukkan beberapa tanda optimisme tentang hari-hari yang lebih baik menanti di hadapan.
No comments:
Post a Comment