Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Kemelesetan semasa yang melanda sesetengah negara sejak tahun 2007, kemudian ke seluruh dunia pada tahun 2009, meskipun bukan ulang tayang sepenuh Kemelesetan Besar, kesan yang ditinggalkannya cukup mendalam. Seperti yang diungkapkan dengan menarik oleh Kemal Dervis, "ketidakseimbangan global dan ketidaksamaan domestik." Ekonomi dunia kini, menurut pemerhatian Dani Rodrik, memasuki fasa baru yang untuk mencapai kerjasama global semakin sukar. Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, kini dibebani oleh hutang yang berat dan pertumbuhan yang perlahan, dan dengan itu, asyik leka dengan rasa bimbang domestik, tidak lagi mampu untuk menetapkan peraturan global dan mengharapkan orang lain mengikutinya. "Tadbir urus global tanpa pemimpin."
Tidak memadai hanya dengan menurunkan gred Perancis dan lapan negara lain di zon euro pada Jumaat lalu, Standard & Poor's (S&P) memotong penarafan kredit Kemudahan Penstabilan Kewangan Eropah daripada AAA kepada AA+.
Dari segi psikologi, mereka yang terjejas akibat kemelesetan, seperti kehilangan pekerjaan, atau kehilangan wang simpanan sepanjang hayat akibat krisis kewangan 2008-2009, hidup dalam kemurungan, hilangan keyakinan, dan harapan berkecai. Kesan tersebut hingga kini, tidak mudah reda.
Di Amerika Syarikat, seperti yang diperhatikan oleh Marian Wright Edelman, berlaku defisit: kemiskinan dan jurang yang lebar antara golongan kaya dengan miskin. Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, Joseph Stiglitz menulis dalam Social Europe Journal, baru-baru ini bahawa tahun 2011 akan dikenang sebagai tahun apabila banyak rakyat Amerika yang berasa optimis mula putus harapan. Memetik Presiden John F. Kennedy bahawa "air sedang pasang akan menaikkan semua bot," Stiglitz menegaskan bahawa "rakyat Amerika mula melihat bukan hanya bot dengan tiang yang tinggi dinaikkan lebih tinggi, tetapi juga bahawa banyak bot yang kecil didebur menjadi serpihan dalam olak buri itu."
Dalam detik ringkas apabila apabila air sedang pasang adalah benar-benar pasang, tulis Stiglitz, berjuta-juta orang percaya bahawa merka mungkin mempunyai peluang saksama untuk merealisasikan "Impian Amerika." Kini, impian tersebut juga pudar. "Pada tahun 2011, simpanan mereka yang hilang pekerjaan pada tahun 2008 atau 2009 telah dibelanjakan. Cek pengangguran mula kehabisan. Tajuk berita yang mengumumkan pengambilan baru pekerja masih tidak cukup untuk menampung bilangan mereka yang biasanya memasuki pasaran buruh, bermakna sedikit untuk mereka yang berusia 50 tahun dengan harapan untuk memiliki pekerjaan semula."
Bagi Stiglitz, orang yang putus harapan wujud di mana-mana sahaja, bukannya hanya terbatas di Ameika Syarikat. Keadaan serba tak kena terhadap Greece dan tumpuan kerajaan nasional utama terhadap jimat cermat mula membawa akibat buruk tahun lalu. Jangkitan merebak ke Italy. Pengangguran di Sepanyol, yang hampir 20 peratus sejak permulaan kemelesetan, meningkat lebih tinggi. Perkara yang tidak boleh difikirkan, iaitu berakhirnya euri, kini kelihatan seakan-akan kemungkinan sebenar.
"Tahun ini," tulis Stiglitz, bersiap sedia untuk bahkan lebih teruk. Jika mungkin, pastinya, Amerika Syarikat akan menyelesaikan masalah politiknya dan akhirnya menerima pakai langkah rangsangan yang perlu untuk mengurangkan pengangguran kepada enam atau tujuh peratus. Akan tetapi, mustahil sebagaimana Eropah tunjukkan bahawa jimat-cermat sahaja tidak menyelesaikan masalahnya. Sebaliknya, jimat-cermat akan memburukkan lagi kelembapan ekonomi. Tanpa pertumbuhan, krisis hutang, dan krisis euro hanya akan menjadi semakin teruk. Dan krisis yang panjang yang bermula dengan runtuhnya gelembung perumahan pada tahun 2007 dan kemelesetan yang berikutnya akan berterusan."
Lagipun, jelas Stiglitz untuk menunjukkan harapan yang terus suram, negara pasaran sedang muncul utama, yang mengharungi dengan jayanya ribut tahun 2008 dan 2009, mungkin tidak lagi dapat menampung masalah yang menjadi-jadi di dunia ini. Pertumbuhan di Brazil telah pun tegun, membangkitkan kebimbangan dalam negara jirannya di Amerika Latin.
Memang sejak akhir-akhir ini ada juga berita gembira tentang ekonomi, seperti turunnya kadar pengangguran di Amerika Syarikat kepada 8.5 peratus. Petunjuk makroekonomi untuk negara itu lebih baik daripada yang dijangkakan untuk beberapa bulan lalu. Pewujudan pekerjaan meningkat. Petunjuk untuk pembuatan dan perkhidmatan meningkat secara sederhana. Bahkan, industri perumahan menunjukkan beberapa tanda lega. Dan pertumbuhan penggunaan bingkas secara relatifnya.
Malangnya, berita ini tidak dapat meredakan kesuraman dan memadamkan kebimbangan. Meskipun data menggalakkan, Nouriel Roubini mengingatkan, pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat akan amsih lemah dan di bawah trend sepanjang tahun 2012. Bagi beliau, semua berita baik ekonomi baru-baru ini tidak boleh dipercayai.
Pertama, pengguna Amerika Syarikat masih dicabar pendapatan, dicabar kekayaan, dan dikekang hutang. Pendapatan boleh guna berkembang secara sederhana, meskipun kebekuan upah benar, kebanyakannya sebagai akibat potongan cukai dan bayaran pindahan. Akan tetapi, keadaan seperti ini tidak mapan.
Pada masa yang sama, pertumbuhan pekerjaan Amerika Syarikat masih tidak berapa baik untuk meninggalkan kesan terhadap kadar pengangguran keseluruhan dan pendapatan buruh. Amerika Syarikat perlu mewujudkan sekurang-kurangnya 150,000 pekerjaan setiap bulan secara konsisten hanya untuk menstabilkan kadar pengangguran.
Seterusnya, jelas Dr. Doom ini, ketidaksamaan pendapatan yang meningkat akan juga mengekang pertumbuhan penggunaan, kerana bahagian pendapatan beranjak daripada mereka dengan kecenderungan sut yang tinggi untuk berbelanja (pekerja dan golongan kurang kaya) kepada mereka dengan kecenderungan sut yang tinggi untuk menyimpan (firma korporat dan isi rumah kaya).
Dalam carta harian, The Economist, menunjukkan bahawa oleh sebab banyak ekonomi kaya menghadapi kemelesetan tahun ini, orang ramai di Britain, Amerika, Perancis, dan Jepun akan kurang berada atau kurang kaya pada tahun 2012 berbanding dengan keadaan mereka pada tahun 2007. Di Britain, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per orang jatuh lebih lima peratus berbanding dengan tahap prakrisis. Jerman dan negara BRIC adalah lebih baik. Outuput sebenar India per orang diramalkan 34 peratus lebih tinggi tahun ini berbanding dengan keadaan pada tahun 2007; peningkatan di China melebihi 50 peratus.
No comments:
Post a Comment