Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Meskipun banyak negara di dunia dikatakan keluar daripada kemelesetan dan mengalami pemulihan ekonomi pada tahun 2010, hakikatnya kesannya tidak berapa dirasai oleh kebanyakan golongan masyarakat. Hal ini demikian, selain pemulihan lemah dan pertumbuhan perlahan, kadar pengangguran masih tinggi, dan pastinya, ketiga-tiganya itu saling berkait. United Kingdom misalnya, dijangkakan berhadapan dengan risiko kemelesetan baru kerana pasaran buruh yang lemah.
Pertubuhan Buruh Sedunia (ILO) dalam laporan Global Employment Trends 2012 memaklumkan bahawa ekonomi global perlu mewujudkan 600 juta pekerjaan sepanjang dekad akan datang untuk memenuhi "cabaran segera" mengatasi legasi pengangguran yang ditinggalkan oleh kemelesetan dan menyediakan pekerjaan untuk mereka yang memasuki tenaga buruh.
Dalam laporan tahunannya tentang keadaan pasaran pekerjaan global, ILO menyatakan bahawa tiga tahun "keadaan krisis berterusan" menyebabkan 200 juta orang hilang pekerjaan. ILO menganggarkan 400 juta pekerjaan lagi, iaitu 40 juta setahun diperlukan sepanjang dekad akan datang untuk menyerap pertumbuhan dalam tenaga buruh antarabangsa.
Orang muda terus dihimpit dengan teruk oleh kekurangan pekerjaan, dengan hampir 75 juta orang berumur antara 15 hingga 24 tahun tanpa pekerjaan pada tahun 2011, meningkat empat juta orang sejak tahun 2007. Laporan itu menambah bahawa mereka di bawah 25 tahun adalah tiga kali berkemungkinan, seperti orang dewasa, tanpa pekerjaan.
Laporan berkenaan menyatakan bahawa 900 juta pekerja, kebanyakan di negara membangun, hidup dengan keluarga mereka dengan pendapatan kurang AS$2 sehari - garis kemiskinan global. Separuh daripada mereka hidup di bawah garis kemiskinan melampau, iaitu AS1.25 sehari.
No comments:
Post a Comment