Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Malam tadi, sambil menulis makalah untuk Dewan Budaya, saya sekali-sekala melayari beberapa akhbar antarabangsa untuk mengikuti berita terkini. Masuk ke The Huffington Post terpampang berita Eastman Kodak memfailkan kemuflisan selepas bertahun-tahun jualan menemui kegagalan.
Pernah mempelopori filem fotografik, Kodak cuba untuk menyusun semula untuk menjadi penjual produk pengguna, seperti kamera, dikatakan juga memperoleh kemudahan kredit 18 bulan yang bernilai AS$950 juta, daripada Citigroup untuk meneruskan perniagaannya.
Melihat berita yang agak memeranjatkan itu, saya terus terbayang akan buku Tom Peters and Robert H. Waterman Jr, In Search of Excellence yang Kodak turut tersenarai sebagai salah sebuah syarikat yang cemerlang. Buku itu pernah mencatatkan rekod buku terlaris ketika itu dan diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa, termasuk dalam bahasa Melayu (diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka), sering dirujuk dan dipetik, terutamanya untuk membincangkan budaya korporat yang sangat popular suatu ketika dahulu.
Walau bagaimanapun, buku tersebut mempunyai beberapa kelemahan, antaranya beberapa syarikat yang dianggap cemerlang, kemudiannya tidak lagi cemerlang, dan yang terbaharu ialah Kodak. Selain itu, syarikat yang dipilih untuk kajian oleh Peters dan Waterman, merupakan pelanggan berjaya di McKinsey, dan dengan itu, membangkitkan persoalan dari segi pengkaedahan atau metodologi. Mengetepikan syarikat yang tidak cemerlang dianggap kesilapan dari segi persampelan dengan andaian bahawa syarikat berkenaan juga mengamalkan apa yang diamalkan oleh syarikat cemerlang menurut Peters dan Waterman.
Melihat berita kemuflisan Kodak itu, saya juga terbayang akan pemusnahan kreatif apabila sesebuah syarikat hilang daya saing dan seterusnya menjadi usang sehingga terpaksa meninggalkan pasaran. Pada awal Mac 2010, editorial The New York Times muncul dengan "Saving the Post Office" menggambarkan keusangan dan ketenatan perkhidmatan tersebut. Sejak itu, masa hadapan pejabat pos sering menjadi persoalan.
Kini, tiba giliran Kodak, seperti yang dibahaskan oleh David Usborne dalam The Independent, "detik yang semuanya silap untuk Kodak." Syarikat filem terbesar di dunia ditewaskan oleh revolusi digital. Nama yang sentiasa di bibir isi rumah Amerika, dalam lima tahun lalu lenyap. Kesukaran kodak bermula 20 tahun lalu, dengan kemerosotan fotograpi filem Pada tahun 1990-an, Kodak melabur berbilion-bilion dolar untuk membangunkan teknologi mengambil gambar menggunakan telefon mudah alih dan peranti digital lain. Akan tetapi, Kodak menahan balik daripada membangunkan kamera digital untuk pasaran massa kerana bimbang membunuh pernaigaan filem yang penting segala-galanya.
Apa yang berlaku terhadap Kodak, seperti yang diungkapkan dengan cukup menarik oleh Rupert Neate dalam The Guardian, jatuh dalam "pemusnahan kreatif zaman digital" dan tumbang oleh kegagalan untuk melabur dalam rekaannya sendiri. Sebagaimana banyak pesaingnya, jelas bahawa Kodak tidak mampu melakukan peralihan ke abad ke-21. Lima tahun lalu, tidak dapat difikirkan bahawa legenda perniagaan Amerika ini mendapati dirinya jatuh muflis. Kodak terperangkap dalam perfect storm bukan hanya teknologi, tetapi juga perubahan sosial dan ekonomi.
No comments:
Post a Comment