Artikel Popular

Saturday, January 21, 2012

Pertembungan Fahaman Pelbagai Budaya

AHAD, 22 Januari  2012
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Dalam keluaran Januari 2011, Dewan Budaya memuatkan makalah “Berakhirnya Fahaman Pelbagai Budaya” yang antaranya memetik  Canselor  Angela Merkel yang mengisytiharkan   kegagalan fahaman  pelbagai budaya di Jerman.  “Pendekatan  pelbagai budaya ini, iaitu kita  hidup sebelah menyebelah dan hidup dengan gembira antara satu sama lain gagal. Benar-benar gagal,” tegas beliau.   Kegagalan fahaman pelbagai budaya di negara itu  menghangatkan lagi debat  tentang bagaimana untuk berurusan dengan berjuta-juta orang asing atau pendatang yang menganggap sesebuah negara itu sebagai negara mereka. 

Kemudian,  pada awal Februari tahun ini, Perdana Menteri  David Cameron  dengan nada yang lebih keras jika dibandingkan dengan Angela Merkel mengisytiharkan “perang beliau terhadap fahaman pelbagai budaya.”  Beliau melancarkan serangan hebat terhadap 30 tahun fahaman pelbagai  budaya di Britain, dengan memberikan amaran bahawan fahaman tersebut memupuk ideologi ekstremis dan secara langsung menyumbang terorisme Islam yang pada mulanya ditanam di negara sendiri.  Beliau berkata bahawa Britain mesti menerima pakai dasar “liberalisme otot” untuk menguatkuasakan nilai kesamaan, undang-undang, dan kebebasan bersuara  yang melibatkan setiap lapisan masyarakat.  Semua kaum imigran di Britain mesti bercakap bahasa Inggeris dan sekolah akan dijangkakan mengajar budaya bersama negara itu.  Beliau menyalahkan doktrin “fahaman pelbagai budaya negara” yang menggalakkan budaya yang berbeza menjalani kehidupan yang berasingan.  Bagi beliau, fahaman pelbagai budaya ini mendorong kegagalan sesetengah pihak untuk menghadapi perasaan gerun kahwin paksa, dan tambah beliau, “juga membiakkan keradikalan yang mendorong terorisme.”  Tegas Cameron, “kita sebagai kerajaan dan masyarakat mesti sanggup menghadapinya.  Daripada menggalakkan orang ramai hidup berasingan, kita memerlukan maksud yang jelas tentang identiti nasional yang dikongsi, yang terbuka untuk setiap orang.”
Penentangan terhadap fahaman pelbagai budaya tidak terhenti setakat perisytiharan oleh kedua-dua pemimpin itu dan oleh  sikap antiimigran dalam kalangan   parti sayap kanan di Eropah.    Pada akhir Julai lalu, penentangan  terhadap fahaman pelbagai budaya di benua itu benar-benar meletup apabila dunia dikejutkan dengan ledakan bangunan di Oslo dan serangan terhadap belia Parti Buruh yang menyertai perkhemahan di Pulau Utoya, Norway, yang meragut lebih 70 nyawa.  Keganasan yang dilakukan seorang diri oleh  Anders Behring Breivik yang menulis manifesto 2083:  A European Declaration of Independence   setebal 1518 halaman,  percaya perang untuk menyelamatkan Eropah daripada fahaman pelbagai budaya akan berakhir dalam masa 72 tahun lagi. Manifesto tersebut dipercayai  merupakan hasil tangan  Breivik, menyamakan liberalisme dan fahaman pelbagai budaya dengan "Marxisme budaya," yang dokumen itu menyatakan kemusnahan peradaban Kristian Eropah.
  Dia juga memperincikan manifesto itu yang diposkan pada Internet dan dihantar kepada lebih 1000 alamat e-mel sebelum dia melakukan keganasan,  yang sekali gus  membuktikan bahawa dia tidak  sendirian, kerana  banyak penerima, setiap seorang dialamatkan oleh Breivik "patriot Eropah Barat." Dia juga dikatakan hanya seorang daripada anggota  sayap kanan sulit yang antifahaman pelbagai budaya, anti-Marxis, antifeminis, antimasyarakat Islam, dan  "Knights Templar" yang ditubuhkan di London pada April 2002.  Pembunuh massa itu juga  berkongsi kepercayaan bahawa golongan liberal Eropah membolehkan orang Islam mengambil alih benua itu dengan falsafah  pelbagai budaya yang mereka perkenalkan. Dia mendesak orang lain mengikuti contohnya dengan membunuh sesiapa sahaja yang  bertolak ansur dengan Islam, termasuk bekas Perdana Menteri British,  Gordon Brown dan Putera Charles yang dianggap sebagai "pengkhianat." 
 “Mempertimbangkan manifestonya,” tulis  Malise Ruthven dalam blog The New York Review of Books, “Breivik merupakan manusia keterlaluan, dengan idée fixe tentang kejahatan Islam dan fahaman pelbagai budaya.  Dia percaya bahawa para pemimpin Eropah, terutamanya daripada parti-parti demokratik sosial, merupakan pengkhianat budaya yang mengakibatkan kerosakan yang tidak dikembalikan kepada keadaan sedia ada terhadap negara mereka.  Justeru, dia menyerang  Pulau Otoya, tempat berkembangnya belia demokratik sosial Norway, wadah pemimpin masa hadapan berkumpul.  Tambah Ruthven, dia mahu melihat semua orang Islam diusir atau dihantar pulang ke negara asal mereka, kecuali mereka membenarkan diri mereka memeluk kepercayaan Kristian atau “Kristian budaya.”  Pada penghujung manifestonya, Breivik berkata bahawa Eropah sepatutnya berusaha menjadi peradaban tempat perolehan kekayaan individu tidak lagi menjadi kuasa pemacu, dan tempat lebih banyak sumber komited ke arah kebaikan sosial, yang dia sebut “pengaturan kebajikan yang baik.”
Breivik mencatatkan  hari ke hari diari bulanan perancangan serangan itu, dan mendakwa menjadi sebahagian kumpulan kecil yang bertujuan untuk "merampas kawalan politik dan tentera negara Eropah Barat dan melaksanakan agenda politik konservatif budaya.” Dia meramalkan kebakaran besar yang akan membunuh atau mencederakan lebih sejuta orang, menambah, "Masa untuk berdialog telah berakhir.  Kita memberi peluang keamanan.  Masa untuk penentangan bersenjata sudah tiba.”
Dalam guardian.co.uk pada awal Ogos lalu,  Slavoj Zizek  menulis logik keji pilihan sasaran Behring Breivik yang berpegang pada justifikasi  sendiri  ideologi dan bertindak balas melakukan pembunuhan. Dia membina musuhnya, iaitu kombinasi tiga unsur (Marxisme, fahaman pelbagai budaya, dan Islamisme), yang setiap satu kepunyaan ruang politik yang berbeza:  sayap kiri radikal Marxis, liberalisme fahaman pelbagai budaya, fundamentalisme agama Islam.  “Breivik, bahas Zizek, “penyokong agama Kristian, tetapi kekal agnostik sekular, iaitu agama Kristian untuk dirinya semata-mata pembinaan budaya untuk menentang Islam.”
Editorial akhbar The Observer pada hari Ahad 24 Julai, iaitu sebaik-baik sahaja berlakunya dua serangan itu, mengulas:  “Penghijrahan dari negara membangun bermula secara relatifnya, lewat di Norway, iaitu pada tahun 1990-an, dan sesetengah orang Norway mendapati peralihan daripada homogen yang terlalu besar kepada masyarakat pelbagai budaya adalah sukar, Anders Behring Breivik adalah antaranya.  Dia menjelaskan dirinya dalam Facebook sebagai nasionalis, Kristian, dan konservatif, yang menentang kuat fahaman pelbagai budaya.”  Editorial tersebut memetik tinjauan pendapat pada bulan itu bahawa separuh daripada semua orang Norway mahu menutup sempadan negara mereka kepada kaum imigran baru, dan begitu banyak sekali lagi tidak percaya usaha integrasi berjalan dengan baik. Memetik tinjauan pendapat yang sama, editorial itu menambah:  sebanyak 80 peratus orang Norway bersetuju adalah “positif” untuk kanak-kanak pergi ke sekolah dengan kanak-kanak lain daripada “pelbagai budaya” dan kira-kira separuh mereka yang disoal percaya perniagaan Norway sepatutnya menggunakan lebih banyak tenaga kerja kaum imigran
Norway,  negara kecil dengan penduduk hanya 4.9 juta orang, kira-kira 10 peratus merupakan kaum imigran, terutamanya dari Poland, Sweden, Pakistan, dan Somalia.  Norway ialah negara kebajikan yang kaya,  dengan secara relatifnya, rendah ketidaksamaan pendapatan dan kadar guna tenaga yang tinggi dalam kalangan kaum imigran di negara Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD). 
Banyak orang  tidak menjangkakan Norway merupakan negara Eropah pertama diserang  sedemikian rupa oleh pelampau antifahaman pelbagai budaya.  Hal ini demikian kerana negara itu berfungsi dengan baik, masyarakat pelbagai budaya.  Sikap politik terhadap golongan minoriti adalah bersifat integrasi dan inklusif.  Di ibu negara Oslo, 20 - 25 peratus penduduk mempunyai latar belakang bukan orang Norway.  Imigran dari Pakistan, Turki, dan Maghribi pada akhir tahun 1960-an dan awal 1970-an memperkenalkan Islam di Norway, dan mencerminkan komposisi semasa penduduk Islam.  Angka terbaharu menunjukkan bahawa jumlah penduduk Islam di negara itu adalah antara 120,000 hingga 150,000 orang.  Norway berbeza daripada negara, seperti Denmark, Belanda, Switzerland, dan Perancis yang antifahaman pelbagai budaya memperoleh kuasa politik dan yang ketegangan antara golongan minoriti dengan majoriti adalah sengit.  Namun, tanggapan umum tidak dikongsi oleh  Behring Breivik; sebaliknya, dia menjadikan alasan ciri masyarakat Norway: terbuka, progresif, dan yang paling penting pelbagai budaya,  untuk dia melancarkan serangan nekad itu.
 Selain fahaman pelbagai budaya yang menjadi sasarannya,  Behring Breivik juga membangkitkan persoalan peradaban: mempertahankan peradaban Barat atau Kristian dan mencetuskan pertembungan peradaban.     Misalnya,   seorang bekas menteri dalam kerajaan Silvio Berlusconi,  iaitu Francesco Speroni, anggota utama Northern League, Itali, berkata, “idea Breivik adalah mempertahankan peradaban Barat.”
Dalam Oslo’s Clash of Civilizations” yang diterbitkan dalamThe Daily Beast,    Bruce Riedel menulis:  Fundamentalis Kristian yang matlamat adalah sama dengan al-Qaeda yang menamatkan dialog dan kembali kepada cara Zaman Pertengahan.  "Tragedi yang dahsyat di Norway mengingatkan bahawa puak pelampau Kristian dan Islam, kedua-duanya mencari pertembungan peradaban.  Mereka membiakkan kebencian terhadap satu sama lain, dengan harapan memusnahkan dialog dan perdamaian demi mewujudkan semula fantasi Zaman Pertengahan mereka." Tambah Riedel, "pejuang jihad berasa seronok terhadap pembunuhan mencerminkan pertemuan puak pelampau dalam kedua-dua komuniti dalam mengalu-alukan pertembungan antara Islam dengan Kristian.  Kedua-duanya terlalu ekstrem mahu dunia dipolarisasikan ke dalam kem berperang.  Bagi mereka,  perdamaian antara Islam dengan Kristian adalah musuh, dialog bahaya yang patut dihalang dengan apa-apa sahaja."   Dalam fantasi al-Qaeda, Kristian dan Yahudi tidak akan hidup di dunia Islam; Amerika dan Barat akan diusir keluar dari semua tanah yang dari segi sejarah kepunyaan Islam, dari Sepanyol ke Palestin ke Kashmir.  Dalam fantasi puak kanan pelampau, Islam akan diusir keluar dari Eropah dan Amerika.
Berikutan serangan ngeri itu, Pengerusi Hadiah Nobel Norway, Thorbjon Jaglan mengingatkan para pemimpin Eropah  jangan “bermain dengan api” apabila mereka menggunakan retorik sayap kanan ketika  membincangkan fahaman pelbagai budaya.  Jagland, bekas Perdana Menteri negara itu juga merupakan Setiausaha Agung Majlis Eropah mengingatkan, “Kita perlu sangat berhati-hati bagaimana kita  membincangkan isu ini, apakah perkataan yang digunakan.  Para pemimpin politik perlu mempertahankan hakikat bahawa masyarakat menjadi lebih pelbagai.  Kita perlu mempertahankan realiti ini, kalau tidak, kita akan terjebak dalam kucar-kacir.”
Sebelum berlakunya serangan ganas di Norway yang sekali lagi  menghangatkan  lagi debat  fahaman pelbagai budaya,   Kenan Malik  menulis dalam The New York Times pada awal Julai, sempena enam tahun serangan pengeboman berani  mati di kota London yang menurut beliau keradikalan berpunca daripada kegagalan dasar fahaman pelbagai budaya.  Malik dalam “Assimilation’s Failure, Terrorism’s Rise,” menulis:  “Fahaman pelbagai budaya  menjadi isu yang penuh ketegangan di seluruh Eropah sejak beberapa tahun ini.  Korus penuh dendam ahli politik populis, seperti Geert Wilders di Belanda dan Jimmie Akesson di Sweden, memperoleh kemenangan dalam pilihan raya dengan membangkitkan ketakutan tentang fahaman pelbagai budaya.  Ahli politik arus perdana juga turut serta.  Perdana Menteri David Cameron dari Britain and Canselor Angela Merkel dari Jerman baru-baru ini menyampaikan ucapan yang cukup kritikal, dan kerajaan Belanda memutuskan bulan lalu untuk meninggalkan dasar fahaman pelbagai budaya yang berusia satu dekad itu.”  Namun, tambah beliau, sasaran sebenar kebanyakan kritikan ini bukannya terhadap fahaman pelbagai budaya, tetapi imigresen dan kaum imigran, terutamanya orang Islam.
Bagi Kenan Malik, sebahagian kesukaran dalam pemikiran tentang fahaman pelbagai budaya adalah bahawa fahaman itu perlu  muncul untuk mempunyai dua makna yang jarang-jarang dibezakan.  Dari satu segi, fahaman pelbagai budaya merujuk masyarakat yang dijadikan berlainan oleh penghijaran massa, dan dari satu segi yang lain, merujuk dasar yang kerajaan laksanakan untuk mengurus kepelbagaian tersebut.  Kegagalan untuk membezakan antara makna ini yang menjadikannya mudah untuk menyerang fahaman pelbagai budaya sebagai satu cara  menyalahkan golongan minoriti  atas kegagalan dasar kerajaan.  “Cabaran yang mendepani Eropah hari ini,” tulis Malik, “oleh itu, bagaimana untuk menolak fahaman pelbagai budaya sebagai dasar politik, tetapi mengambil dengan tangan terbuka kepelbagaian yang imigresen  bawa. Tidak ada negara lagi yang berjaya melakukannya.”
Atas nama perang terhadap pengislaman dan fahaman pelbagai budaya, Anders Behring Breivik melakukan keganasan  yang mengejutkan dan mengerikan.  Meskipun dia melakukannya seorang diri, diakui bahawa dia mempunyai hubungan dengan kumpulan pinggiran politik, seperti English Defence League.  Dalam manifestonya dia memetik antaranya ahli politik Belanda,  Geert Wilders, sebagai inspirasi, terutamanya terhadap kejahatan fahaman pelbagai budaya. Melalui komen yang dia tulis pada laman Web menunjukkan dia sangat tidak menyukai fahaman pelbagai budaya, budaya imigran, idea sayap kiri atau Marxis, dan merasakan bahawa nilai Norway tradisional diancam oleh pendukung fahaman pelbagai budaya, orang Islam, dan politik sayap kiri.   Tindakan dahsyat yang dilakukan oleh Anders Behring Breivik nampaknya didorong oleh kebencian terhadap orang Islam dan rasa benci terhadap kepelbagaian budaya.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Budaya November 2011.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...