Artikel Popular

Saturday, January 7, 2012

Yoga: Kerja Syaitan dan Merosakkan Badan

SABTU,  7  Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Fatwa bahawa yoga adalah haram dalam kalangan umat Islam di negara ini "tergantung" sejak tiga  tahun.  Ketika fatwa itu dikeluarkan, heboh satu negara: "orang Islam karam di laut, orang bukan Islam karam di darat."  Sebuah akhbar berbahasa Inggeris di negara ini yang mempunyai sudut khas untuk menghentam orang Melayu/Islam, mengambil kesempatan untuk melibas orang Melayu/Islam sepuas-puasnya.  Selain Malaysia, pihak berkuasa di Indonesia  juga mengharamkan yoga dalam kalangan orang Islam di negara itu. 


Patutkah orang Islam yang warak mengamalkan yoga? tanya Azadeh Moaveni dalam Time  untuk membahaskan pengharaman itu,  sambil  mengingatkan orang Islam di Iran mengamalkan yoga. Bersama-sama makalah itu, disisipkan yoga orang Kristian di Amerika Syarikat

Tatkala pengharaman yoga tidak boleh dimuktamadkan kerana  wujud pelbagai tekanan, muncul pula larangan mengamalkan yoga dalam kalangan orang Kristian di Amerika Syarikat. Albert Mohler, Presiden Southern Baptist Theological Seminary,  mengingatkan bahawa yoga mengancam kepercayaan  Kristian tulen.  Amalan purba yoga yang bersebati dengan Hinduisme, adalah salah untuk orang Kristian, iaitu  menggayakan seperti memberi hormat matahari. Yoga bermula dan berakhir dengan memahami badan yang untuk dikatakan sekurang-kurangnya aneh dengan pemahaman Kristian. Orang Kristian tidak diminta untuk mengosongkan minda atau untuk melihat badan manusia sebagai cara berhubung dan untuk mengetahui Tuhan. 

Peringatan Albert Mohler bahawa bercanggah dengan Kristian dan menyeru penganut Kristian supaya mengelakkan yoga dan penyambungan kerohaniannya, dipetik secara meluas.  Beliau membantah "idea bahawa badan merupakan alat untuk mencapai kesedaran dengan Tuhan kerana amalaan itu bukan agama Kristian."  Mohler menyatakan bahawa beliau "benar-benar terkejut oleh kedalaman komitmen terhadap yoga wujud dalam kalangan penganut Kristian.


Peminat yoga di Amerika Syarikat, menurut kajian Yoga Journal  pada tahun 2008 berjumlah 15.8 juta orang, atau hampir tujuh peratus orang dewasa.  Kira-kira 6.7 peratus orang dewasa Amerika merupakan anggota Southern Baptist, menurut kajian tahun 2007 oleh Pew Research Center Forum on Religion & Public Life. 


Para pemimpin Kristian lain juga dipetik sebagai berkata bahawa amalan yoga bercanggah dengan ajaran Jesus.  Pat Roberstson menegaskan berdikir komponen kerohanian lain yang mengikut yoga "benar-benar menakutkan."  Bahkan pastor megachurch California, John  MacArthur menegaskan yoga "agama palsu."  Pengharaman amalan yoga di Mesir, Malaysia, dan Indonesia dengan kebimbangan yang sama juga dipetik. 


Sebagaimana larangan terhadap umat Islam di Malaysia, pastinya  larangan amalan yoga dalam kalangan penganut Kristian mencetuskan kontroversi. "Kumpulan Hindu membangkitkan debat tentang jiwa yoga," tulis Paul Vittelo dalam The New York Times pada akhir November 2010. Antara yang beliau petik ialah Dr.  Deepak Chopra yang "menolak kempen sebagai campur-aduk kesilapan sejarah dan nasionalisme Hindu." Vitello mendedahkan bahawa yoga merupakan industri multibilion yang menimbulkan pertikaian hak cipta, juga memetik penganjur  usaha Take Back Yoga yang menegaskan bahawa falsafah yoga pada mulanya dijelaskan dalam teks agama Hinduisme dan kekal sebagai teras ajaran Hindu.


Dalam mempertahankan yoga dan menghakis kekeliruan,  Liz Brody membincangkan asal usul yoga, yang mempunyai tradisi beribu-ribu tahun yang lalu.  Beliau juga mengingatkan bahawa yoga diamalkan secara meluas dalam kalangan penganut Kristian seolah-olahnya lupa bahawa "norma itu tidak semestinya peraturan."

Phillip Goldberg yang menulis dalam The Huffington Post,  berhujah bahawa yoga tidak mengancam Kristian dan meminta mereka agak bertenang. Untuk memulakan hujahnya,  beliau memetik tulisan Mohler yang mengatakan "Apabila penganut Kristian mengamalkan yoga, mereka mesti, sama ada menolak realiti apa yang yoga wakili ataupun gagal melihat percanggahan antara komitmen Kristian dengan penerimaan yoga mereka."


Janet I. Tu  tidak bersetuju dengan anggapan bahawa yoga ialah syaitan, dengan itu, menyertai kelas yoga yang kecil, anda menyertai kelas syaitan yang kecil.  Beliau mengingatkan bahawa larangan seperti itu   mencetuskan kegemparan bagi sesetengah penganut Kristian dan juga pengamal yoga sambil mengingatkan keserasian Kristian dengan agamaTimur.  Janet selain memetik Mohler, juga memetik Mark Driscoll daripada Mars Hill Church yang pergi lebih jauh dengan mengatakan pada awal tahun 2010 bahawa yoga ialah "fahaman jahiliah mutlak."  Beliau menegaskan  bahawa Driscoll dan Mohler percaya aspek fizikal yoga tidak boleh dipisahkan daripada asal-usul sejarahnya dalam Hinduisme dan agama Timur lain. 


Sesetengah pengamal yoga Kristian melihat amalan itu lebih mendekatkan lagi hubungan mereka dengan Jesus, tulis Lizette Alvarez dalam The New York Times.   "Yoga dapat menambah pengantaraan, rasa terhutang budi, dan perasaan yang tidak mementingkan diri sendiri. Banyak kelas yoga di New York tidak berpegang pada zikir dan teks  Sanskrit.  Akan tetapi, jika melakukannya, itu hanya jenis keuniversalan kepada pengajaran."


Kira-kira setahun berlalu, dan amalan yoga dalam kalangan penganut Kristian kelihatan reda, seperti juga dalam kalangan umat Islam di Malaysia, semasa di Umbria Film Festival di Terni, Pader Gabriel Amo dipetik sebagai berkata, "Mengamalkan yoga membawa kejahatan, seperti membaca Harry Potter. Kedua-duanya kelihatan tidak berbahaya, tetapi kedua-duanya berurusan dengan magik dan membawa kepada kejahatan."  Beliau menambah, "Yoga ialah kerja syaitan.  Anda lakukan yoga untuk meregangkan minda dan badan, tetapi membawa kepada Hinduisme.  Semua agama Timur ini berasaskan kepercayaan palsu penjelmaan semula."  


Selain dari aspek keagamaan, yang tidak penting dan menarik perdebatan tentang yoga ialah dari segi kesihatan dan keselamatan diri pengamalnya.  Hal ini didedahkan oleh William J. Broad yang menulis dalam The New York Times dua hari lalu, "bagaimana yoga boleh merosakkan badan anda."  Dalam tulisan itu, beliau mencatatkan pengalaman Glenn Black, guru yoga selama empat dekad yang pernah menuntut di Pune India.  Black yang begitu taksub terhadap yoga akhir memberitahu Broad, bahawa beliau percaya bahawa "majoriti besar orang ramai," sepatutnya meninggalkan yoga sama sekali.  Hal ini demikian kerana yoga berkemungkinan besar mendatangkan keburukan.




Seterusnya, Black memberitahu, "Hari ini, banyak sekolah yoga adalah hanya berkenaan dengan mendesak orang.  Anda tidak boleh percaya apa yang berlaku, guru melompat ke atas orang, mendesak dan menarik dan berkata, 'Anda sepatutnya mampu melakukan ini sekarang juga.' Sesuatu yang ada kena mengena dengan ego mereka."  Tambah Black, apabila guru yoga datang kepada beliau untuk badan selepas sengsara kerana trauma yang teruk, beliau memberitahu mereka, "Jangan lakukan yoga." Mereka kelihatan terpinga-pinga apabila mendengar nasihat sedemikian.


Dalam tulisan itu, Broad menegaskan semakin bertambah bukti perubatan yang menyokong pendapat Black bahawa untuk banyak orang, bilangan lazimnya mengajar yoga memang berisiko.  Laporan pertama tentang kecederaan yoga muncul dekad lalu, diterbitkan dalam beberapa jurnal yang paling dihormati di dunia, antaranya Neurology, The British Medical Journal, dan The Journal of the American Medical Association. Masalahnya merangkumi daripada kecederaan ringan secara relatif kepada kehilangan upaya selama-lamanya.


Bagi petaksub yoga di Malaysia, yang melalak mempertahankan amalan ini dahulu, pastinya sukar untuk menerima pesanan Paderi Gabriel Amorth itu.  Kalaupun mereka masih bermati-matian mempertahankannya bahawa tidak ada kena mengena dengan agama, bagaimana dengan tulisan William J. Broad, yang membahaskan yoga dari segi kesihatan dan keselamatan  pengamalnya?


Apabila difikirkan dengan penuh kebijakan dan kewarasan, maka dapat dikatakan bahawa keputusan Majlis Fatwa berhubung dengan amalan yoga dalam kalangan umat Islam, memang mempunyai alasan yang amat kukuh lagi konkrit.  Hanya apabila diasak serta ditekan dari segenap penjuru, terutamanya daripada ahli politik dan orang (Islam dan bukan Islam)berlagak pandai, pendirian Majlis Fatwa akhir goncang dan runtuh.  


Beberapa paderi  dengan berani mengatakan bahawa yoga boleh membawa kepada kejahatan, kerja syaitan, fahaman jahiliah, dan sama sekali bercanggah dengan Kristian, bagaimana pula pendirian pihak berkuasa Islam di Malaysia?

1 comment:

  1. KALAU TAK TAHU ATAU TAK FAHAM TOLONG DIAM

    YOGA CARA HIDUP YANG BAIK..................

    YOGA BUKAN AGAMA ,YOGA ADALAH SCIENCE.........

    KEBANYAKAN CARA HIDUP YOGA DAN BAHASA DI AMBIL PAKAI OLEH ORANG ASIA

    SEKARANG SIAPA SYAITAN?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...