Artikel Popular

Friday, January 6, 2012

Kehidupan Berakhir Ketika Berusia 45 Tahun

JUMAAT,  6  Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Kehidupan bermula apabila seseorang mencapai usia 50 tahun.  Begitulah kata-kata yang sering kita dengar, mungkin untuk menyedapkan hati, walaupun lebih sopan jika dibandingkan dengan fiil "miang-miang keladi - makin tua, makin menjadi."  Lelaki pertengahan umur yang sudah berkahwin dikatakan mempunyai rahsia kehidupan (seks)

"Meningkat tua bukannya sesuatu yang sepatut dilawan,"  tulis  Janet McCabe dan Deborah Jermyn dalam The Guardian dengan mengingatkan bahawa selebriti, seperti Daine Keaton, Nicole Kidman, dan Helen Mirren adalah semakin berumur dan berkembang maju.  Kedua-dua penulis ini merujuk Diane Keaton yang baru sahaja menerbitkan memoirnya, Then  Again, membayangkan menjadi ibu angkat ketika berusia 50 tahun dan mencium Jack Nicholson ketika berusia 57 tahun.  Diane Keaton meningkat tua dalam caranya sendiri yang unik. 

Selebriti, seperti Diane Keaton, Brigitte Bardot, dan Nicole Kidman meningkat tua sentiasa mendapat perhatian media.  Ahli akademik di seluruh United Kingdom kini mula menganalisis bintang filem ini dan bagaimana budaya selebriti memainkan peranan penting dalam membentuk tanggapan kita tentang umur, meningkat tua, dan semakin tua. 

Bintang filem, seperti Helen Mirren dan Julianne Moore terus mendapat peranan yang melepasi usia apabila kebanyakan seniwati Hollywood lenyap daripada pandangan mata orang ramai.  Bahkan, Mirren dan Moore lebih mencapai kejayaan dan lebih diraikan ketika mereka semakin tua.  Moore amat bangga dengan usianya yang mencecah 48 tahun. 

Namun keterujaan bahawa semakin tua semakin glamor, mungkin terjejas jika seseorang membaca tulisan Jeremy Laurence dalam The Independent bahawa kajian menunjukkan kuasa mental seseorang itu mula merosot apabila dia berusia 45 tahun. Dengan itu, mempersoalkan penyelidikan sebelum ini yang mengatakan bahawa prestasi kognitif, iaitu memori, kemahiran taakulan dan kefahaman tidak  mula merosot sehingga seseorang berusia 60 tahun.  

Kajian yang dijalankan dalam kalangan penjawat awam Whitehall sepanjang dekad, mendapati bahawa dalam kalangan mereka berusia 45 - 49 tahun pada mulanya adalah 3.6 peratus kemerosotan taakulan mental, baik lelaki mahupun wanita sepanjang 10 tahun akan datang. Dalam kalangan mereka berusia 65-70 tahun, kemerosotan meningkat kepada 9.6 peratus dalam kalangan lelaki dan 7.4 peratus dalam kalangan wanita sepanjang dekad yang berikutnya. 

Prestasi dalam taakulan, memori dan kefasihan lisan adalah semuanya terjejas.  Akan tetapi, perbendaharaan kata yang diketahui sedikit dipengaruhi oleh umur, adalah tidak terjejas. 

Peserta diuji terhadap kuasa taakulan mereka dengan 65 soalan yang melibatkan membuat kira-kira darab dua angka, melengkapkan corak atau memenuhi huruf berturutan.  Mereka mempunyai 10 minit, dengan yang terbaik mendapatkan semua 65 soalan betul. 


Benarkah minda seseorang tidak lagi cergas apabila dia mula berusia 45 tahun?  Bagaimana pula dengan lelaki yang lazimnya, "makin tua makin galak?"




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...