Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Tiba di Lebuh Pasar Besar menghala ke Lebuh Ampang, masih sesak, saya sempat memerhatikan keadaan sekitar yang dibanjiri oleh warga asing (pastinya bukan pelancong asing). Kedai-kedai yang pada suatu masa terkenal, kini berubah wajah, menjual barang dan menyediakan perkhidmatan yang diperlukan oleh mereka. Tidak seperti dahulu, kedai-kedai ini sudah jatuh standard.
Saya sempat berbual dengan isteri saya tentang kawasan ini yang lebih dikenali "Bangkok Bank" yang suatu masa dahulu perhentian bas yang agak sibuk dengan warga kota. Di sekitar kawasan ini, terletak kedai kain yang terkenal, seperti Mun Loong (pada tahun 1990-an, pernah disenaraikan di Bursa Malaysia) dan Fuh Nam.
Dalam pada itu, fikiran saya menuruni jejak memori di "Bangkok Bank" yang terkenal sebagai tempat menunggu: menunggu kawan, menunggu kekasih, menunggu pasangan. Kini, warga asing yang terdiri daripada pekerja berkampung dan berkubu di sini yang mengaburkan sempadan negara bangsa. Dan, tidak juga menggambarkan budaya kosmopolitan. Ketika tiba di lampu isyarat, saya sempat menoleh ke Jalan Tun Tan Siew Sin (dahulu dikenali Jalan Silang) yang juga menjadi perkampungan warga asing ini. Ketika tersekat di lampu isyarat untuk ke Lebuh Ampang yang juga sesak, saya dapati ada warga asing ini lepak di bangunan yang terletak di sebelah kanan saya.
Jauh di sudut hati, saya memikirkan bahawa Kuala Lumpur berubah wajah menjadi huduh dengan berkampung dan berkubunya warga asing di sesetengah kawasan. Pada tahun 1980-an, heboh sekejap dengan kehadiran warga Indonesia di kawasan Chow Kit. Kemudian, warga asing "menawan" satu demi satu kawasan kota raya ini. Beberapa tahun lalu, iaitu pada tahun 2008, pada waktu pagi, saya pernah melihat warga asing "menjaja" pakaian di kaki lima Jalan Sultan. Saya juga pernah melihat mereka berkumpul dan mundar-mandir di belakang hotel murah di Jalan Petaling. Saya diberitahu bahawa Jalan Petaling juga dipenuhi oleh peniaga asing (saya tidak pasti kerana sudah lama saya tidak meninjau-ninjau di situ). Faktor utama ialah generasi baru tidak berminat meneruskan perniagaan keluarga mereka dan tiadanya tenaga kerja tempatan yang sedia berkhidmat. Faktor tenaga menyebabkan berakhirnya Chinatown di San Francisco, seperti yang dicatatkan oleh Bonnie Tsui dalam The Atlantic keluaran Disember.
Apabila banyak warga asing (yang terdiri daripada pekerja dan bukannya pelancong asing) boleh mencemarkan imej kota raya Kuala Lumpur. Melihat kehadiran mereka, fikiran saya sering dihantui oleh pertanyaan yang berbaur resah: Apa akan jadi terhadap kota raya ini? Pastinya, bukan warga kosmopolitan; bukan juga penjaja dan kota; bukan tempat perantau; bukan kaum tani yang dibandarkan. Pastinya juga bukan lumpenproletariat - memetik istilah Karl Marx.
Sebenarnya, imej dan status sesebuah kawasan ditentukan oleh penghuni dan pengunjungnya. Demikian juga dengan "Bangkok Bank" yang pernah menjadi daya tarikan, tempat warga kota berkumpul menunggu bas dan menunggu "sesuatu," mula muncul dengan wajah yang ngeri, seolah-olah diterokai oleh warga asing, meskipun muncul sekali-sekala, lazimnya hari minggu atau hari cuti umum.
Sebenarnya, imej dan status sesebuah kawasan ditentukan oleh penghuni dan pengunjungnya. Demikian juga dengan "Bangkok Bank" yang pernah menjadi daya tarikan, tempat warga kota berkumpul menunggu bas dan menunggu "sesuatu," mula muncul dengan wajah yang ngeri, seolah-olah diterokai oleh warga asing, meskipun muncul sekali-sekala, lazimnya hari minggu atau hari cuti umum.
Yang jelas, kita mengalami keterhakisan budaya dan jati diri kebangsaan - sesuatu yang pastinya tidak didengar, dan bahkan menggusarkan. Dan seterusnya, keterhakisan kesahan dan kedaulatan.
Kereta saya dengan perlahan memasuki Lebuh Ampang, kemudian membelok ke Jalan Melaka yang tidak lagi sesak - yang suatu masa dahulu, wujud perhentian bas di sebelah Bank Standard Chartered (kini, sudah berpindah), bertentangan tidak jauh dari Bangunan AIA, dan Restoran Bilal menjadi kunjungan ramai (kini, pudar ditelan zaman). Namun, angin gusar masih belum reda!
No comments:
Post a Comment