Artikel Popular

Sunday, January 8, 2012

Buah Dada Perlu Kawal Selia Kesatuan Eropah

AHAD,  8  Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Skandal  implan buah dada yang melibatkan kira-kira 40,000 orang wanita Britain  yang mendapatkan perkhidmatan syarikat Perancis, Poly Implant Prothese (PIP) belum reda.  Kira-kira 3000 orang wanita di United Kingdom yang melakukan implan dijangkakan terdedah pada bahaya. Kesilapan besar implan silikon membawa cadangan supaya penjagaan kesihatan swasta memerlukan penelitian pihak berkuasa.  

Bos PIP, Jean-Claude Mas, yang dikehendaki oleh Interpol memberitahu bahawa mangsa implan buah dada hanya merupakan pembolot wang. Dia memberitahu polis Perancis ketika temu  bual bahawa dia "tidak ada apa-apa yang ingin dikatakan" kepada 300,000 wanita di seluruh dunia yang menerima implan substandard.  Sementara klinik yang terlibat dengan implan PIP itu dilaporkan  enggan mengeluarkan implan itu secara percuma sebagai "tanggungjawab moral."

Berikutan  implan yang salah itu, pembedahan komestik mula diperkatakan dan dipersoalkan.  Alexander Edmonds yang menulis dalam Los Angeles Times cuba berhujah bahawa sudah tiba masanya pembedahan kosmetik dilarang.  Sementara editorial The Observer pada hari ini mencadangkan pembedahan kosmetik mempunyai kawal selia yang betul. Apabila tercetus riuh-rendah seperti ini, maka selain peraturan dan kawal selia, tidak ketinggalan juga  petua untuk kaum wanita supaya mereka sentiasa sihat, seperti yang dinasihatkan oleh Elizabeth Hurley

Tidak cukup dengan tindakan kerajaan  British dan Perancis untuk menyelesaikan masalah oleh wanita yang melakukan implan buah dada, Kesatuan Eropah juga turut mengambil tindakan.  Pegawai kanan Kesatuan Eropah di Brussels, seperti yang dilaporkan oleh The Independent, hari ini, merangka kawal selia baru di seluruh Eropah untuk melindungi wanita daripada implan buah dada yang salah. 

Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy yang memainkan peranan penting dalam mencari jalan penyelesaian krisis hutang di zon euro, sekali lagi memainkan peranan apabila kerajaannya mencadangkan arahan baru daripada Kesatuan Eropah terhadap peranti perubatan akan mengetatkan rejim pemeriksaan yang ketat untuk syarikat pembuatan implan silikon dan memastikan setiap implan yang salah boleh dikesan semula kepada pengeluaran, iaitu dua faktor utama di sebalik skandal implan Perancis. 

Suruhanjaya Eropah mengesahkan bahawa mereka mempertimbangkan untu mengemaskinikan kawalan yang sedia ada demi memastikan bahawa setiap negara Kesatuan Eropah menggunakan langkah ketat yang sama terhadap pengeluaran dan pembedahan.

Nampaknya, Kesatuan Eropah yang masih bergelut dengan krisis hutang beberapa negara anggotanya, kini dibebankan dengan tugas baru, iaitu mengawal selia implan buah dada.  Wanita yang gilakan kecantikan, tetapi Kesatuan Eropah yang terpaksa menanggung beban.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...