Artikel Popular

Wednesday, January 4, 2012

Pendidikan Golongan Serba Kekurangan

RABU,  4  Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Jangan keliru, tulisan ini bukan  memperkatakan   Pedagogy of the Oppressed oleh Paulo Freire.  Sekadar menyatakan beberapa kajian tentang pendidikan di Amerika Syarikat dan  England bahawa taraf sosioekonomi ibu bapa dan peruntukan  kerajaan penting dalam menentukan prestasi  pelajar.  

Di Amerika Syarikat, seperti yang dilaporkan oleh The Huffington Post, pendapatan dan pendidikan ibu bapa mempunyai hubung kait dengan jurang pembelajaran. Akhbar itu memetik laporan Brookings Institution yang baru sahaja diumumkan bahawa kemampuan kanak-kanak untuk belajar bermula lama sebelum mereka memasuki bilik darjah, dan bahawa jurang tersebut boleh membawa kesan yang berpanjangan terhadap mobiliti kelas sosial.  

Dapatan kajian itu menunjukkan bahawa banyak kanak-kanak dan belia yang datang daripada keluarga yang mempunyai status sosioekonomi yang rendah mempunyai prestasi yang teruk di sekolah.  Secara purata, mereka mencapai prestasi jauh lebih rendah berdasarkan ujian yang dipiawaikan berbanding dengan belia yang lebih maju dan kemungkinan kurang berpeluang untuk menjadi siswazah sekolah tinggi dan menamatkan pengajian kolej.  Tahap rendah pencapaian akademik dan pencapaian pendidikan ini menyumbang kepada tahap rendah kejayaan ekonomi  masa dewasa  dan mobiliti sosial yang rendah dalam masyarakat Amerika. 

Sementara di England,  kajian The Guardian menunjukkan bahawa murid-murid dinafikan nasihat kerjaya ketika catatan pengangguran belia, sekolah mengikis projek untuk membantu kanak-kanak yang serba kekurangan mengikuti pembacaan mereka, dan para guru muzik, seni, dan sukan hilang pekerjaan mereka. Kajian akhbar itu menunjukkan kesan pemotongan perbelanjaan kerajaan terhadap pendidikan. 

Kajian menunjukkan bahawa belanjawan yang merosot telah mengurangkan secara signifikan julat dan kualiti pendidikan yang ditawarkan kepada semua murid di seluruh England, daripada kanak-kanak sedang bertatih kepada remaja.  Bahkan, sekolah-sekolah di kejiranan yang serba kekurangan yang terpaksa melakukan pemotongan yang sangat besar, meskipun menerima premium murid-murid, yang tahun ini (2011) menyamai tambahan 488 paun sterling untuk setiap kanak-kanak yang menerima makanan sekolah percuma. 

Mungkin penggubal dasar dan para pendidik di negara kita boleh mempelajari sesuatu yang bermanfaat daripada kajian yang dinyatakan itu. Dalam bidang pendidikan boleh dikatakan bahawa "padang permainan tidak sama rata."  Justeru, suatu malapetaka jika pihak kerajaan sentiasa tunduk kepada kehendak dan tuntutan golongan berada atau atasan dalam menggubal dan melaksanakan dasar pendidikan di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...