Artikel Popular

Friday, January 20, 2012

Jimat-cermat Membawa Padah

JUMAAT,  20  Janauri 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Amaran demi amaran diberikan tentang bahaya  pelaksanaan langkah jimat-cermat tatkala pemulihan masih lemah dan pertumbuhan perlahan, yang terbaharu oleh Robert Shiller.  Namun, banyak negara, terutamanya di Eropah tidak mempedulikannya, sebaliknya benua itu  begitu ghairah melaksanakan jimat-cermat, walaupun mendapat tentangan rakyat, seperti yang berlaku di Greece.  

Amaran juga  datang daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, dan Organisasi Perdagangan Sedunia (WTO) tentang risiko ekonomi dan sosial program jimat-cermat dalam "seruan untuk bertindak" yang direka untuk merangsang pertumbuhan dan menentang fahaman perlindungan.

Melahirkan kebimbangan tentang kelemahan aktiviti ekonomi dan pengangguran yang meningkat, Christine Lagarde daripada IMF, Robert Zoellick, dan Pascal Lamy dari WTO, bersama-sama lapan institusi pelbagai hala dan serantau menyeru supaya dilaksanakan dasar untuk mewujudkan pekerjaan, menyelesaikan ketidaksamaan, dan menyuburkan ekonomi global.  Kenyataan yang dibuat sebelum mesyuarat tahunan di Davos minggu hadapan, di tengah-tengah kebimbangan bahawa 2012 akan menyaksikan ekonomi global akan terjebak semula dalam kemelesetan sebagai akibat krisis zon euro. 

IMF juga mengeluarkan amaran bahawa pemulihan global diancam oleh ketegangan yang semakin menjadi-jadi di kawasan euro.  Sementara pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dipotong daripada empat peratus kepada 3.3 peratus, dengan semakan drastik untuk lengkok negara di Eropah Selatan.  Ekonomi Italy akan menguncup sebanyak 2.2 peratus dan Sepanyol sebanyak 1.7 peratus kerana langkah jimat-cermat fiskal membawa kesan buruk dan bank-bank pula mengawal pinjaman. Zon euro secara keseluruhan akan menguncup sebanyak 0.5 peratus, jatuh daripada pertumbuhan 1.1 peratus - ramalan terakhir IMF September lalu. Khusus untuk Amerika Syarikat, Kongres dan euro dikatakan boleh menggelincir pertumbuhan ekonomi negara itu.

Jelas bahawa langkah jimat-cermat membawa padah, tetapi sesetengah pemimpin dan penggubal dasar masih tidak mengendahkannya. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...