Artikel Popular

Sunday, January 8, 2012

Mencari Model

ISNIN, 9  Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Bab mencari model, barangkali  tidak ada orang  yang  dapat menandingi Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy.  Beliau bukan sahaja bijak memilih model yang jelita dan glamor sebagai pasangan hidupnya, iaitu Carla Bruni, tetapi juga bijak mencari model terbaik untuk menyelamatkan negaranya daripada krisis kewangan dan  ekonomi.  Di tengah-tengah krisis kewangan melanda dunia, gambar Presiden Perancis itu dilukis sedang membaca  Das Kapital  Karl Marx, walaupun beliau merupakan penganut setia pasaran bebas.  Beliau juga dengan berani memperkenalkan model baru bagi menyusun semula fundamental kuasa kewangan global untuk menggantikan kuasa dominan yang dimiliki oleh dolar sejak Perang Dunia Kedua.

Memang tepat jika orang berkata bahawa “memerlukan model untuk memukul model.” Tatkala dunia menyaksikan kegagalan ekonomi dan ahli ekonomi,  maka inilah masa yang sesuai untuk mengemukakan idea besar yang baru.  Dan, tatkala orang tertanya-tanya siapakah yang berani mengemukakan idea seperti itu, Sarkozy muncul dengan berani untuk menyahut suatu cabaran dan memenuhi  sebuah pencarian. Pada awal tahun 2009, beliau dan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair menjadi tuan rumah simposium  “New World, New Capitalism.” Simposium yang berlangsung di Paris itu sebahagiannya dicetuskan oleh idea tentang kapitalisme lama dan kapitalisme baru.  Kedua-duanya, Sarkozy dan Blair memperlihatkan penyampaian yang lancar tentang perlunya perubahan.
Menyedari bahawa kekayaan yang meningkat tidak bermakna bahawa orang ramai lebih berasa puas hati, maka ahli ekonomi dan ahli politik memikirkan sesuatu yang melampaui pertumbuhan untuk menyelesaikan persoalan kesejahteraan. Dalam memikirkan  bagaimana untuk memastikan   kerajaan mengambil kira sepenuhnya kebahagian dan kesejahteraan warganegaranya, kejayaan kerajaan tidak boleh lagi diukur oleh  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata. 
Dengan menerapkan “pemusnahan kreatif”,   Eric Zencey, melalui makalahnya “G.D.P. R.I.P.” yang diterbitkan dalam The New York Times pada awal Ogos, berkata bahawa jika wujud sinar harapan untuk kemerosotan ekonomi semasa, maka konsep  yang diperkenalkan oleh ahli ekonomi, Joseph Schumpeter, ialah jawapannya.  Bagi Zencey, pemusnahan kreatif juga boleh diterapkan dalam konsep ekonomi:  kegagalan struktur ekonomi yang lapuk dan penggantiannya dengan struktur baru yang lebih sesuai.  “Dan,” tulis Zencey, “kemerosotan ini menawarkan peluang yang sangat baik untuk menghapuskan KDNK yang tidak berguna lagi.” 
 Sarkozy turut terlibat dalam  gagasan besar yang melampaui kebijaksanaan  konvensional  apabila pada September lalu  beliau  mahu negara-negara di dunia berhenti menggunakan KDNK sebagai ukuran utama prestasi ekonomi sesebuah negara.  Selain mengambil kira pengeluaran ekonomi, beliau mengesyorkan faktor, seperti kualiti alam sekitar, dan malahan masa yang tidak dihabiskan dalam lalu lintas – jenis indeks kepuasan negara kasar.  “Sejak bertahun-tahun,” kata Sarkozy, “kita mengisytiharkan dunia kewangan sebagai pencipta kekayaan hingga kita belajar satu hari bahawa dunia kewangan mengumpulkan terlalu banyak risiko yang menghumbankan kita ke dalam keadaan kelam-kabut.”
Cadangan Sarkozy tentang kejayaan ekonomi yang tidak diukur melalui KDNK,  mendapat pelbagai respons daripada tokoh perniagaan dan budaya, meskipun diakui  bukanlah suatu tugas yang mudah, tetapi ada yang positif.  Angel Gurria, Setiausaha Agung Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang menjalankan kerja yang cukup besar tentang bagaimana untuk bergerak melampaui KDNK, dalam reaksi terhadap cadangan Sarkozy, menampilkan jurang antara apakah yang ditunjukkan oleh statistik dengan bagaimanakah perasaan warganegara biasa.
 “Jurang ini boleh dengan jelas merosakkan kedua-dua, iaitu terhadap kredibiliti debat politik dan tindakan dan terhadap fungsi yang betul-betul demokrasi,” ulas Gurria.  “Sumber ekonomi tidak semuanya penting dalam kehiduapan orang ramai.  Kita memerlukan ukuran yang lebih baik tentang jangkaan dan tahap kepuasan orang ramai, tentang bagaimana mereka menghabiskan masa mereka, tentang hubungan mereka dengan orang lain.”
Sementara Joseph Stiglitz memberitahu The Observer, “Dengan melihat KDNK, perkara  pertama, anda tidak tahu sama ada apa yang  berlaku adalah mapan, dan pastinya, tidak. Perkara kedua, apabila anda menambah apel dan oren untuk membentuk KDNK, anda menggunakan harga, dan harga mencerminkan nilai relatif yang orang ramai letakkan pada apel dan oren.
  Heather Stewart menulis “Forget GDP: Happiness is the Secret of Success” dalam The Observer bahawa   Perancis ialah tanah yang segala-galanya terbaik.  Oleh itu,” tulis Stewart, “tidak memeranjatkan Nicolas Sarkozy mahu mengeksport gemar Perancis untuk kehidupan yang baik ke seluruh dunia.”  
Sebaliknya, Brian Domitrovic dalam The Wall Street Journal mengkritik Sarkozy yang mahu mentakrifkan semula pertumbuhan ekonomi boleh diibaratkan “anggur masam.”  Dalam makalah, “Gross Domestic Happiness?” Domitrovic mendakwa bahawa Perancis mempunyai alasan yang sangat baik untuk menyekat statistik KDNK:  “Sejak tahun 1982, dalam kalangan negara maju, Perancis memang ketinggalan dalam pertumbuhan KDNK.  Dalam tempoh suku abad selepas 1982, kadar pertumbuhan KDNK Perancis aadlah hanya 2.1 peratus setahun berbanding dengan Amerika 3.3 peratus setahun.”
Sebenarnya, Sarkozy tidak keseorangan dalam mencari atau  bercakap tentang “model,” malahan   Menteri Ekonomi Perancis Christine Lagarde mengikut jejak beliau dengan  mendakwa bahawa model Perancis kini di pentas dunia. Setelah lebih satu dekad syarahan Perdana Menteri Britain Gordon Brown tentang perlunya membiarkan pasaran rabak, kini tiba giliran Perancis untuk gelak.  Nyata bahawa Lagarde bangga bahawa sistem kewangan negaranya telah pun bangkit daripada krisis, sedangkan Allistair Darling baru sahaja mengumumkan peruntukan 40 bilion paun lagi untuk menyokong bank-bank Britain. Beliau berkata, “Oleh sebab model bank kami dan tahap penyeleliaan yang kami ada di Perancis, bank-bank kami berkedudukan lebih baik dalam krisis berbanding bank-bank di United Kingdom dan kami tidak perlu memiliknegarakan mana-mana bank.” 
            Lagarde juga mengemukakan alasan Perancis keluar daripada kancah kemelesetan, sebahagiannya kerana sistem perbankan di Perancis lebih kecil merupakan suatu kekuatan.  Beliau turut memuji model yang diperkenalkan oleh Presidennya: “Dasar campur tangan kerajaan Sarkozy bersama-sama jaringan keselamatan sosial Perancis yang terkenal lebih murah hati merupakan faktor yang penting.” Dan, tambah beliau, “Sistem kebajikan yang kami miliki, iaitu kami lebih banyak membelanjakan duit awam berbanding dengan United Kingdom, iaitu model ekonomi yang agak berbeza.”
Kini, di mana-mana sahaja orang mencari model baru. Di Malaysia, kita sering mendengar pemimpin negara, ahli politik, dan cerdik pandai menyebut model ekonomi baru sebagai usaha untuk melaksanakan transformasi ekonomi. Semasa Persidangan Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik yang berlangsung di Singapura pada November lalu, perlunya model ekonomi baru diberikan penekanan. Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan ketika tamatnya persidangan itu,  para pemimpin diingatkan tentang perlunya mencari paradigma pertumbuhan baru dan model baru untuk integerasi ke dalam komposisi ekonomi global pada abad ke-21. Mereka tidak boleh berpatah balik kepada pertumbuhan atau perdagangan berasaskan model biasa kerana landskap pascakrisis adalah berbeza.  Persidangan yang berlangsung di Singapura pada November lalu menolak semua bentuk fahaman perlindungan dan mencari jalan untuk mengurangkan sekatan perdagangan dan pelaburan.
Krisis yang berlaku sekarang  bukan sahaja menyaksikan kapitalisme, pasaran bebas,  globalisasi, dan neoliberalisme “dihadapkan ke muka pengadilan”, tetapi juga ahli ekonomi dan ekonomi dipersalahkan.  Ahli ekonomi kerana sebahagiannya berpunca daripada psikologi penafian,  gagal mengesan krisis yang akan berlaku;  kalaupun mereka dapat mengesannya, mereka tidak menjangkakan bahawa krisis itu begitu teruk.  Wujud kekecewaan yang meluas terhadap ahli ekonomi kerana mereka tidak meramalkan atau mencegah krisis kewangan tahun 2008.
Seperti yang pernah dihujahkan, kritikan dalaman menegaskan bahawa ahli ekonomi terlepas asal-usul krisis; gagal untuk menyedari sepenuhnya simptonnya  yang teruk; dan kini, tidak boleh bersetuju tentang penyelesaiannya.  Ahli ekonomi silap membaca ekonomi yang dalam  perjalanan meningkat, silap membaca ekonomi yang dalam perjalanan menurun, dan kini silap dalam perjalanan keluar.  Juga dihujahkan bahawa amat banyak ahli makroekonomi dan profesion kewangan pergi terlalu jauh dengan mengikut arahan “jangkaan rasional” dan “pasaran cekap” yang menyebabkan mereka gagal mempertimbangkan dinamik yang paling penting yang mendasari krisis ekonomi yang berlaku sekarang.  Sejak 30 tahun lalu, makroekonomi memasuki arah yang salah.  Dalam percubaan untuk gerakan pembersihan ekonomi dan menjadikannya lebih saintifik, standard makroekonomi telah mengenakan struktur dan disiplin penyelidikan dengan memberikan tumpuan terhadap bagaimana ekonomi akan berkelakuan jika orang ramai hanya mempunyai motif ekonomi dan jika mereka juga rasional sepenuhnya.
Krisis ekonomi dan kewangan memaklumkan detik untuk profesion ekonomi kerana krisis itu meletakkan banyak idea yang wujud jika sains ditakrifkan oleh keupayaannya untuk meramalkan masa depan, kegagalan banyak profesion ekonomi untuk melihat krisis yang melanda sepatutnya menimbulkan rasa prihatin yang mendalam. Namun begitu, pada hakikatnya, wujud kepelbagaian yang besar dari segi idea dalam kalangan profesion ekonomi berbanding dengan yang sentiasa disedari. Ekonomi menjanakan  kekayaan idea yang banyak daripadanya menegaskan bahawa pasaran tidak semestinya sama cekap atau stabil, atau bahawa ekonomi dan masyarakat kita tidak dijelaskan dengan baik oleh model standard keseimbangan persaingan yang digunakan oleh majoriti ahli ekonomi. Demikian  tegas  Joseph Stiglitz dan George Arkelof,  dalam The Guardian.
“Sejak tiga dekad lalu,” tulis kedua-dua Penerima Hadiah Nobel ini, “satu lembar dalam kalangan profesion ekonomi ialah membina model yang  mengandaikan pasaran berfungsi secara sempurna.  Andaian ini membayangi sebahagian besar penyelidikan yang luas yang membantu menjelaskan mengapa pasaran sentiasa berfungsi tidak sempurna – mengapa sesungguhnya, berlaku kegagalan pasaran secara berluasa.”
Beberapa makalah dalam  The Economist keluaran 16 Julai tentang keadaan ekonomi merupakan percubaan yang menarik untuk mempersoalkan dua bidang, iaitu makroekonomi dan ekonomi kewangan yang dikatakan dikuasai oleh pandangan orang yang mengambil kesempatan terhadap krisis untuk menyatakan semula kritikan yang mereka lemparkan lama sebelum tahun 2008.  Antaranya, makalah “The Other-Worldly Philosophers” yang bermula dengan “walaupun krisis ini mendedahkan pembahagian yang pahit dan getir dalam kalangan ahli ekonomi, tetapi masih baik untuk ekonomi.”  Kemudian,   berubah kepada kritikan  dengan berkata selama 30 tahun latihan makroekonomi di universiti-universiti Amerika dan British banyak membuangkan masa.
 “Bagi mereka yang tidak tahu,” tulis makalah ini, ekonomi selalunya menjadi sains yang muram, tetapi kritikan ini datangnya daripada ahli ekonomi sendiri, seperti Brad DeLong, Paul Krugman, dan Willem Buiter.  Krisis makro ekonomi sejak dua tahun lalu juga membangkitkan krisis keyakinan terhadap makroekonomi.”  Makalah itu juga menyebut ketakutan   Krugman bahawa kebanyakan makroekonomi dalam 30 tahun lalu ialah spectacularly useless at best, and positively harmful at worst.”  Bagi beliau, kita hidup sepanjang “Zaman Gelap makroekonomi,” iaitu kebijaksanaan purba telah hilang.
Ekonomi merupakan ratu sains sosial,  manakala  ahli ekonomi merupakan ahli sains sosial yang mencuba untuk memahami dunia sebenar.  Dan, krisis kewangan dan ekonomi telah mengubah dunia sama sekali.  Meskipun sesetengah ahli ekonomi menekankan idea kawal selia sendiri, iaitu pasaran cekap sepenuhnya yang sentiasa kekal pada guna tenaga penuh, namun ahli ekonomi dan ahli sains sosial yang lain menerokai jenis pendekatan yang berbeza.
 “Ini,”  menurut  Joseph Stiglitz dan George Arkelof, “termasuklah model berasaskan agen yang menekankah kepelbagaian keadaan, model rangkaian yang memberikan tumpuan terhadap saling hubungan yang kompleks dalam kalangan firma, pandangan baru terhadap karya Hyman Minsky yang diabaikan tentang krisis kewangan, dan model inovasi yang mencuba menjelaskan dinamik pertumbuhan.”
Dikatakan bahawa kebanyakan kerja yang menguja dalam ekonomi sedang dilaksanakan yang memperluaskan sempadan ekonomi dengan memasukkan kerja ahli psikologi, ahli sains politik, dan ahli ahli sosiologi, di samping belajar daripada sejarah ekonomi.  Sementara sebilangan ahli ekonomi merujuk semula ungkapan terkenal oleh John Maynard Keynes akan perlunya memberikan perhatian yang serius terhadap “semangat haiwan” yang mereka maksudkan unsur psikologi dan bahkan unsur tidak rasional yang banyak mempengaruhi pilihan peribadi dan tingkah laku peribadi, dan dipercayai, penuh dengan tingkah laku ekonomi juga.
Bagi intelektual saya Kiri,  ada yang mencadangkan supaya kembali semula kepada ekonomi klasik yang disumbangkan oleh pemikiran Adam Smith, David Ricardo, Thomas Malthus, John Stuart Mill, dan pemikiran sosialis, Karl Marx, yang dikenali sebagai ekonomi politik.  Dengan itu, menolak ekonomi neoklasik ortodoks yang setelah  tercabut akarnya dalam masyarakat,  menampilkan dirinya sebagai paradigma tunggal, menjadi disiplin yang dikuasai oleh idea dan konsep abstrak sebahagian besar tidak bermakna, model mekanikal, metodologi formal, dan bahasa matematik yang terpisah daripada pembangunan sejarah.
Pastinya, pencarian model yang nampaknya tanpa kesudahan akan memberikan sumbangan yang bermakna bukan sahaja terhadap kemekaran ilmu ekonomi dan kewangan, bahkan juga ilmu lain yang berkaitan.  Pastinya juga, ramai yang mengikut jejak Sarkozy yang tidak mengenal jemu dalam mencari model idaman masing-masing, baik model untuk peribadi mahupun model untuk profesion.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi Januari 2010.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...