Artikel Popular

Sunday, January 8, 2012

Kebuntuan di Washington, Pergeseran di Rumah Putih

AHAD, 8 Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Presiden Barack Obama tetap nekad dengan pelantikan Richard Cordray sebagai Pengarah Biro Perlindungan Kewangan Pengguna, meskipun pelantikan itu dihalang oleh anggota Senat daripada Republikan, dan dengan itu, gagal memperoleh   sekurang-kurangnya 60 undi.   Namun, selepas  Kokus Iowa, seperti memberikan petunjuk kepada  Obama untuk mempertimbangkan semula  pelantikan Richard Cordray  itu.  "Obama," hujah Jonathan Capehart, "memilih perlawanan yang betul berhubung dengan pelantikan reses."

Bruce Ackerman yang  mengulas pelantikan itu dalam Los Angeles Times, menulis bahawa oleh sebab Senat menjadi institusi penuh masa pada abad ke-20, peranan pelantikan reses menjadi senjata dalam perebutan kuasa yang berlaku antara Kongres dengan Presiden.  Kini, adalah mustahil untuk Senat untuk berpura-pura bahawa Senat tidak pernah ditutup untuk perniagaan, dan untuk menafikan bahawa Presiden mempunyai autoriti untuk membuat pelantikan sementara. Ackerman mengingatkan Obama patut  melawan Senat tentang pelantikan reses, tetapi bukannya cara ini. Beliau sepatutnya dalam kedudukan yang kuat untuk mencabar tuntutan Senat terhadap veto mutlak berhubung dengan semua pelantikan reses. 

"Akan tetapi," tulis Ackerman, "beliau memilih cara yang mungkin yang teruk untuk melancarkan serangannya.  Biasanya, Presiden bergantung pada Jabatan Kehakiman untuk mengemukakan kesnya berhubung dengan perkara kepentingan perlembagaan yang tinggi.  Akan tetapi, Obama enggan mengambil cara ini kemungkinan kerana golongan tradisionalis di Jabatan Kehakiman enggan mengesahkan tindakannya yang bercanggah dengan Senat."

Selain kebuntuan yang dihadapi oleh Obama dan Senat, pastinya yang lebih menarik, pergeseran yang berlaku antara Ketua Turus Rumah Putih ketika itu, Rahm Emanuel dengan Wanita Pertama, Michelle Obama, seperti yang didedahkan oleh Jodi Kantor, dalam  bukunya, The Obamas. Michelle dikatakan suara yang sangat kuat di Rumah Putih, dan mempunyai hubungan yang tegang dengan para penasihat kanan Presiden.


Emanuel, seperti yang dipetik oleh The Huffington Post,  menawarkan perletakan jawatannya kepada Presiden Barack Obama pada musim sejuk 2010 selepas beberapa siri kolum muncul menggambarkan beliau sebagai sendirian  memastikan kedudukan Obama tidak terjejas.  Menurut penasihat kanan, David Axelrod, Emanuel memahami bahawa cerita "adalah mengaibkan" Presiden yang telah pun bergelut dengan halangan terhadap usaha pembaharuan kesihatannya, menolak tawaran Emanuel untuk meletakkan jawatan, meskipun yakin bahawa Ketua Turusnya merupakan sumber utama kolum berkenaan. 

"Saya tidak menerima perletakan jawatan," jawab Obama.  "Denda terhadap awak ialah anda perlu tinggal di sini dan pastikan rang undang-undang ini lulus.  Saya tidak akan melepaskan awak."


Keadaan dramatik yang mengelilingi perjalanan pembaharuan penjagaan kesihatan, memuncak kepada hampir-hampir berlaku perletakan jawatan Emanuel, menggambarkan jenis pergelutan yang secara rutin Emanuel beradu dengan Wanita Pertama ketika dua tahun pertama Pentadbiran Obama. Kedua--duanya, iaitu Emanuel dan Michelle berebut-rebut untuk mempengaruhi Presiden, bahkan sebelum beliau memegang jawatan secara formal. 




Kantor untuk menghasilkan buku tersebut, mengadakan temu bual dengan 33 staf Rumah Putih (kebanyakannya beberapa kali), tetapi tidak menemu bual Presiden atau Wanita Pertama, melaporkan bahawa Michelle Obama "meragui" pilihan Emanuel sebagai Ketua Turus.  Emanuel, sebaliknya menentang usaha untuk membawa Valerie Jarrett, mentor lama Obama, ke Rumah Putih sebagai penasihat kanan.


Sebaik-baik sahaja Pentadbiran Obama bermula, pergeseran semakin runcing.  Emanuel menolak usaha bagi pihak Ketua Turut Michelle Obama, iaitu Jackie Norris, menyertai mesyuarat staf pada 7.30 pagi.  Pentadbiran tidak menyediakan beliau dengan penulis ucapan untuk beberapa ketika.  Dan pejabat Wanita Pertama semakin terasing daripada semua orbit Presiden yang para pembantu mula, seperti yang Kantor tulis, "merujuk East Wing sebagai 'Guam,' menarik, tetapi tidak ada kuasa."


"Michelle dan Rahm Emanuel hampir tidak sebulu; hubungan mereka adalah jauh dan kekok sejak mulaaaaaa-mula lagi.  Michelle meragui Emanuel apabila beliau dipilih, dan kini beliau membalas budi baik itu; beliau tidak senang dengan Wanita Pertama secara amnya, beberapa orang pembantu yang rapat dengan Emanuel berkata, berdasarkan pertikaian dengan Hillary Clinton pada tahun 1990-an, yang menjadi semakin teruk yang Hillary cuba memecat beliau daripada Pentadbiran suaminya," tulis Kantor.  "Kini, Emanuel ialah Ketua Turus, satu jawatan yang hampir tidak pernah termasuk hubungan mudah dengan Wanita Pertama. Mereka merupakan dua pasangan Presiden dalam ertik kata, satu awam dan rasmi, dan satu lagi peribadi dan tidak rasmi."


Tarik tali antara Michelle Obama dengan Rahm Emanuel untuk kerohanian atau jiwa politik Presiden mengheret Rumah Putih ke dalam keadaan tidak teratur dan sarat dengan pergeseran berbanding dengan tanggapan awam.  Kantor melaporkan bahawa Setiausaha Akhbar Rumah Putih ketika itu, Robert Gibbs sering digunakan untuk menegur Wanita Pertama, memberitahunya bahawa beliau tidak boleh menggunakan percutian peribadi ketika lawatan negara, membelanjakan amaun  yang besar untuk kerja-kerja menghiasi semula Rumah Putih, atau membeli pakaian yang mahal-mahal. 


"Kabinet dapur" sering menimbulkan masalah kepada si suami, dan Michelle Obama termasuk dalam golongan "isteri yang menyusahkan suami."  Suzanne Mubarak juga "dua kali lima" sehingga suaminya digulingkan oleh rakyat Mesir. 


Bagaimana "kabinet dapur" di negara kita?  Anda sendiri mempunyai jawapannya, dan dengan itu, saya tidak perlu memandai-mandai.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...