RABU, 10 Julai 2019
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Kemenangan Perikatan pada tahun 1955 diikuti oleh satu
Persidangan Perlembagaan di London pada awal tahun 1956 dan dihadiri oleh wakil
Raja-Raja Melayu dan Perikatan. Dalam
persidangan tersebut ditetapkan bahawa Tanah Melayu mendapat kerajaan sendiri
dan kemerdekaan sepenuhnya dalam Kesatuan Komanwel, kalau boleh selewat-lewatnya
pada Ogos, 1957 dan sebuah Suruhanjaya Perlembagaan akan dilantik untuk
merangka draf perlembagaan (Milne dan Mauzy, 1982: 47).
Suruhanjaya Perlembagaan (juga dikenali sebagai
Suruhanjaya Reid), yang dijanjikan dalam persidangan itu dilantik pada Mac
1956, dengan diketuai oleh Lord Reid dari United Kingdom, Sir Ivor Jennings juga dari negara Inggeris,
Hakim Malik dari India, Hakim Abdul Hamid dari Pakistan, dan Sir William McKell
dari Australia (Ibrahim, 1981: 535; Ahmad et al. 2003: 1 – 2; rujuk juga
Comber, 2007: 88). Suruhanjaya diberikan
tugas merangka Perlembagaan Persekutuan (Mohd. Salleh, 2006: 21; Abdul Aziz, 2006: 16). Butir-butir yang penting dalam Perlembagaan
itu adalah termasuk “soal kerakyatan yang sama untuk seluruh Persekutuan” dan
“menjaga kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan kepentingan kaum lain”
(Comber, 2007: 88). Dalam menjalankan tugasnya, suruhanjaya tersebut dipandu
oleh terma rujukan yang ditetapkan oleh persidangan di London itu yang meminta suruhanjaya
menyiapkan perakuan dan draf Perlembagaan yang menyerlahkan pembentukan sebuah
persekutuan dengan kerajaan pusat yang kuat; pemeliharaan kedudukan,
keistimewaan, kehormatan, dan hak Raja-Raja Melayu; pewujudan jawatan ketua
negara yang bergelar Yang di-Pertuan Agong; pemeliharaan hak-hak istimewa
orang-orang Melayu serta hak-hak yang sah milik kaum lain; dan pembentukan
sistem kewarganegaraan yang seragam untuk seluruh Malaya (Ibrahim, 1981: 536;
Abdul Aziz, 2006: 17).
Dengan penerimaan cadangan Suruhanjaya Reid, maka
Perlembagaan Persekutuan digubal dan Persekutuan Tanah Melayu menjadi sebuah
negara yang berdaulat pada 31 Ogos 1957 (Mohd. Salleh, 2006: 21; rujuk juga Ahmad et al. 2003: 3 -
4). Sebelum Suruhanjaya Reid menulis laporan dan draf Perlembagaan di Rom,
mereka menemui dan bercakap dengan pelbagai pihak, termasuk raja-raja,
ahli-ahli politik, persatuan-persatuan, dan lain-lain lagi (Abdul Aziz, 2006:
17). Bagi memulakan kerjanya, suruhanjaya ini meminta fikiran dan pandangan
orang ramai berkenaan dengan bentukan Perlembagaan Malaya Merdeka itu, sama ada
menemuinya terus ataupun menghantar buah fikiran atau memorandum masing-masing
kepadanya...Yang banyak sekali menghantar memorandum dan yang menemui sendiri
ialah golongan orang Cina di luar MCA dan orang bukan Melayu. Badan atau
pertubuhan Melayu, selain UMNO, kebanyakannya tidak mengendahkan atau
memulaukan suruhanjaya itu (Ibrahim, 1981: 536 – 537). Suruhanjaya ini telah
bersidang di Tanah Melayu dari Jun hingga Oktober 1956. Pandangan yang mustahak sekali
dipertimbangkan oleh suruhanjaya ialah pendapat yang dikemukakan oleh Parti
Perikatan, terutama kerana Perikatan mendapat kejayaan cemerlang dan suara terbanyak di peringkat
negeri dan Persekutuan (Comber, 2007: 88).
Meskipun lebih beratus-ratus individu dan organisasi
mengemukakan pandangan mereka, Suruhanjaya Reid memberikan keutamaan terhadap
pandangan Parti Perikatan (Milne dan Mauzy, 1999: 15). Perikatan, terutamanya
UMNO dan MCA memberikan cadangan tegas yang menghasilkan satu “rundingan” ke
atas perbezaan kedudukan dua bangsa yang terbesar dari segi perlembagaan. Hanya sebuah memorandum yang dihantar oleh
Perikatan, sungguhpun terdapat ketegangan dan tekanan yang tidak dapat
dielakkan dalam kalangan parti yang menjadi komponennya (Milne dan Mauzy, 1982:
47 - 48). Walau bagaimanapun, tidak semua syor
Suruhanjaya Perlembagaan itu diterima.
Beberapa pindaan dibuat setelah rundingan diadakan antara kerajaan
British, Raja-Raja Melayu, dan Perikatan.
Hasilnya, beberapa konsesi diberikan kepada pendapat Perikatan, terutama
kepada UMNO (Milne dan Mauzy, 1982: 48).
Menurut Mahamad Arifin, Parti Perikatan dalam
memorandumnya mengesyorkan kepada Suruhanjaya Reid bahawa agama rasmi
Persekutuan hendaklah agama Islam.
Peruntukan ini tidak akan menjejaskan rakyat bukan Islam untuk menganuti
dan mengamalkan agama mereka sendiri dan tidak membayangkan bahawa negara ini
bukan negara sekular (rujuk Ahmad et al. 2003: 101). Menurut Mahamad
Arifin lagi, Hakim Abdul Hamid (salah seorang anggota Suruhanjaya Reid),
berpendapat bahawa perisytiharan seperti itu perlu dimasukkan seperti yang
dicadangkan oleh Parti Perikatan. Beliau
mengesyorkan bahawa disebabkan cadangan yang dibuat oleh Parti Perikatan itu
dibuat sebulat suara, maka cadangan tersebut harus diterima. Peruntukan seperti itu telah pun terdapat di
negeri-negeri dan apa yang perlu adalah memindahkannya dari Perlembagaan Negeri
ke Perlembagaan Persekutuan (rujuk Ahmad et al. 2003: 101). Mahamad Arifin cuba menjelaskan mengapa
Perikatan dalam cadangannya menyatakan bahawa dengan memasukkan peruntukan ini
tidak bermakna bahawa negara bukan negara sekular, dengan memetik Profesor
Ahmad Ibrahim: “Perlu diingat cadangan itu dibuat oleh Perikatan, iaitu
gabungan UMNO dengan parti bukan Melayu dan Islam. Mungkin pada masa itu, Allahyarham Tunku
Abdul Rahman Putra al-Haj dan ahli-ahli UMNO berpendapat untuk tidak
menjejaskan perpaduan antara parti, maka tidaklah perlu menyebutkan negara ini
sebagai negara Islam. Dari segi maslahah
untuk perpaduan parti-parti itu adalah baik hanya menyebut Islam sebagai agama
Persekutuan” (rujuk Ahmad et al.
2003: 103).
R.S. Milne dan Diane K. Mauzy, yang mengulas Perlembagaan
Persekutuan yang mereka sebut “Perlembagaan tahun 1957,” bertujuan menyediakan asas berdaya maju untuk
pemahaman etnik dan kerajaan yang baik.
Di sebalik Perlembagaan itu, ialah tawar-menawar yang sangat besar,
terutamanya dalam kalangan kumpulan etnik dan parti politik (Milne dan Mauzy,
1999: 14 - 15). Jelas mereka, “proses
politik ketika itu, etnisiti adalah penting; orang Melayu merupakan kumpulan
yang sangat kuat, bukan sahaja dari segi angka, tetapi juga oleh sebab jawatan
tinggi yang mereka duduki semasa pemerintahan British dan akan duduki yang
tanpa disekat oleh kekangan British selepas mencapai kemerdekaan” (Milne dan
Mauzy 1999: 15). Meskipun Perlembagaan
tahun 1957 jelas perlu memasukkan tawar-menawar, terutamanya antara UMNO dengan
MCA, yang mengambil bentuk tukar ganti antara politik dengan kuasa ekonomi,
dari segi sebenar tawar-menawar menjadi kurang relevan. Peningkatan bilangan orang Cina dan pengundi
bukan Melayu, tidak akan membawa kemenangan parti-parti bukan Melayu dalam
pilihan raya umum. Dari segi yang lain, pada mulanya, peningkatan ekonomi
terlalu perlahan untuk memenuhi harapan orang Melayu, yang kemudiannya dipacu
menerusi pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), kesannya jelas kelihatan, dan
bagi sesetengah bukan Melayu membimbangkan (Milne dan Mauzy, 1999: 18).
(Dipetik daripada Bab Satu buku, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)
No comments:
Post a Comment