Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Sebagaimana bapanya, Tun Abdul Razak juga memasuki Kolej
Melayu Kuala Kangsar (KMKK), iaitu pada 26 Jun 1934. Setelah beliau lulus peperiksaan darjah lima dan memperoleh
kelulusan yang cemerlang, Dato’ Hussein menulis surat kepada Tengku Besar
Pahang, Tunku Sulaiman ibni al-Marhum Sultan Ahmad, Menteri Besar Pahang
merangkap anggota Lembaga Pengurusan KMKK, untuk menempatkan Tun Razak di
Maktab Melayu (Nik Anuar, Muhammad, dan Abd. Ghapa, 2011: 29). Di KMKK, beliau
menunjukkan keterampilannya dalam berbagai-bagai bidang, baik pelajaran mahupun
kokurikulum. “Beliau terpilih menjadi ketua pelajar dan terkenal sebagai pemain
hoki, bola sepak, dan tenis. Beliau juga
menjadi presiden Kesatuan Pelajar KMKK
dan naib presiden Persatuan Persuratan, Drama, dan Perbahasan (Zainuddin, 1997:
7; rujuk juga Paridah, 2009: 6 - 7).
Meskipun pendiam, Tun Abdul Razak dikatakan hebat berbahas.
Meskipun Tun Abdul Razak
tidak mempunyai pengetahuan atau kemahiran langsung dalam bahasa
Inggeris yang merupakan bahasa pengantar KMKK (Paridah, 2009: 6), beliau menunjukkan kecemerlangan dalam bidang
pelajaran, lulus Junior Examination University Cambridge ketika berusia 15
tahun (Zainuddin, 1997: 7). Pada 31 Mei
1940, Tun Abdul Razak meninggalkan KMKK untuk melanjutkan pelajaran di Raffles
College. Tun Abdul Razak yang ketika itu
berusia 19 tahun, mendapat biasiswa untuk mengambil kursus selama tiga tahun
dalam bidang ekonomi, undang-undang, dan sejarah (Paridah, 2009: 7; rujuk juga Zainuddin,
1997: 9). Ketika itu, beliau menjalani latihan Perkhidmatan Tadbir Melayu (Malay
Administrative Service).
Tun Abdul Razak bertolak ke Singapura
dengan menaiki kereta api mel dari Kuala Lipis. Turut bersama-sama beliau ialah Ghazali
Shafie, seorang pelajar Clifford English School, Kuala Lipis (Nik Anuar,
Muhammad, dan Abd. Ghapa, 2011: 38).
Menurut Tun Muhammad Ghazali Shafie,
mereka mengenali antara satu sama lain sejak remaja lagi. Persahabatan mereka bertambah rapat dan erat
apabila kami bersama-sama menuntut di Raffles College (Mohd Ghazali Shafie,
2006: 27).
Di Raffles College, Tun Abdul Razak mengenali pelajar senior, seperti (Tun) Hamdan Sheikh Tahir, (Tun) Syed Zahiruddin (Syed Hassan), (Tan Sri) Taib Andak yang sudah setahun
melalui pelajaran mereka (Nik Anuar, Muhammad, dan Abd. Ghapa, 2011: 38). Wujud
kekeliruan tentang Taib Andak, sama ada
beliau ketika itu masih menuntut, kerana
Taib dikatakan “tamat pengajian di
Raffles College pada tahun 1938, manakala Tun
Abdul Razak memasuki kolej itu pada 31 Mei 1940” (Kalsom, 2009:
86). Beliau juga mengenali Tan Sri Abdul
Kadir Yusuf (Paridah, 2009: 8). Robert Kuok memberitahu bahawa beliau mula
bertemu Tun Razak di Raffles College pada bulan Mei atau Jun 1941. Tun Razak, seperti yang dikenali pada masa
itu, ialah setiausaha kehormat Persatuan Sejarah. Saya ialah seorang penuntut baharu yang
diusik dan diejek (ragged) oleh mahasiswa-mahasiswa lama dengan teruk
(Kuok, 2006: 49). Profesor Tan Sri Maurice Baker, pernah menulis pengalaman dan pemerhatian beliau tentang Tun
Abdul Razak semasa di Raffles College.
Ketika Tun Abdul Razak mendaftarkan dirinya sebagai penuntut di sana,
Maurice Baker – yang kemudiannya merupakan salah seorang rakan karib beliau,
berada dalam tahun tiga. “Tidak ramai antara kami yang mengenali beliau kerana
sifatnya yang pemalu dan rendah diri.
Kemudian, dalam sekelip mata sahaja beliau menjadi seorang wira,” tulis
Baker yang pernah berkhidmat sebagai diplomat Singapura. “Dengan menghasilkan
gol kemenangan dalam perlawanan bola sepak tahunan menentang musuh ketat kami,
Kolej Perubatan (Medical College), Tun Razak serta-merta meletakkan dirinya
sebagai mahasiswa baharu yang patut diberikan perhatian” (Baker, 2006:
15).
Walaupun lebih setengah abad berlalu, detik-detik Tun Abdul Razak
menjaringkan gol kemenangan setelah permainan terikat tanpa jaringan gol, dan
masa permainan hanya tinggal lima minit lagi, masih segar dalam memori Baker.
Dan bahkan, beliau menulis seperti pengulas
profesional yang membuat siaran
langsung perlawanan bola sepak. “... Tun
Razak berjaya menguasai bola. Beliau berlari dengan pantas di sebelah sayap
kiri, mengelecek bola melepasi pertahanan tengah yang sedang mara menujunya dan
menyepak bola dari sudut yang sukar.
Bola itu tidak dapat diselamatkan oleh penjaga gol dan itulah gol
kemenangan kami” (Baker, 2006: 15). Maurice Baker sebenarnya bukan sekadar
bernostalgia, tetapi beliau mentafsirkan dengan tepat kehebatan Tun Abdul Razak
dari padang bola ke medan politik. Tulis
Baker, “Tahun-tahun berikutnya, Tun Razak membuktikan kemahiran dan stamina
beliau mengatasi lebih jauh dari padang bola dan suatu hari nanti beliau akan
berkhidmat untuk Malaysia dengan cemerlang” (Baker, 2006: 15).
(Dipetik daripada Bab Dua, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)
No comments:
Post a Comment