Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Rais Yatim pernah mengimbas
“detik-detik manis” antara Tun Dr. Mahathir dengan Tun Musa. Rais dengan nada puitik dan romantik menulis:
“Antara tidak berapa lama kemudian, pemimpin berdua ini mendapat sanjungan dan
penerimaan meluas. Slogan BCA (Bersih,
Cekap, Amanah), merebak sebagai cogan kata kerajaan dan parti yang amat
popular. Terasa semasa itu bahawa kerajaan dan parti benar-benar bergerak dan
maju ke depan untuk memperkasa kedua-dua entiti itu. Dr. Mahathir dan Tun Musa diberi julukan
sebagai “2M” (Mahathir-Musa) oleh media massa. Orang Kedah seronok, orang Johor
pun seronok. Kita dari negeri-negeri
lain turut tumpang gembira melihatkan UMNO mempunyai pasangan yang hebat. Dari semua sudut – mental, fizikal, dan
keupayaan – mereka berdua berkebolehan” (Rais, 2004: 472).
Tidak berapa lama selepas Tun
Musa Hitam menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah dan Dato’ Harun Idris, khabar angin mula tersebar membayangkan “2M” mula retak. “Khabar angin pada tahun 1985
adalah tentang perbezaan antara mereka,
sekurang-kurangnya dari segi gaya dan pendekatan, iaitu Musa kurang
berkonfrontasi” (Milne dan Mauzy, 1999: 40). Walaupun kedua-duanya, iaitu Tun
Musa dan Dr. Mahathir menafikan keretakan hubungan mereka berdua, sesungguhnya,
sembang politik kedai kopi – zaman tanpa Internet dan media sosial, tidak perlu
menunggu lama untuk membuktikan kebenarannya.
“2M” - gabungan Mahathir-Musa
dipercayai menyumbang kepada keretakan hubungan antara Dr. Mahathir dengan Tun Musa. Perletakan jawatan itu mengesahkan khabar angin tentang kesukaran
dalam apa yang digelar pentadbiran “2M.”
“Dr. Mahathir tidak suka dengan gelaran yang diberikan oleh akhbar
tempatan itu. Beliau yakin bahawa Musa menganggap dirinya hampir sama dengan
beliau dan mahu jawatannya sebelum tiba masanya” (Wain, 2009: 62). Pimpinan
“2M” yang dibanggakan mulai dipersoalkan siapakah yang menamakannya dan gambar Musa yang
diletakkan seiring dengan gambar Dr. Mahathir di pejabat-pejabat kerajaan
ditanya siapakah yang mengarahkannya (Zainuddin, 1994: 170). Sejak mula-mula
pentadbiran Mahathir lagi, Musa merupakan sebahagian kepimpinan “2M” dan bukan sekadar
Timbalan Perdana Menteri. Meskipun sebutan ini membawa konotasi kombinasi
unggul kepimpinan “Mahathir-Musa,” hal ini menjadikan Musa pada hakikatnya sama dengan Mahathir. Musa sendiri percaya bahawa suatu kesilapan besar
bahawa para penyokongnya dan akhbar terus-menerus melabelkan kombinasi beliau dengan Mahathir
sebagai kepimpinan 2M, tanpa mempertimbangkan Mahathir tidak selesa dengan
sebutan itu. Bagi Mahathir, nombor satu hanya satu dan nombor dua masih menjadi
yang kedua (Hwang, 2003: 287 – 288). Mahathir kemudiannya mengatakan bahawa
“2M” bermaksud “Mahathir Mohamad” (Milne dan Mauzy, 1999: 40; Wain, 2009: 62).
Telah diketahui umum bahawa Dr.
Mahathir dan Musa tidak bersetuju
tentang beberapa dasar, termasuk “Pandang ke Timur”, beberapa pelaburan kos
yang tinggi untuk projek berprestij, beberapa aspek Islamisasi, dan cara Musa menangani peristiwa Memali dan krisis Sabah
semasa ketiadaan Dr. Mahathir” (Means, 1991: 174 - 175). Diakui bahawa Dr. Mahathir dan Musa mempunyai gaya politik yang sangat
berbeza. Sementara Dr. Mahathir bersifat
pendesak dan tidak membiarkan sedikit kritikan, Musa cenderung menjadi lebih
baik rupa paras dan budi pekerti (personable) dan sederhana. Dan mereka
kadangkala berbeza terhadap dasar. Musa
nyata sekali tidak bersemangat tentang sesetengah rancangan Dr. Mahathir untuk
industri berat. Akan tetapi, kepercayaan
Dr. Mahathir bahawa Musa tidak
setia dan cuba menjatuhkan beliau daripada Perdana Menteri adalah puncanya
(Wain, 2009: 62).
Akhirnya, Tun Musa
menulis surat kepada Dr. Mahathir untuk meletakkan jawatan dalam kerajaan, iaitu sebagai
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, dan timbalan presiden UMNO. “Surat yang
bertarikh 26 Februari 1986, selain diterima oleh Dr. Mahathir dan anggota Majlis Tertinggi
UMNO, turut diedarkan kepada orang ramai dan para wartawan” (Zainuddin, 1994:
171). Dalam surat tujuh halaman itu Musa mendedahkan
bahawa beliau kurang mempercayai Dr. Mahathir
(Hwang, 2003: 130). Alasan yang diberikan
oleh Musa, ialah “perbezaan yang tidak
mungkin dapat diselesaikan” antara mereka dari segi dasar dan gaya
kepimpinan” (Rais, 2006: 152). Walau
bagaimanapun, Musa menarik balik
peletakan jawatan timbalan presiden UMNO.
Selama lebih satu dekad,
“hipotesis” bahawa “2M” menyebabkan Tun Musa kehilangan jawatan dianggap sahih tanpa menimbulkan apa-apa keraguan.
Walau bagaimanapun, pada 2 September 1998, seorang lagi timbalan kehilangan
jawatannya, bahkan lebih teruk daripada Tun Musa, kerana beliau dipecat dan
dihadapkan dengan tuduhan salah guna kuasa dan liwat, dan dipenjarakan. Selama beliau menjadi Timbalan Perdana
Menteri, iaitu sejak akhir tahun 1993, tidak ada gelaran “MA” diberikan untuk
menunjukkan gandingan mantap, dan gambar
beliau tidak diletakkan bersama-sama gambar bosnya.
(Dipetik daripada Bab Sebelas, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)
(Dipetik daripada Bab Sebelas, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)
No comments:
Post a Comment