Artikel Popular

Sunday, July 14, 2019

Dasar Ekonomi Baru dan Tindakan Afirmatif

AHAD, 14 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri ketika pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB, 1971 – 1990) “separuh perjalanan.”  Apabila tamat tempoh pelaksanaannya, DEB digantikan oleh Dasar Pembangunan Nasional (DPN, 1991 – 2000),  seterusnya oleh Dasar Pembangunan Wawasan (DPW, 2001 – 2010), kemudian, Perdana Menteri Dato Seri Mohd.  Najib Tun Abdul Razak memperkenalkan Model Baru Ekonomi (MBE, 2011 – 2020), langkah terakhir untuk mencapai Wawasan 2020.  Walau bagaimanapun, Dr. Mahathir lebih cenderung bercakap tentang DEB berbanding dengan DPN dan DPW, bahkan “dari segi percakapan, kedua-dua dasar ini masih disebut DEB” (Wain, 2009: 103). Beliau terus mempertahankan dan melaksanakan dasar ekonomi yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak itu.
 Bagi Mahathir, meskipun DEB sudah berakhir dan sudah digantikan dengan DPN, tidak bermakna bahawa matlamat DEB untuk menyusun semula  masyarakat  supaya tidak ada pengenalan kaum, dengan fungsi ekonomi dan pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum sudah dilupakan.  Matlamat ini masih dijunjung oleh kerajaan (Ahmad Fawzi dan Mohd Foad, 2005:  157).  Dr. Mahathir mengencam sebilangan  orang Melayu dan bumiputera yang bersekongkol dengan dakwaan bahawa DEB dan penswastaan menguntungkan sebilangan kecil elit Melayu.  Bagi beliau, tanpa DEB, mereka tidak akan mendapat pelajaran dan kedudukan yang tinggi.  Mereka sebenarnya elit yang mendapat nikmat DEB, tetapi tidak mengenang budi. Hujah beliau, DEB dan penswastaan menguntungkan semua lapisan masyarakat (Ahmad Fawzi dan Mohd Foad, 2005:  85 - 86).  Beliau juga menjelaskan bahawa dengan pelaksanaan DEB dan pembesaran kek ekonomi, maka bumiputera memperoleh hak mereka tanpa merampas hak  bukan bumiputera (Ahmad Fawzi dan Mohd Foad, 2005:  466). 
Seiringan dengan pelaksanaan DEB, program tindakan afirmatif turut dilaksanakan.  Sebagaimana dua Perdana Menteri sebelum beliau, Dr. Mahathir juga melaksanakan program ini,  terutamanya  dalam bidang ekonomi dan pendidikan.  Beliau pernah menegaskan bahawa walaupun  dasar tindakan afirmatif memihak kepada Melayu, masyarakat Cina mendahului dalam bidang perniagaan.  Sebanyak 90 peratus jutawan Malaysia ialah kaum Cina dan ada antara mereka yang billionaire. Biarpun Melayu kononnya mendapat keistimewaan, tetapi Cina Malaysia tidaklah terpinggir seperti orang Melayu dipinggirkan di Singapura (Mahathir, 2015: 60). Dr. Mahathir turut menjelaskan bahawa DEB yang berupa program afirmatif diperkenalkan bagi mengatasi masalah kemunduran orang Melayu serta menjamin masa depan sosioekonomi mereka. Bagi beliau, program tindakan afirmatif merupakan pertimbangan perpaduan kebangsaan dan kelangsungan negara (Mahathir, 2015: 60).
Apabila Perdana Menteri Mohd. Najib  melaksanakan liberalisasi ekonomi, Dr. Mahathir menyambutnya dengan rasa kurang senang.  Beliau  menyifatkan “pelaksanaan liberalisasi ekonomi sebagai mengambil hak golongan bumiputera” adalah terlalu keras dan memeranjatkan. Juga tersirat  kekecewaan beliau terhadap “keruntuhan” satu dasar yang dilaksanakan sejak  tahun 1971.  Hujah beliau, pencapaian  DEB  yang meletakkan syarat kuota 30 peratus bagi bumiputera tidaklah begitu buruk. Beliau mengingatkan: “Ada orang yang gembira dengan dasar liberalisasi itu, tetapi ada juga pihak berasa tidak gembira” dan “selama 38 tahun DEB dilaksanakan, pertumbuhan negara adalah antara yang terbaik antara negara membangun”  (Zulkifli, 2009:   43). 
Dalam wawancara  dengan  AsiaWeek,  keluaran Mac 1998 -  di tengah-tengah kegawatan  ekonomi,  Dr. Mahathir  menegaskan bahawa kerajaan menolong sesiapa sahaja, Cina, India, Melayu.  “Memang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menolong sektor swasta, khususnya bumiputera kerana kami dalam proses mencuba untuk membetulkan ketidakseimbangan ekonomi”   (Zulkifli, 2009:  46).
Meskipun tindakan afirmatif ini sering dikritik, terutamanya oleh golongan yang memperjuangkan meritokrasi, menurut pemerhatian Joseph Stiglitz, “program yang dilaksanakan sejak berdekad-dekad untuk membantu orang Melayu secara agresif, ialah bahagian penting pembinaan bangsa (nation-building); pandangan bahawa semua kumpulan akan menikmati faedah daripada masyarakat yang stabil dan saksama diterima secara meluas, meskipun sebagai akibatnya, orang Cina mungkin hilang peluang. Walau bagaimanapun, oleh sebab kerajaan memastikan semua orang berkongsi hasil pembangunan, maka konflik kaum dapat dielakkan secara keseluruhannya” (Stiglitz, 2006: 49).  Bagi pendukung DEB, telah diakui tentang “bahaya ketidaksamaan, dan keadaan begini tidak dapat ditanggung bagi tempoh yang lama mengikut mana-mana definisi masyarakat bertamadun yang berdasarkan prinsip keadilan dan belas kasihan bagi pihak yang miskin dan tidak bernasib baik... Lambat-laun ketidaksamaan seperti itu akan membawa kepada letusan sosial, walaupun jika penduduknya terdiri daripada kaum yang sama tanpa terdapat faktor tambahan terhadap bangsa” (Faaland, Parkinson, dan Rais, 1991: 60).
Apabila DEB berakhir pada tahun 1990, didapati tindakan afirmatif dari segi pembasmian kemiskinan mencapai kejayaan yang besar apabila “kemiskinan mutlak dalam kalangan orang Mealyu dikurangkan daripada 64.8 peratus pada tahun 1970 kepada 20.4 peratus pada tahun 1990” (Gomez, Saravanamuttu, dan Maznah, 2013: 9).  Pengurangan kemiskinan ini dihasilkan oleh kedua-duanya, iaitu pertumbuhan ekonomi yang pesat berikutan perindustrian dan tindakan afirmatif kerajaan yang tersebar luas, terutamanya dalam sektor luar bandar dan pendidikan (Ragayah, 2013: 56).
Telah diakui akan peranan pendidikan dalam meningkatkan produktiviti  dan tahap pendapatan, dengan itu, DEB memberikan tumpuan terhadap pendidikan untuk cara membasmikan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.  Dua dekad pelaksanaan DEB pertumbuhan yang sangat besar kaum bumiputera menjadi terpelajar  pada semua tahap, rendah, menengah, dan tertiari, dan dalam semua bidang.  Program pendidikam, termasuk kuota pengambilan masuk ke universiti, biasiswa, dan subsidi lain dalam bidang pendidikan, membantu bumiputera meningkatkan kapasiti perolehan upah mereka, yang membawa kepada pengurangan petunjuk kemiskinan (Ragayah, 2013: 52).
Namun begitu, pada penghujung perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir  kelihatan mula berundur daripada program tindakan afirmatif dan mula menerima pakai meritokrasi, misalnya  dalam bidang pendidikan, iaitu “menawarkan untuk melepaskan kuota bumiputera untuk kemasukan ke universiti”  (Karim, 2003: 138).  Perubahan ini, iaitu daripada sistem kuota kepada meritokrasi, menurut pemerhatian Muhammed Abdul Khalid, “menghalang mobiliti sosial golongan miskin dan bumiputera” (Muhammed, 2014:  168). Muhammed menjelaskan bahawa sistem kuota yang digantikan dengan sistem meritokrasi pada Januari 2003, dan akibatnya, bukan bumiputera mempunyai bahagian yang lebih besar kemasukan ke universiti awam.  Misalnya, pengambilan pada tahun 2004 menunjukkan bukan bumiputera menerima manfaat paling banyak daripada anjakan dasar ini, dengan pelajar India dan Cina masing-masing meningkat sebanyak 46 peratus dan 36 peratus, pelajar bumiputera hanya meningkat sebanyak 10 peratus. Angka pada tahun sebelumnya menunjukkan pelajar Cina melihat pengambilan mereka meningkat sebanyak 27 peratus pada tahun 2003 berbanding dengan tahun 2002, manakala pelajar bumiputera meningkat tiga peratus (Muhammed, 2014: 169). Muhammed juga membandingkan jurang pendapatan relatif antara bumiputera dengan Cina dalam era tiga Perdana Menteri, yang menurut beliau, pascatahun  2009, menyaksikan jurang tersebut semakin melebar. Jurang pendapatan relatif melebar sebanyak 10 peratus dalam tempoh 2009 – 2012, iaitu era Perdana Menteri Mohd.  Najib Tun Abdul Razak, manakala jurang ini dipotong separuh semasa pentadbiran Tun Abdullah Badawi.  Sebagai perbandingan, ketika era Mahathir, jurang pendapatan antara Cina dengan bumiputera dipotong kira-kira 10 peratus (Muhammed, 2014: 94 – 95).
(Dipetik daripada Bab Sepuluh, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.) 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...