Artikel Popular

Tuesday, July 23, 2019

Kematian Demokrasi

SELASA, 23 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


"Demokrasi telah mati di Malaysia,” isytihar Tun Dr. Ismail   Abdul Rahman apabila tercetusnya Peristiwa 13 Mei 1969. Bagi mereka yang masih mengenang   Dr. Ismail yang terkenal dengan ketegasannya, ucapan beliau ke seluruh negara itu masih kekal dalam memori mereka.  Pastinya,  tidak kurang menimbulkan tanda tanya ketika itu akan maksud di sebalik amaran beliau itu kerana Darurat telah diisytiharkan di seluruh negara  pada 15 Mei 1969 dan Parlimen digantung dan Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditubuhkan sehari kemudian.  Selalunya, jika demokrasi berkubur, maka tempatnya digantikan oleh autoritarian.
Dengan memetik  kata-kata Winston Churchill bahawa “demokrasi ialah sistem pemerintahan yang paling buruk, tetapi tidak ada satu sistem lain pun yang lebih baik daripada itu," dan ucapan  Dr. Ismail itu, Firdaus Haji  Abdullah (2009),  merumuskan “iktibarnya ialah tidak mudah untuk mengamalkan demokrasi dalam pengertian yang murni.”
         Dr. Ismail meninggalkan dunia persaraannya yang selesa kerana beliau menganggotai lembaga pengarah beberapa buah syarikat, seperti Malayan  Sugar Refinery dan  Guthrie Corporation,  bahkan  tidak mempedulikan  masalah kesihatannya   semata-mata ingin menabur khidmat dan bakti kepada negara Malaysia yang dilanda kacau-bilau akibat rusuhan kaum selepas Pilihan Raya Umum pada 10 Mei 1969.  Tawaran beliau untuk berkhidmat semula disambut dengan senang hati oleh Tunku Abdul Rahman yang tidak lagi popular akibat prestasi teruk Perikatan dalam pilihan raya itu.  Beliau menyifatkan kepulangan semula Dr. Ismail untuk berkhidmat tatkala negara menghadapi detik runcing itu sebagai “gerak isyarat kesetiaan dan sayang untuk kawan”  (Tunku Abdul Rahman, 1978: 128). Dr. Ismail   menyertai  Mageran,  dengan Tun Abdul Razak   sebagai pengarahnya. Ahli politik yang turut dilantik,  ialah  Dato’  Hamzah Abu Samah, Menteri Penerangan dan Penyiaran; Tun Tan Siew Sin; Tun V.T. Sambanthan. Anggota lain terdiri daripada dua orang pegawai awam, Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin, Pengarah Perkhidmatan Awam dan Tan Sri Ghazali Shafie, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.  Tentera dan polis diwakili Tengku Osman Jiwa, Ketua Turus Angkatan Tentera dan Tan Sri Mohammad Salleh, Ketua Polis Negara.  Seorang lagi pegawai tentera, Leftenan Jeneral Dato’ Ibrahim Ismail, yang menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (Milne dan Mauzy, 1982: 110). Seterusnya, pada 20 Mei tahun itu beliau menganggotai Kabinet Darurat yang diwujudkan oleh Tunku Abdul Rahman (Comber, 2007: 144),  dengan beliau dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal  Dalam Negeri, jawatan yang beliau pernah sandang sebelum beliau meletakkan jawatan pada tahun 1967.
            Mageran berbeza daripada Kabinet dalam beberapa perkara.  Sebahagian besar tanggungjawab Mageran adalah terhadap keadaan keselamatan, harus menumpukan perhatiannya pada masalah khusus dan serta-merta... Ahli-ahli ini memainkan peranan penting dalam sebarang pertimbangan yang dibuat oleh Mageran. Dalam kalangan ahli politik, Tun Razak dan Tun Ismail memikul tanggungjawab yang amat berat (Milne dan Mauzy, 1982: 110 – 111).
Jeneral Tun Ibrahim Ismail yang berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Mageran, mencatatkan dalam autobiografinya bahawa pada 15 Mei, beliau diperintahkan hadir di Residency, kediaman rasmi Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri ketika itu. Tunku mengadakan mesyuarat Kabinet pada pagi itu. Tun Dr. Ismail menawarkan perkhidmatannya kepada kerajaan kerana negara  mengalami krisis yang teruk.  Dengan itu, beliau sekali lagi diterima menganggotai Kabinet juga turut hadir pada pagi itu (Ibrahim, 2008: 324).
Dalam  “kata pengantar”  buku  Ooi Kee Beng (2007), Tun Mohd.  Salleh Abas, mantan Ketua Hakim Negara,  mengimbas kembali bahawa Tun Abdul Razak memanggil beliau hadir dalam pertemuan  di kediaman Tunku Abdul Rahman. Ketika itu,  rusuhan masih  marak. “Para menteri yang hadir membincangkan bagaimana cara mengendalikan rusuhan,” tulis Mohd. Salleh sambil menambah, “Sebentar kemudian, Dr. Ismail, yang sudah bersara daripada Kabinet dua tahun sebelum itu tiba dengan wajah yang penuh khuatir.”    Tun Mohd. Salleh masih ingat akan kata-kata peringatan Dr. Ismail kepada mereka yang hadir, supaya jangan menggantungkan Perlembagaan buat selama-lamanya.  Katanya, “Kalau kamu gagal, kelak sama sahaja dengan kudeta yang lain, kamu semua mati ditembak satu demi satu.” Berkat amaran Dr. Ismail yang tegas, perbincangan berubah haluan, lalu bertumpu pada perisytiharan Darurat dan penubuhan Mageran untuk mentadbir negara hingga suasana pulih dan Parlimen dapat bersidang semula.
(Dipetik daripada Bab Tiga, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa JIlid I,  yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...