Artikel Popular

Sunday, July 21, 2019

Wartawan dan Usahawan

AHAD, 21 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Selepas Perang Dunia Kedua tamat pada tahun 1945,  Tun Fuad Stephens dikatakan  bekerja sebagai kontraktor membekalkan kayu balak untuk kerja-kerja pembangunan kepada Jabatan Kerja Raya.  Selepas itu, beliau menjadi pemberita   North Borneo News di Daerah Pantai Barat, Borneo Utara.
Dalam beberapa pekerjaan yang diceburi  sebelum Fuad Stephens menceburi  politik, kewartawanan boleh dianggap menjadi “darah daging” beliau.  Beliau bukan sekadar wartawan, tetapi juga usahawan yang mendirikan syarikat akhbarnya sendiri. Terbukti bahawa syarikat akhbarnya berkembang  maju. Menurut laman Web Istana Negeri, pada tahun 1953, Tun Fuad menubuhkan The Sabah Times.  Beliau  menggabungkan North Borneo News dengan The Sabah Times  beberapa bulan kemudian dan menamakannya  North Borneo News and Sabah Times.  
            Sebagai wartawan dan penerbit Sabah Times, beliau dapat menguasai fikiran rakyat melalui tulisan-tulisannya dalam akhbar tersebut (Yahaya Ismail, 1978: 15). North Borneo News menjadi wadah beliau memperjuangkan nasib kaum peribumi yang terpinggir di Sabah. Dalam masa yang singkat, pihak pengurusan akhbar yang diterbitkan dua minggu sekali di Sandakan Fuad Stephens menjadi wartawan atau koresponden di Bahagian Pantai Barat.  Kepetahan beliau bermain kata-kata dalam penulisannya, akhirnya menyaksikan akhbar berkenaan menawarkan beliau untuk mempunyai ruangannya yang tersendiri.            Beliau menulis dengan nama pena, seperti “Rambler” dan “Roderick.” Beliau juga menulis untuk ruangan “surat kepada pengarang” dengan pelbagai nama pena, antara yang paling popular dan menjadi sebut banyak pembaca ialah nama pena, “Vox Populi” (Joniston, 2009: 69).
            Joniston Bangkuai yang menyumbang makalah untuk Terbilang: Potret Tokoh Wartawan Negara, menegaskan bahawa Fuad Stephens bukan sekadar menceburi dunia kewartawanan, bahkan beliau bercita-cita untuk memiliki akhbar sendiri di Jesselton. Hanya oleh sebab kekurangan modal, maka akhbar pilihannya, The Sabah Times tidak dapat dilancarkan. Justeru, beliau terus mempergiatkan tulisannya dalam North Borneo News, membongkar kepincangan pentadbiran kerajaan British dan dasar penjajah yang dianggap lapuk dan menindas kaum peribumi (Joniston, 2009: 71).
            Pada tahun 1952, impian Fuad Stephens untuk menerbitkan akhbar sendiri menjadi kenyataan, dengan sumbangan adiknya, Tan Sri Ben Stephens sebanyak $1000.  Wang itu ialah titik peluh Ben yang dinaikkan pangkat dan tunggakan gajinya.  Bersama-sama rakan seperjuangannya yang mempunyai impian yang sama, seperti Tan Sri Pao Tzu, beliau mengasaskan The Sabah Times. Kelahiran akhbar ini menjadi kenyataan pada 21 Januari 1953, dengan Fuad Stephens adalah segala-galanya: pemilik, wartawan, penulis, dan ada ketikanya, budak pengantar akhbar berkenaan (Joniston, 2009: 73 – 77).  Beliau banyak menumpukan masanya untuk penerbitan akhbar ini, kecuali pada hari Ahad, kerana akhbar ini diterbitkan pada hari itu,  maka beliau mempunyai masa terluang untuk bersama-sama keluarga, sahabat handai, dan rakan-rakan (Joniston, 2009: 77).
            Edaran dan jualan The Sabah Times meningkat secara mendadak.  Fuad Stephens mula membina empayar medianya, apabila “pada tahun 1954, beliau mengambil alih North Borneo News.  Kedua-dua akhbar ini digabungkan di bawah nama North Borneo News and Sabah Times” (Joniston, 2009: 79).  Bagi memastikan jumlah pembaca mencakupi pelbagai lapisan rakyat, satu halaman didedikasikan khas kepada pembaca Melayu. Akhbar berkenaan juga mempunyai ruangan bahasa Kadazan yang disunting oleh rakan Fuad Stephens, Datuk Freed Sinidol. Kedua-duanya, iaitu Fuad Stephens dan Sinidol menjadi rakan yang akrab kerana bersama-sama memperjuangkan hak dan kebudayaan Kadazan, ini termasuk mempunyai siaran radio dalam bahasa Kadazan (Joniston, 2009: 79).  Pada Februari 1955, Fuad Stephens menerbitkan beberapa siri rencana untuk memaparkan kebudayaan kehidupan seharian masyarakat Kadazan yang sebelum ini tidak mendapat perhatian (Joniston, 2009: 83). 
            Pada suatu ketika,  Fuad Stephens  menawarkan  Tan Sri Abdul Samad Ismail untuk memimpin akhbar yang dimiliki di Sabah itu, tetapi Samad menolak (A. Samad, 1997: 17).  Dengan mempelawa Samad Ismail, wartawan terkenal, nampaknya Fuad Stephens mempunyai cita-cita besar untuk mengembangkan dan memajukan lagi syarikat akhbarnya.
            K. Bali,  dari  Kelantan kemudiannya   merantau ke Sabah,   mencatatkan dalam memoirnya perkenalannya dengan Fuad Stephens. “Pada 9 April 1956, saya menaiki bas (dari Menggatal) menuju ke Jesselton. Dari perhentian bas Jesselton saya berjalan kaki menuju ke Jalan Gaya, mencari pejabat Sabah Times yang berhampiran dengan pejabat akhbar Han Chiau Jit Pao (K. Bali, 2002: 288).  “Seorang wanita mempelawa saya duduk di kerusi rotan dan sekejap kemudian, Tuan Donald keluar dan kami berjabat tangan” (K. Bali, 2002: 288 - 289). Daripada catatan K. Bali itu jelas menunjukkan Fuad Stephens  sangat melayan dan menghormati  tetamu, kerana beliau  mempelawa K. Bali  minum, meskipun K. Bali memberitahu bahawa baru sahaja minum di Menggatal (K. Bali, 2002: 289).
            Sebenarnya, Fuad Stephens  meminta K. Bali datang ke pejabat Sabah Times untuk urusan bayaran,  kalau dalam istilah sekarang, honorarium sumbangan tulisan K. Bali.   Bersama-sama wang kertas $50, K. Bali diminta menandatangani baucar yang disertakan (K. Bali, 2002: 289). Di sini menunjukkan bahawa  Fuad Stephens menghargai sumbangan penulis dan masa yang sama, beliau mengambil berat pengurusan kewangan, iaitu menyediakan dokumen bayaran: baucar. Apabila K. Bali bertanya tujuan wang itu diberikan kepadanya, Fuad Stephens menjawab, “Tidak apa-apa, kamu selalu menulis untuk siaran Sabah Times, wang ini sebagai sagu hati. Terimalah buat belanja kopi” (K. Bali, 2002: 289).
            Meskipun K. Bali menjelaskan bahawa beliau menulis sebagai sumbangan sahaja tanpa memikirkan bayaran, Fuad Stephens  menjelaskan, “Terima sajalah Encik Bali, surat khabar kami sebagai business paper ada pendapatan.  Kami mesti bayar kepada penulis dan pemberita.  Saya nampak kamu sangat rajin menulis dan selalu hantar untuk Sabah Times (K. Bali, 2002: 289). Dalam perbualan itu jelas menunjukkan bahawa akhbar milik Fuad ketika itu sudah berdaya maju, manakala Fuad Stephens  sendiri membuktikan kejujurannya dengan membayar titik peluh pengkarya.  Sebenarnya, bukan mudah untuk sebuah akhbar untuk membayar sumbangan penulis dengan  berbagai-bagai alasan. Yang menarik, Fuad Stephens sendiri menyuruh orangnya bernama Abdullah mencari K. Bali di Menggatal untuk urusan bayaran. Ketika itu, K. Bali mengikuti rombongan sandiwara Booty Suria Negara mengadakan persembahan di beberapa tempat di Sabah.
(Dipetik daripada Pengukir Sejarah Pembina Bangsa Jilid II, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...