KHAMUS, 11 Julai 2019
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Hasrat Hasan bin Darus untuk bernikah dengan Joyah binti Abu tidak tercapai kerana mas kahwin bernilai RM501 tunai. Hasan yang terperanjat akan nilai mas kahwin yang tinggi tergesa-gesa meninggalkan majlis akad nikah, walaupun "Bumiputra-Commerce dekat ja., Nasib malang terus menimpa Hasan dan Joyah kerana iklan tersebut tidak disiarkan lagi akibat kritikan ahli politik. Meskipun nasib Hasan dan Joyah tidak menyayat kalbu jika dibandingkan dengan kisah Uda dan Dara, Romeo dan Juliet, dan Laila Majnun, penamatan iklan berkenaan tidak wajar kerana kritikan yang dikemukakan tidak berasas sama sekali.
Pengiklan terpaksa akur terhadap kriikan itu, walaupun iklan tersebut menunjukkan daya kreatif yang tinggi. Iklan yang kononnya dianggap menghina agama telah dimatikan oleh ahli politik yang ingin menunjukkan sifat pelindung secara berlebih-lebihan. Seolah-olahnya gambaran yang ditunjukkan dalam iklan itu tidak pernah dan merupakan perkara yang aneh.
Padahal, kelam-kabut pengantin lelaki semasa akad nikah lazim berlaku dan merupakan cerita harian dalam masyarakat, khususnya di luar bandar. Misalnya, kisah pengantin lelaki yang tidak dapat menjawab nikah yang akhirnya menyebabkan dia terpaksa dimandi limau dan ada kalanya wang hantaran tidak cukup apabila dikira oleh pihak pengantin perempuan. Oleh itu, agensi pengiklanan sekadar mengolah keadaan kelam-kabut semasa akad nikah sesuai dengan tujuan komersial.
Oleh sebab agensi pengiklanan mempunyai daya kreatif yang tinggi dan watak Hasan berjaya menghidupkan kelucuan, maka iklan itu sentiasa menjadi perhatian atau tontonan khalayak. MIsalnya, nama Hasan bin Darus dan Joyah binti Abu menjadi sebutan anggota keluarga yang mergadakan majlis perkahwinan di Kuala Terengganu baru-baru ini. Seorang kawan dari tempat yang sama memberitahu bahawa anak lelakinya berumur lima tahun akan menyebut nama Hasan bin Darus setiap kali dia bersalaman pada hari Aidilfitri yang lalu. Sambutan yang sedemikian rupa menggambarkan bahawa agensi pengiklanan berkenaan berjaya menarik perhatian khalayak melalui daya kreatif yang mengandungi unsur lucu yang lazim berlaku dalam masyarakat.
Malangnya, daya kreatif yang mampu menerobos minda khalayak dan seterusnya mempengaruhi tanggapan mereka dimatikan oleh ahli politik yang berfikiran sempit dan menganggap iklan itu sebagai penghinaan. Mereka juga mencadangkan supaya siaran iklan Bumiputra-Commerce yang menggambarkan sifat boros keluarga Cina dan lelaki Melayu dihentikan. Namun begitu, ahli politik ini lupa bahawa iklan Jualan Mega yang menggalakkan orang ramai membeli-belah sebenarnya lebih boros daripada iklan bank berkenaan. Sekiranya ahli politik ingin menunjukkan sifat pelindung, mereka sepatutnya bercakap dengan nada yang serupa terhadap iklan Jualan Mega.
Sebenarnya, tindak-tanduk ahli politik berkenaan yang bertaraf wakil rakyat mendedahkan bahawa fikiran dangkal masih berleluasa dalam masyarakat Malaysia. Lebih malang, fikirang dangkal itu lahir daripada golongan yang dianggap berpendidikan dan bermartabat. Jika fikiran dangkal itu tidak dicabar dan sering dipatuhi, nescaya daya kreatif masyarakat dalam bidang pengiklanan, penulisan, dan sebagainya terkongkong. Bahkan, dalam jangka panjang, bakat kreatif individu semakin malap.
Nasib Hasan dan Joyah menunjukkan bagaimana fikiran yang dangkal mampu membunuh fikiran yang kreatif dan bernas. Karyawan yang bercita-cita mengasah bakat dalam bidang seni terpaksa tunduk kepada golongan yang lebih berkuasa, tetapi daif dari segi pemikiran, Sebelum ini, iaitu pada tahun 1980-an, iklan kad kredit American Express yang menampilkan seorang Tan Sri mengalami nasib yang sama. Sebagaimanya iklan Bumiputra-Commerce, siaran iklan American Express itu dihentikan kerana kritikan ahli politik di Dewan Rakyat.
Sepatah kata orang bawahan apabila iklan Hasan dan Joyah dihentikan: "Ahli politik mahu campur tangan dalam segala hal." Pada alaf baharu dan pada abad ke-21, ahli politik yang dangkal patut ditolak oleh rakyat.
("Memo Ketua Editor," Dewan Budaya, Februari 2001.)
No comments:
Post a Comment