Artikel Popular

Saturday, July 6, 2019

Rundingan Baling: Kejayaan Tunku Menundukkan Chin Peng


SABTU, 6 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Semasa berkhidmat sebagai Ketua Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra mengadakan rundingan dengan Chin Peng, setiausaha agung PKM, yang beliau sifatkan sebagai “rundingan bersejarah” (Tunku  Abdul Rahman Putra, 1980: 7).  Bagi Tunku, beliau mengadakan Rundingan Baling itu untuk “mendedahkan pembohongan PKM serta pengakuan Chin Peng bahawa dialah yang cuba membebaskan Tanah Melayu... Apabila Chin Peng memutuskan bahawa dia tidak akan meletakkan senjatanya, maka nyatalah kepada penduduk Tanah Melayu bahawa dia bermaksud untuk meneruskan tindakan kekejaman dan keganasannya bagi mencapai maksud politiknya sendiri...” (Tunku  Abdul Rahman Putra, 1980: 7). 
Dalam Rundingan Baling itu, Tunku bersama-sama David Marshall, Ketua Menteri Singapura daripada Parti Buruh dan Tun Tan Cheng Lock, pemimpin MCA, manakala Chin Peng bersama-sama Chen Tien dan Rashid Maidin.  Menurut Tunku, “beliau sedar bahawa Chin Peng datang berunding dengan perasaan yang ragu, maka oleh sebab itu, Tunku mengambil sikap sangat berhati-hati untuk memastikan agar tidak terlampau yakin kerana untuk mengelak daripada “risiko kegagalan” (Tunku  Abdul Rahman Putra, 1980: 7).  Ibrahim Mahmood  menyatakan pihak PKM berutus-utus  surat dengan Tunku yang membawa kepada Rundingan Baling (Ibrahim, 1981: 478 – 480), manakala Dato’ P.G. Lim memuatkan rekod verbatim Rundingan Baling yang melibatkan empat sesi (Lim, t.t.: 99 – 132).
Bagi Tunku, tawaran Chin Peng untuk bertemu dengan beliau sebagai anugerah daripada Tuhan, dan beliau segera mengambil kesempatan itu.  Sebenarnya, Tunku tidak  mahu Tanah Melayu senasib dengan Palestin, yang menurut beliau, ketika orang Yahudi menentang Inggeris, orang Arab mengambil pendirian tidak menyebelahi mana-mana pihak.  Akan tetapi, apabila Inggeris terdesak, mereka berdamai dengan Yahudi dan menyerahkan seluruh Palestin kepada Yahudi. “Perkara ini dapat berlaku dengan mudah sekali dalam keadaan Darurat Tanah Melayu, jika perang itu merugikan Inggeris.  Tidak ada kuasa penjajah yang mahu mempertimbangkan perasaan penduduk ‘bumiputera’ jika keputusannya akan merugikan kepentingan mereka ataupun mungkin membahayakan jiwa rakyat mereka” (Tunku  Abdul Rahman Putra, 1980: 7).  Sejauh mana tepatnya perbandingan yang dibuat oleh Tunku itu adalah di luar skop buku ini. Namun begitu, yang jelas di peringkat antarabangsa, ketika itu berlaku Perang Dingin, iaitu pertembungan ideologi antara Barat dengan Timur, antara komunis dengan bukan komunis, manakala  di rantau Asia,  Perang Korea (1950 – 1953) baru sahaja berakhir dan Perang Vietnam (1955 – 1975) baru sahaja bermula. Faktor ini tidak memungkinkan British begitu mudah bekerjasama dengan PKM dan begitu mudah menyerahkan Tanah Melayu kepada mereka.
Dalam rundingan yang berlangsung selama dua hari mulai 28 Disember 1955, Tunku menegaskan bahawa apa-apa jua keputusan rundingan itu, “rancangan kami terhadap berkerajaan sendiri tidak sekali-kali akan terganggu, tetapi akan berjalan terus seperti yang dirancang” (Ibrahim, 1981: 485).   Chin Peng mahu PKM diiktiraf dan mengekalkan hak ke atas senjata yang mereka miliki.  Tunku bagaimanapun, menuntut pembubaran PKM dan penyerahan semua senjata api yang dimiliki gerila.  Dia enggan berbuat demikian dan mereka kembali ke hutan belantara untuk meneruskan peperangan (Mahathir, 2015: 167).  Chin Peng yang  enggan menerima pengampunan dan meletakkan senjata tanda menyerah diri menegaskan, “sebab antara kamu dengan komunis tidak ada saling wujud” (Lim, t.t.: 94).  Dalam rundingan itu, Tunku menolak permintaan  dengan tegas permintaan PKM untuk dibenarkan wujud sebagai sebuah politik yang sah.  Tunku juga menolak permintaan PKM yang mahukan mereka diberikan peluang meletakkan senjata secara terhormat (Mohd. Reduan, 2008: 64).
Bagi Tunku sendiri, pertemuan dengan Chin Peng itu mendatangkan hasil yang sangat baik. “Barulah untuk pertama kalinya rakyat Tanah Melayu tahu apa yang dicita-citakan oleh Chin Peng – bukan pemerintahan sendiri yang demokratik, melainkan pemerintahan Tanah Melayu yang dikuasai oleh komunis (Tunku  Abdul Rahman Putra, 1980: 14). Dr. Mahathir yang dalam beberapa perkara  tidak sehaluan dengan Tunku, menganggap “pertemuan itu satu kejayaan besar bagi Tunku. Dengan satu langkah bijak, Tunku membuktikan kepada semua pihak bahawa beliau bukanlah boneka British”  (Mahathir, 2015: 167). Pertemuan itu bukan sahaja menaikkan imej dan wibawa Tunku sebagai pemimpin di sebuah negara yang sedang memperjuangkan kemerdekaan, tetapi juga menjadikan perjuangan komunis  tidak relevan, seperti yang dicatatkan oleh Dr. Mahathir:  “Mulai saat itu, Chin Peng  dan PKM bukan lagi pejuang pembebasan rakyat, tetapi berperang menentang Tanah Melayu” (Mahathir, 2015: 167).
Bagi kawan-kawan politiknya, seperti Tun Fatimah Hashim yang pernah menganggotai Kabinet Tunku dan menerajui Wanita UMNO, tindakan Tunku untuk bertemu dengan Chin Peng, menunjukkan kesediaan Tunku menggadai nyawanya (Fatimah, t.t.: 57). Bagi Tun Dr. Mahathir Mohamad pula, kesediaan Tunku untuk menemui Chin Peng bagi merundingkan gencatan senjata menunjukkan bahawa sebagai ketua kerajaan, Tunku “tidak berlengah untuk menunjukkan kebebasannya.” Dalam satu langkah yang bertentangan dengan dasar British, beliau menawarkan pengampunan kepada pengganas komunis (Mahathir, 2015: 167). 
PKM bersetuju mengadakan Rundingan Baling dengan beberapa muslihat tertentu, iaitu “untuk memperdaya Perikatan dengan mengadakan pakatan sementara.  Mereka perlu bekerjasama dengan Tunku Abdul Rahman untuk menghalau penjajah British. Setelah penjajah itu diusir dan keamanan ditegakkan, maka pada masa itulah PKM dengan sokongan rakyat akan menumbangkan rejim borjuis Tunku Abdul Rahman dan menggantikannya dengan rejim diktator rakyat semua kaum dan lapisan” (Mohd, Reduan, 2008: 63).   Setelah gagal dalam rundingan pertama, PKM sekali lagi mengajak kerajaan berunding, tetapi kerajaan mengetahui niat tersembunyi PKM, tidak melayani permintaan mereka (Mohd. Reduan, 2008: 64).  Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Chin Peng menghantar dua pucuk surat kepada Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, menyatakan kesediaan PKM untuk berunding.  Surat yang pertama bertarikh 12 Oktober 1957, bertaip dalam bahasa Melayu.  Satu lagi surat, yang merupakan surat terakhir, bertarikh 9 Disember 1957  (Ibrahim, 1981: 670 – 673).
Meskipun  Rundingan Baling itu gagal, pendapat awam memihak kepada Tunku, terutamanya pada pandangan kerajaan kolonial, yang tertarik dengan cara Tunku menangani situasi (Lim, t.t.: 94). Walaupun gagal memujuk PKM, Tunku Abdul Rahman dapat menunjukkan kepada orang ramai bahawa kerajaan Perikatan telah membuat yang terbaik untuk membawa keamanan bagi mencapai kemerdekaan Tanah Melayu.  Yang bersalah ialah PKM yang menolak pengampunan dan enggan meletakkan senjata (Ramlah, 2005: 248). Rundingan  itu menyebabkan British terpaksa memberikan perhatian serius terhadap perjuangan kemerdekaan.  Bagi Tunku, “Baling terus membawa terus kepada kemerdekaan” kerana Rundingan Baling itu, “maka kita dapat merampas inisiatif daripada PKM, kemudian bersidang di meja perundingan di London bagi kemerdekaan kita dengan kita dengan Inggeris”  (Tunku  Abdul Rahman Putra, 1980: 16).  Rundingan Baling sebenarnya merupakan kemenangan politik dan peribadi  bagi Tunku kerana dapat  “menjinakkan” PKM sambil meyakinkan British bahawa kemerdekaan Tanah Melayu tidak dapat dielakkan lagi.
Semasa kepimpinan Tunku sebagai Perdana Menteri,  “Darurat telah tamat pada 31 Julai 1960” (Mohd. Salleh, 2006: 22), menandakan kemenangan Tanah Melayu dalam menghadapi ancaman dan keganasan komunis. “Maka berakhirlah keganasan komunis yang selama 12 tahun mengganggu negara kita yang dahulunya aman bahagia” (Tunku  Abdul Rahman Putra, 1980: 16).
(Dipetik daripada Bab Satu, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...