Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Mulai Januari 1994, Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan
majalah bulanannya, Dewan Ekonomi. Salah satu ruang yang disediakan dalam
majalah ini, ialah “Tokoh Usahawan,” dengan Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir
muncul dalam keluaran sulung, diikuti oleh Tan Sri Azman Hashim dalam keluaran berikutnya, dan Tan Sri Teh Hong Piow dalam keluaran Mac. Apabila DBP mengambil alih semua
majalahnya yang difrancaiskan kira-kira
satu dekad kepada sebuah penerbit swasta, termasuk Dewan Ekonomi, mulai
keluaran Januari 2007, majalah ini
dengan tenaga editorialnya tidak
menunggu lama untuk menemui Tan Sri Teh dan Public Bank, yang muncul dalam keluaran September melalui ruangan “Korporat.” Pastinya, antara
dua liputan ini, banyak peristiwa yang berlaku di peringkat negara dan antarabangsa,
seperti krisis kewangan Asia
1997/1998, yang akibatnya, bank-bank
tempatan diarahkan bergabung antara
tahun 1999 – 2000. Pastinya, antara
tempoh itu, Public Bank terus berkembang maju, berjaya mengharungi krisis
terburuk itu, dan merealisasikan statusnya sebagai bank anchor.
Hasil
usaha gigihnya menubuhkan dan membina Public Bank Bhd., Teh Hong Piow, tahun demi tahun, muncul sebagai salah
seorang individu terkaya di Malaysia. Shang
Hai, majalah bulanan ekonomi dalam bahasa Cina keluaran April 1989 muncul
dengan “Ten Largest Chinese
Businessmen,” dengan Teh Hong Piow salah seorang daripadanya (dipetik
daripada Hara, 1991: 360). Beliau
menduduki tangga keenam daripada 30 orang kapitalis Cina Malaysia yang
utama pada tahun 2006, dengan kekayaan anggaran pada 29 Disember tahun itu,
RM7.150 bilion (Beh, 2007: 245, Jadual 7.9).
Dalam senarai 40 orang terkaya di
negara ini pada tahun 2015, beliau menduduki tangga kelima, dengan kekayaan
RM18.174 bilion seperti pada 17 Januari tahun itu. Pada tahun 2014, beliau menduduki tangga
ketiga, dengan kekayaan RM18.066 bilion.
Pada tahun 2015, tempat ketiga beliau diambil oleh Tan Sri Lim Kok Thay
daripada Genting Group, dengan kekayaan RM25.35
bilion, manakala seorang lagi banker, Tan Sri Quek Leng Chan daripada
Hong Leong Group, kekal di tangga keempat, dengan kekayaan RM20.42 bilion.
Sementara itu, Robert Kuok Hock Nien daripada Kerry Group/Kuok Group dan T. Ananda Krishnan daripada Usaha Tegas,
masing kekal di tangga pertama dan kedua dengan kekayaan masing-masing RM41.358
bilion dan RM35.502 bilion (Mior, 2015: 28).
Dalam senarai individu yang terkaya di Malaysia pada tahun 2016, Teh
menduduki tempat ketiga, dengan kekayaan RM20.327 bilion berbanding dengan
RM18.404 bilion, meningkat RM1.923 bilion atau 10.4 peratus. Beliau
di belakang Robert Kuok yang memiliki kekayaan RM36.735 bilion dan Tan
Sri Lim Kok Thay yang memiliki kekayaan RM22.207 bilion (StarBiz Team,
2017: 3) Pada tahun 2017, beliau menduduki tempat ketiga, dengan kekayaan
bersih RM21.5 bilion, di belakang Robert Kuok (PBB Group/Kerry Group) dan Tan
Sri Lim Kok Thay (Genting Group) dengan kekayaan bersih masing-masing RM49.9
bilion an RM23.8 bilion (StarBiz Team, 2018: 12).
Dalam
kalangan 20 buah syarikat teratas dari segi
membayar ganjaran kepada lembaga pengarah pada tahun 2013, Public Bank
Bhd. menduduki tangga keenam dengan bayaran RM44.486 juta; pada tahun sebelum
ini, Public Bank membayar RM38.185 juta, menduduki tangga kelima. Hasil bank
ini pada tahun 2013 berjumlah RM15.264 bilion dan keuntungan bersih RM4.065
bilion (Nurul ‘Ain, 2014: 24). Pengarah
bank ini yang menerima bayaran tertinggi, ialah pengasas dan pengerusi
eksekutifnya, Tan Sri Teh Hong Piow, iaitu RM18.936 juta pada tahun 2013 dan
RM14.514 juta pada tahun 2012 (Nurul ‘Ain, 2014: 25).
Dipetik daripada Bab Tiga, Peneraju Dunia Korporat, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)
No comments:
Post a Comment