Artikel Popular

Wednesday, July 24, 2019

Pejuang Bahasa

RABU, 24 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Dalam keluaran Mac 2015,  Dewan Masyarakat muncul dengan ruang “khas” sebagai memperingati kepulangan ke rahmatullah Tun Abdul Rahman Ya’kub, mantan Menteri Persekutuan, mantan Ketua Menteri, dan mantan Yang Dipertua Negeri Sarawak. Dalam ruangan itu dimuatkan dua makalah, iaitu “Peranan Bahasa Melayu dalam Pembinaan Tamadun Tinggi” yang merupakan teks syarahan Allahyarham ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) pada 29 Mei 2004. Makalah ini pernah diterbitkan oleh PLM dengan judul yang sama dalam Suara Pejuang Bahasa (2005), dengan Abdul Rahim Bakar dan Awang Sariyan sebagai editor.
            Tun Abdul Rahman, antaranya menulis, bahasa Melayu sebelum Islam meskipun mula memperlihatkan bibit peranannya dalam pembentukan tamadun, seperti yang berlaku dalam zaman Sriwijaya ialah bahasa yang agak terbatas dalam bidang yang mewakili konsep tamadun tinggi. Selain sebagai bahasa perhubungan umu, dan sedikit dalam bidang keagamaan Hindu-Buddha, tidak jelas adanya warisan tamadun tinggi dalam kosa kata atau perbendaharaan kata (Abdu-Rahman, 2015: 17). Tulis beliau lagi, selain menjadi bahasa ilmu, falsafah, pemikiran, undang-undang, ketatanegaraan, seni sastera, dan persejarahan, bahasa Melayu ternyata menjadi bahasa dalam bidang perhubungan diplomatik (Abdu-Rahman, 2015: 18). Beliau juga menyentuh  peranan bahasa Melayu sebagai lingua franca, khususnya sebagai bahasa perdagangan berlangsung kerana banyak negeri di alam Melayu yang menjadi pusat perdagangan (Abdu-Rahman, 2015: 18).
            Satu lagi makalah, “Perginya Seorang Negarawan Pendidikan dan Perpaduan Nasional” yang ditulis oleh Awang Azman Awang Pawi, yang boleh dianggap sebagai obituari dengan menyentuh latar belakang kehidupan Tun Abdul Rahman, sejak dilahirkan, bersekolah  hingga beliau  menceburi politik dan memegang beberapa jawatan penting di peringkat negeri Sarawak dan Persekutuan. Abdul Rahman terkenal sebagai pemidato yang cukup petah.  Keupayaan berhujah dan bijak menyusun kata menyebabkan beliau dikenali sebagai Sukarno Malaysia.  Kepintarannya juga menyebabkan beliau diberikan gelaran “Sang Kancil Sarawak.”  Kepetahannya berpidato menarik perhatian khalayak dan berupaya membina dan meluaskan pengaruh politik di peringkat negeri dan nasional (Awang Azman, 2015: 22). Beliau disifatkan  sebagai negarawan ulung (Awang Azman, 2015: 22).


            Pada 20 Mei 1969,  Tunku Abdul Rahman membentuk  barisan Kabinetnya  yang menyaksikan kepulangan semula Tun Dr. Ismail  yang meletakkan jawatan pada tahun 1967 atas alasan kesihatan, dilantik   sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri (sekarang, Menteri Dalam Negeri).  Tunku kekal sebagai Perdana Menteri,  manakala Tun Abdul Razak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri juga sebagai Menteri Pertahanan dan pemangku Menteri Kewangan.  MCA yang kalah teruk dalam pilihan raya itu enggan menyertai Kabinet, tetapi keesokannya tiga orang anggota parti itu dilantik sebagai Menteri Tanpa Jabatan, iaitu Tun Tan Siew Sin, Khaw Kai Boh, dan Lee Siok Yew  (Comber, 2007: 144). 
Dalam Kabinet itu, Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri Pelajaran menggantikan Tan Sri Mohd. Khir Johari yang berpindah ke kementerian lain. Dengan pelantikan itu, beliau merupakan Menteri Pelajaran keempat selepas Tun Abdul Razak, Abdul Rahman Talib, dan Khir Johari, dan merupakan menteri pertama dari  luar Semenanjung yang menerajui portfolio penting. Dalam kalangan orang Melayu terutamanya, yang baru bangkit daripada tragedi berdarah, pada mulanya mereka tidak memberikan harapan yang tinggi pada beliau, meskipun mereka mengalu-alukan pertukaran Khir Johari.
Menurut cerita, pada mulanya Tunku Abdul Rahman mahu memindahkan Abdul Rahman ke Kementerian Penerangan, kerana Tunku mahu kementerian ini juga cemerlang, seperti Kementerian Tanah dan Galian.  Namun begitu, Tun Abdul Ghafar Baba mencadangkan Abdul Rahman diletakkan di kementerian yang lebih penting, iaitu Kementerian Pelajaran, yang lebih sesuai dengan kewibawaannya.  Lagipun, kementerian ini memerlukan seorang menteri yang dinamis dan berpandangan jauh (H. M. Tuah, 1999: 177 – 178).
Abdul Rahman menyambut pelantikan barunya dengan rasa penuh gembira.  Semenjak berusia lapan tahun lagi, dia telah jatuh cinta dengan pelajaran.  Dia telah melalui segala macam kepayahan dalam usahanya hendak menimba ilmu pengetahuan.  Pelajaran telah lama bersatu dalam dirinya (H. M. Tuah, 1999: 178).
Pelantikan anak Sarawak dalam jawatan Menteri Pelajaran selain kepercayaan tinggi pucuk pimpinan nasional adalah disebabkan untuk mengelakkan pendidikan menjadi isu yang panas dan kritikal hingga dijadikan bahan politik parti pembangkang. Dengan pelantikan anak Sarawak, maka kerangka yang lebih luas yang melangkaui sempadan UMNO dana wilayah di Semenanjung Malaysia (Awang Azman, 2015: 21).
            Abdul Rahman tidak memerlukan masa lama untuk memperlihatkan komitmen dan ketegasannya  dalam melaksanakan Dasar Pelajaran Kebangsaan.  Tatkala bahang Peristiwa 13 Mei masih belum reda, beliau mengambil langkah berani mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan “Pada 30 Julai 1969, Menteri Pelajaran mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah di Semenanjung Malaysia secara berperingkat-peringkat, bermula dengan darjah satu pada tahun 1970.  Bahasa Inggeris hanya diajar sebagai bahasa kedua.  Pelaksanaan ini dilanjutkan ke sekolah menengah, termasuk tingkatan enam, akan menggunakan bahasa Melayu  pada tahun 1982.  Mulai tahun 1983, bahasa Melayu akan digunakan sebagai bahasa pengantar dalam tahun pertama di kuliah-kuliah universiti” (Comber, 1970: 146).
            Tentang pelantikannya sebagai Menteri Pelajaran, Abdul Rahman pernah menulis: “Yang menjadi keutamaan saya apabila dilantik ke jawatan tersebut adalah bagaimana sistem pendidikan kebangsaan dapat dilaksanakan.  Antara kekurangan yang cukup jelas kekurangan guru, khususnya bagi bidang sains dan matematik, yang dapat mengajar dalam bahasa Melayu.  Saya mendapat persetujuan Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak untuk mengusahakan kedatangan guru dari Indonesia sebagai langkah segera untuk mengatasi masalah kekurangan guru yang dapat mengajar dalam bahasa Melayu” (Abdul-Rahman, 2015: 19).
Kemuncak pendaulatan  bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam bidang pendidikan, adalah dengan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970, sebagai tindak balas terhadap “ura-ura orang Cina untuk menubuhkan Universiti Merdeka” (Zainuddin, 1997: 41; Syed Husin, 2012: 51).  Tunku Abdul Rahman dan Menteri Pelajaran Mohd. Khir Johari tidak begitu ghairah dengan cadangan penubuhan UKM, sedangkan Tun Abdul Razak memberikan sokongan, tetapi tidak secara terbuka  (Zainuddin, 1997: 41).  Penubuhan UKM adalah atas daya usaha Menteri Pelajaran ketika itu, Tun Abdul Rahman Ya’kub bersama-sama Tun Abdul Razak, yang dilantik  sebagai canselor pertama.  Beliau (Tun Abdul Razak) mahukan UKM “diorientasikan sebagai sebuah institusi yang dapat melahirkan golongan berpendidikan yang bersifat praktikal dan berfikiran terbuka, bukan menjadi universiti yang hanya melahirkan golongan ideologue sahaja” (Nik Anuar, Muhammad, dan Abd. Ghapa, 2011: 319). 
Dalam satu ucapannya, Abdul Rahman menjelaskan bahawa penubuhan UKM pada tahun 1970 adalah “hasil daripada usaha beberapa orang pejuang kebangsaan kita yang bersidang beberapa kali di ibu negara.  Usaha mereka ini,  tidak boleh kita lupai dan nama mereka patutlah ditulis dengan ‘tinta emas’ dalam sejarah UKM ini” (Dewan Masharakat [sic], 1970: 3).
Dalam ucapan itu juga Abdul Rahman menyentuh pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan sepenuhnya yang beliau umumkan beberapa bulan sebelum ini. Beliau memperlihatkan ketegasannya dalam menghadapi tindak-tanduk golongan yang “meragui    kesanggupan dan kebolehan bahasa kebangsaan digunakan sebagai bahasa pengantar yang utama dalam mata pelajaran sains dan yang serupa dalam pusat pengajian tinggi, dan juga di sekolah menengah di negara ini. Ada golongan yang dengan sengaja memutarbelitkan apa yang telah dilaksanakan  mulai Januari 1970.  Mereka  menuduh kerajaan menghapuskan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di Malaysia. Beliau menegaskan bahawa propaganda itu tidak berasas sama sekali sambil mengingatkan bahawa Dasar Pelajaran Kebangsaan mewajibkan tiap-tiap murid di bangku sekolah daripada rendah sehingga ke atas mempelajari bahasa Inggeris” (Dewan Masharakat [sic], 1970: 2). Bahkan, beliau mengkritik golongan tersebut dengan  menganggap mereka  “sebenarnya tidak mahu bahasa kebangsaan digunakan dengan seluas-luasnya di negara ini sambil memetik Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, bahawa mereka masih berjiwa kolonial, meskipun negara sudah merdeka. Mereka belum dapat mengeluarkan diri mereka daripada penjajahan jiwa mereka” (Dewan Masharakat [sic], 1970: 3). 
(Dipetik daripada Bab Dua, Pengukir Sejarah Pembina Banga, Jilid II, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...