Artikel Popular

Wednesday, July 24, 2019

KRIS Bukan Pilihan

RABU, 24 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Sebelum menubuhkan dan mengetuai UMNO, Dato’ Onn ialah ahli asal Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS), dan beliau ialah peserta kongres KRIS yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 16 dan 17 Ogos 1945  (Comber, 2007: 52). Pada bulan Julai 1945, beberapa minggu sebelum  menyerah diri, Jepun memutuskan untuk menyegerakan rancangan mereka untuk memberikan kemerdekaan kepada Indonesia. Dalam satu pertemuan yang dihadiri oleh Setiausaha Agong Pentadbiran Tentera Jawa, Sumatera, Celebes, dan Tanah Melayu pada penghujung bulan itu, sebuah parti baharu terkenal dengan nama KRIS telah muncul di bawah Ibrahim (Haji) Yaacob. KRIS  – senjata turun-temurun orang Melayu – bertujuan untuk menggalakkan idea Indonesia Raya dan pada amnya, memperluas konsep kebangsaan Melayu (Comber, 2007: 51).  Meskipun rancangan kemerdekaan Tanah Melayu dan bergabung dengan Indonesia tidak dapat dilaksanakan, diputuskan bahawa  KRIS – tanpa kehadiran Ibrahim yang telah terbang ke Jakarta – akan  meneruskan perjuangan kebangsaan di Tanah Melayu (Comber, 2007: 53). 
Mustapha Hussein dalam memoirnya menulis penubuhan KRIS, yang menurut beliau, singkatan Kekuatan Rakyat Istimewa dan bukannya Kekuatan Rakyat Indonesia Semenanjung – nama yang terdengar selepas Jepun menyerah kalah  (Insun Sony, 1999: 363 – 364; 383, nota 2).  Mustapha menceritakan perihal  KRIS  dalam Bab 25 “Hodosho dan Pertubuhan KRIS (Kekuatan Rakyat Semenanjung) Julai – Ogos 1945.”  Mustapha yang tidak hadir dalam Kongres KRIS yang berlangsung di Station Hotel, Kuala Lumpur, kerana uzur, mencatatkan penglibatan Dato’ Onn.  Berdasarkan surat Ibrahim kepada beliau pada 20 Mei 1975, “Kongres KRIS 16 dan 17 Ogos diserahkan kepada Dr. Burhanuddin memimpin bersama Hassan Manan, Dato’ Onn, Tengku Hussein – Singapura,  dan lain-lainnya”  (Insun Sony, 1999: 379).  Beliau  juga memetik surat Leftenan Osman Daim, ajutan Ibrahim,  yang menjelaskan bahawa Kongres KRIS yang dihadiri oleh banyak pemimpin, termasuk Dato’ Onn tidak dapat dilaksanakan kerana Jepun telah menyerah diri.  Osman dan “banyak pemimpin lain, termasuk Allahyarham Dato’ Onn dan Encik (Tan Sri) Samad Ismail telah bersama-sama naik kereta (api) mail ke Singapura”  (Insun Sony, 1999: 380).   Tindakan Dato’ Onn tidak mematuhi perintah Ibrahim untuk meneruskan Kongres KRIS bersama-sama Dr. Burhanuddin,  dan pulang ke Selatan Semenanjung, menyebabkan Ibrahim dalam suratnya kepada Mustapha, menuduh Dato’ Onn “pembelot” (Insun Sony, 1999: 380). Mustapha yang menyesali  dan bahkan mengkritik tindak-tanduk Ibrahim, termasuk tindakannya “pergi ke Indonesia bukanlah dengan mandat atau diutus  oleh Kongres KRIS” (Insun Sony, 1999: 382), mempertahankan kewajaran kongres itu tidak diadakan.  “Wakil-wakil Kongres KRIS menggunakan akal fikiran dan sempat menjauhkan diri daripada terperangkap”  (Insun Sony, 1999: 381).
Tan Sri A. Samad Ismail, yang turut menghadiri Kongres KRIS itu atas arahan Ibrahim,  menulis, “pertama kali saya menemui Dato’ Onn dalam perhimpunan wakil-wakil Keris [sic] yang diadakan di Station Hotel, Kuala Lumpur sejurus sebelum Jepun menyerah kalah.  Kongres itu diadakan untuk membincangkan proklamasi kemerdekaan Malaya, tetapi telah dibatalkan apabila Jepun menyerah diri akibat ledakan bom di Hiroshima dan Nagasaki. Dato’ Onn dan Sardon Jubir (Tun) adalah antara wakil dari negeri Johor.  Saya menjadi wakil Singapura” (rujuk Anwar, 2005: 25).
Tidak dapat dipastikan sejauh mana penglibatannya dalam KRIS mencorakkan pemikiran dan perjuangan politik Dato’ Onn. Yang jelas, “beliau tidak bersetuju dengan gagasan Dr. Burhanuddin al-Helmy, pemangku Pengerusi KRIS untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu menerusi Indonesia Raya.  Beliau mengingatkan orang Melayu supaya berfikir dengan teliti sebelum bercakap kemerdekaan Tanah Melayu”  (Cheah, 2014: 121).  Beliau juga bersikap krisis terhadap KRIS dan bentuk kemerdekaan Tanah Melayunya.  Meskipun beliau dikatakan anggota Kesatuan Melayu Muda (KMM), beliau dikatakan enggan menyertai KRIS (Cehah, 2014: 283 – 284).
KRIS mempunyai hayat yang singkat, kalau menurut catatan Mustapha Hussein,  ditubuhkan “pada 3 Julai 1945” (Insun Sony, 1999: 367), dan   “apabila British kembali semula ke Tanah Melayu pada akhir September 1945, para pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM),  Pembela Tanah Air (PETA), dan KRIS ditangkap, tetapi mereka dibebaskan kemudian. 
Perjuangan KRIS yang dimasuhkan diteruskan dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), yang menjadi cergas dalam politik sejak awal lagi setelah Inggeris kembali semula ke Tanah Melayu (Comber, 2007: 53).  PKMM ditubuhkan oleh golongan  kiri Melayu dalam perhimpunan pertama di Ipoh, Perak  pada  17 Oktober  1945 (Ariffin, 2015: 47), wujud hanya beberapa bulan lebih awal daripada PMSJ.  Dato’ Onn yang menerajui PMSJ meneruskan kerjaya dan perjuangan politiknya tanpa menyertai PKMM; sebaliknya,  beliau akhirnya  menubuhkan UMNO.  “PMSJ ini juga menjadi sebuah daripada pertubuhan Melayu yang mengasaskan UMNO”  (Ibrahim, 1981: 327).  Meskipun pegawai PKMM, seperti Ishak Haji Muhammad cuba mendapatkan Dato’ Onn supaya bekerja dengan mereka, parti beliau, PMSJ, enggan bersama-sama PKMM (Cheah, 2014: 284).
Dato’ Onn menggunakan pelbagai saluran untuk membela dan memperjuangkan nasib orang Melayu.  Selain melalui akhbar dan persatuan, beliau turut menghadiri persidangan yang bersifat  “nasionalisme Melayu.”  Beliau pernah menghadiri Kongres Persatuan Melayu Kedua, sebagai  tamu istimewa.  Kongres yang terakhir sebelum Pendudukan Jepun, berlangsung di Singapura pada 25 dan 26 Disember 1940, dihadiri oleh 41 orang wakil daripada 11 badan negeri dari Singapura, Pulau Pinang, Melaka, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Kelantan Johor, Brunei, dan Sarawak.  Sungguhpun tidak berjaya melahirkan sebuah pertubuhan Melayu yang meliputi seluruh Malaya, persatuan-persatuan Melayu itu tidak syak lagi mempunyai kejayaan juga dan turut memberikan sumbangan yang bererti kepada kepesatan berkembangnya nasionalisme politik Melayu beberapa tahun kemudian. Dalam satu pengakuan setelah berakhirnya kongres tersebut, Dato’ Onn berkata, “Sebenarnya, bangsa Melayu belum  jatuh dan tidak  jatuh... Dengan pendirian persatuan-persatuan Melayu di Semenanjung  Tanah Melayu ini saya yakin memang orang Melayu boleh mengembalikan kuasa yang lalu dan membaikkan kehidupan orang Melayu (Roff, 2014: 263 – 264; rujuk juga Ramlah, 2005a: 58 - 60).
(Dipetik daripada Bab Empat, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...