Artikel Popular

Tuesday, July 30, 2019

Ekonomi Politik Balak

SELASA, 30 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Hasil balak merangsang tabung kerajaan negeri, yang daripada hasil itu, peruntukan diberikan untuk memenuhi bahagian pendanaan pembangunan.  Industri balak pastinya mengayakan Sarawak (Wee, 2007:  376).  Di dunia perhutanan, Sarawak hampir sinonim dengan industri balak tropika.  Negeri ini merupakan pengeksport utama kayu keras tropika (Wee, 2007: 376; Aeria, 2013: 128).   
            Berikutan pertemuan di Hotel Ming Court itu, Abdul Taib mengumumkan bahawa beliau membekukan 25 konsesi balak seluas 1.25 juta hektar (tiga juta ekar), bernilai kira-kira RM22.5 bilion, dan konsesi adalah “tertumpu dalam tangan sebilangan orang,” iaitu saudara-mara dan kawan Abdul Rahman (Ritchie, 1987: 39; Jomo, 1992a: V. Rujuk juga Abdul Rahman, 2007: 365;   Leigh, 1991: 191;  Aeria, 2013: 128). Beliau juga memerintah badan berkanun kerajaan mengeluarkan RM150 juta yang tersimpan dalam Bank Utama yang Abdul Rahman ialah pemegang saham terbesar (Abdul Rahman, 2007: 365).  Dengan pembekuan konsesi itu kelihatan sebagai pendendam, tetapi berkesan untuk merangsang para penyokong Abdul Rahman menyokong Abdul Taib sepenuhnya kerana aliran tunai mereka  tiba-tiba kering (Leigh, 1992: 191). 
            Rasional untuk tindakan itu adalah bahawa pemegang lesen melanggar syarat lesen mereka, dalam banyak kes dengan memindahkan permit itu kepada kontraktor mereka (Leigh, 1991: 191). Menurut Abdul Taib, tindakan itu diambil kerana terdapat pihak tertentu yang menggunakan wang hasil konsesi tersebut untuk menentang kerajaan negeri pimpinan beliau (Nidzam, 2006: 235).  Ketua Menteri memberikan petunjuk yang jelas bahawa pembekuan lesen “dilakukan betul-betul pada masanya demi mencegah Sarawak daripada dikuasai oleh ‘politik  balak’. Beliau memberitahu beliau melihat bahaya mendatang dalam bentuk kebanjiran wang balak yang memberikan kesan buruk terhadap politik di Sarawak. Politik balak boleh menjadi berbahaya jika terlalu banyak konsesi dalam tangan segelintir orang dan mereka yang dalam satu kumpulan” (Leigh, 1991: 192).       
            Tercetus perang media berikutan pembekuan konsesi balak itu.  Akhbar Sarawak Tribune yang memihak pada Abdul Rahman melawan balik dengan mendedahkan kumpulan syarikat yang bersekutu dengan Abdul Taib yang memiliki konsesi balak seluas 1.6 juta hektar.  Sebagai tindak balas, The People’s Mirror yang dimiliki oleh Datuk James Wong, pemegang konsesi balak yang utama dengan lebih 300,000 hektar, yang juga presiden SNAP, Menteri Alam Sekitar dan Pelancongan, dan pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1970-an – menerbitkan perincian konsesi balak seluas 1.25 juta hektar yang dikawal oleh atau bersekutu dengan Abdul Rahman dan keluarganya.  Justeru, konsesi balak antara bapa saudara Abdul Rahman dengan anak saudara Abdul Taib berjumlah kira-kira 30 peratus tanah hutan Sarawak (Jomo, 1992a: V).
              Majalah Forbes mengenal pasti orang Cina Sarawak sebagai seorang taikun balak terbesar Asia.  Kajian tentang tujuh syarikat balak terbesar di Sarawak mengesahkan kepentingan utama perniagaan keluarga Cina.  Syarikat ini mempunyai hubungan baik dengan elit politik Sarawak, di samping dengan beberapa orang yang berpengaruh dari segi politik di Sabah dan Semenanjung dan dengan kepentingan Jepun.  Syarikat ini memegang konsesi besa dan mempunyai akses dengan modal jauh melampaui min syarikat purata di negara ini (Wee, 2007: 376).  Elit pemerintah yang dianugerahi konsesi balak akan memajaknya kepada kontraktor yang kebanyakannya Cina untuk operasi dan eksploitasi (Wee, 2007:  376). Secara berkesan, sistem konsesi hutan yang lemah bermakna kebanyakannya kalaupun tidak kesemua konsesi balak besar disubkontrakkan kepada firma Cina besar, seperti  KTS, Rimbunan Hijau, Samling, WTK, Sanyan, dan Shin Yang.  Syarikat konsesi ini dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Ketua Menteri dan ahli politik utama yang lain dalam Barisan Nasional. Firma ini bergantung pada Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk kekayaan mereka.  Dengan kata lain, perniagaan Cina yang mempunyai hubungan yang sangat baik ialah benefisiari utama daripada dasar bumiputera DEB (Aeria, 2013: 134).
            Sementara sesetengah pemegang konsesi dan taikun balak dianugerahi bintang kebesaran, seperti “Datuk” atau “Tan Sri” oleh kerajaan negeri atau Persekutuan kerana sumbangan mereka, penduduk peribumi ada kalanya melancarkan protes membantah pengusaha pembalakan yang dianggap menceroboh tanah yang dimiliki menurut tanah NCR  (Wee, 2007:  376).
            Pokok masalahnya, pastinya ekonomi politik  balak, yang merupakan penyumbang kedua terbesar selepas petroleum, sejak awal tahun 1980-an, jauh melebihi sumbangan minyak sawit, kecuali pada tahun 1984, dan getah.  Pada tahun 1990 misalnya, perolehan eksport daripada balak dan produk balak berjumlah RM8.9 bilion, atau 11.3 peratus jumlah hasil eksport, berbanding dengan RM10.6 bilion untuk petroleum, RM4.4 bilion untuk minyak sawit, dan RM3.0 bilion untuk getah (Jomo, 1992a: IV).
            Hak konsesi balak menjadi lebih banyak hadiah yang didambakan untuk politik dan kuasa, mengakibatkan kitaran ganas politik balak, yang menjadi semakin telus kerana raja balak berkelahi dalam berebut sumber yang berkurangan dan sukar didapati (Jomo, 1992a: IV; huruf condong oleh beliau sendiri).  Justeru, ekonomi politik balak membentuk dan menggerakkan politik Sarawak, sekurang-kurangnya dua dekad lalu (Jomo, 1992a: IV).  Percakaran  antara puak Abdul Taib dengan puak Abdul Rahman, sebahagiannya kerana perebutan sumber ini.
            Pilihan raya tahun 1987 melibatkan politik wang besar, dan “dianggarkan sekurang-kurangnya RM200 juta dibelanjakan oleh kedua-dua pihak, secara purata RM4 juta untuk setiap DUN (Jomo, 1992a: V).  Ketua Menteri menganggarkan kos kempennya dalam pilihan raya itu antara RM300,000 hingga RM500,000 untuk setiap DUN (Leigh, 1991: 192). Perbelanjaan kedua-dua belah pihak dijangkakan dibiayai oleh wang balak.
            Politik balak tidak terhenti setakat pilihan raya tahun 1987, kerana “pada tahun 1989, Abdul Taib dituduh  meluluskan lesen 8.8 juta hektar konsesi balak kepada penyokong setia politik-perniagaan” (Aeria, 2013: 128). Sebagai Ketua Menteri, beliau   mempunyai kuasa dalam menentukan kawasan konsesi pembalakan dan perladangan hutan di Sarawak... Beliau juga mempunyai kuasa dalam menentukan kawasan pembalakan yang akan dipungut oleh pemegang konsesi dan mempunyai kuasa untuk mengagihkan konsesi pembalakan ini kepada taikun Cina tempatan dan kapitalis bumiputera dalam kalangan keluarganya. 
(Dipetik daripada Bab Tiga, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid II, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...