Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Ketika berkhidmat sebagai
Perdana Menteri selama 22 tahun, Tun Dr. Mahathir Mohamad terkenal dengan pelaksanaan projek besar
atau projek mega, seperti Lebuh Raya
Utara-Selatan, Pusat Pentadbiran Putrajaya (Putrajaya), Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),
Koridor Raya Multimedia (MSC), Menara Berkembar Petronas KLCC, Menara
Kuala Lumpur. Akibatnya, Dr. Mahathir
sering menjadi sasaran kritikan, terutamanya daripada parti pembangkang dan
daripada Dato’ Seri Anwar Ibrahim apabila beliau dipecat daripada kerajaan dan
parti pada September 1998, padahal sebagai anggota Kabinet - menteri dan
Timbalan Perdana Menteri, beliau pastinya, terlibat dalam pembuatan keputusan
untuk melaksanakan projek berkenaan.
Walau bagaimanapun, segala kritikan itu tidak dapat menafikan kewajaran
akan perlunya sesetengah projek besar atau projek mega, misalnya lebuh raya
yang kini bukan lagi dianggap sebagai alternatif, tetapi sebagai keperluan,
manakala Putrajaya dan KLIA adalah untuk keperluan jangka panjang. Sebagai contoh mudah, ialah pembinaan
Jambatan Pulau Pinang pada tahun 1982 dan siap pada tahun 1985 dengan
perbelanjaan RM850 juta. Lebih dua dekad
kemudian, sebuah lagi jambatan perlu dibina, yang dikenali dengan nama
rasminya Jambatan
Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. Kerajaan DAP yang menguasai Pulau Pinang sejak pilihan
raya umum 2008 - dan pemimpin parti
itu sering mengkritik projek mega Dr. Mahathir, turut merancang
projek yang boleh dikatakan “projek mega,” iaitu pembinaan terowong di negeri itu.
Tentang Lebuh Raya Utara-Selatan, Dr. Mahathir
memberitahu bahawa Kabinet bersetuju perlu diswastakan, tetapi tidak banyak
pula kontraktor berminat untuk mencuba sesuatu yang baharu. Akhirnya, sekumpulan kontraktor Melayu
dipujuk untuk membina dan mengendalikan lebuh raya itu (Mahathir, 2015: 582).
Pembinaan seterusnya sebagai tambahan kepada
Lebuh Raya Utara-Selatan, iaitu di antara Kuala Lumpur dengan Seremban
yang telah pun siap dibina, di bawah penswastaan bermula pada tahun 1988 dan
siap pada tahun 1995, 15 bulan lebih awal daripada jadual. Lebuh raya
ini meliputi jarak 772 kilometer dari sempadan Thai ke Johor, dengan
sebuah jambatan baharu menyambungkannya dengan Singapura. Penswastaan Lebuh Raya Utara-Selatan dari
segi operasi boleh dianggap berjaya... (Mahathir, 2015: 583). Apabila Mahathir mengumumkan pembukaan Lebuh
Raya Utara Selatan pada September 1994, pihak media dalam nada memuji,
menekankan penyempurnannya yang lebih awal dan bukannya skandal kontrak
bernilai RM3.4 bilion yang dianugerahkan kepada United Engineers Bhd. (UEM),
subsidiari pelaburan UMNO, Hatibudi (Hilley, 2008: 71; rujuk juga Means, 1991:
210).
Namun begitu, pemberian kontrak kepada UEM ini
mencetuskan kontroversi, dan ketika perebutan kepimpinan UMNO, “Musa Hitam
menuduh Dr. Mahathir dan Daim melakukan rasuah” (Means, 1991: 210). Kontroversi
menjadi semakin rumit apabila pada Julai 1987, Lim Kit Siang, mengemukakan
saman di mahkamah untuk menyekat pelaksanaan kontrak atas alasan konflik
kepentingan dalam menganugerahkan kontrak dan rasuah pada bahagian mereka yang
bersekutu dengan projek ini. Kerajaan
naik berang terhadap tindakan undang-undang ini (Means, 1991: 211). Walau bagaimanapun, Mahkamah Agung yang bersidang, memutuskan bahawa Lim Kit Siang tidak mempunyai locus standi,
dan dengan itu, tidak boleh meneruskan kes ini di mahkamah (Means, 1991: 237).
Tidak dapat dipastikan, sama ada penahanan Lim Kit Siang di bawah ISA ketika
Operasi Lalang, ada hubung kaitnya
dengan saman kontrak bernilai RM3.4 bilion itu.
“Mahathir percaya pada perkara besar,” tulis Rais
Yatim dengan merujuk beberapa projek besar atau “projek mega” itu. “Walau
bagaimanapun, ketika rakyat menggunakan projek itu, domain awam ini merembeskan
kemegahan mereka dan kebergunaan. Dalam
analisis akhir, rakyat percaya bahawa
apa yang beliau lakukan bukannya untuk dirinya sendiri, tetapi untuk negara”
(Rais, 2006: 121). Rais dalam bukunya
yang lain menjelaskan bahawa “projek
mega” atau projek gergasi tidak menjadi hal sangat kerana akhirnya manfaat
diterima juga oleh rakyat (Rais, 2004: 506).
Bagi Dr. Mahathir, beliau mempunyai alasan
tertentu mengapa beliau melaksanakan projek besar atau projek mega, iaitu dari
segi “ekonomi bidangan,” seperti yang
pernah jelaskan kepada para perwakilan UMNO. Beliau mengakui bahawa
projek-projek di Malaysia, sama ada oleh swasta ataupun kerajaan memang besar,
kerana skala ekonomi, iaitu penurunan kos, selain menjana keuntungan yang
besar, yang dapat menambah hasil kerajaan, di samping menambah modal untuk
pelaburan atau projek lain. Dan pelaburan menyumbang kepada kekayaan negara.
Hujah Dr. Mahathir, projek besar bukan pembaziran, sebaliknya menyumbang kepada
pembangunan negara. Beliau mengingatkan
rakyat Malaysia “supaya tidak mudah terpedaya dengan dakwaan mereka kononnya
kita di Malaysia, dan saya terutamanya, sedang membazirkan duit negara dengan
projek-projek ‘mega.’ Kita tidak sebodoh itu” (Ahmad Fawzi dan Mohd Foad, 2005:
448 – 449).
Projek mega, skandal pun mega! Dalam tempoh 22 tahun pemerintahannya berlaku
pelbagai skandal, seperti yang
didedahkan Barry Wain dalam “Bab 6:
Scandal, What Scandal?” bukunya, Malaysian
Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent
Times, seperti malapetaka bijih timah, kisah BMF (Bumiputra Malaysia Finance),
kegagalan pertukaran asing, dan bencana Perwaja, dianggarkan kerugian
sebanyak RM100 bilion. “Kebanyakan semua
skandal melibatkan kerajaan secara langsung, atau pegawai kanan dan ahli
perniagaan yang mempunyai hubungan rapat dengan UMNO” (Wain, 2009: 149).
Dalam kes BMF, pada Oktober 1983, tindakan mahkamah di Hong Kong
mendedahkan Carrian Investments berhutang sebanyak RM1.7 bilion dengan BMF dan
sangat sedikit jumlah itu dapat dipulihkan (Means, 1991: 120). Dr. Mahathir
mengakui bahawa “jenayah yang sungguh kejam” dilakukan, menambah,
“meskipun apa yang mereka lakukan salah dari segi moral, sah dari segi
undang-undang, kita tidak boleh menghadapkan mereka ke mahkamah” (Meas, 1991:
122). Pendedahan skandal BMF di Hong Kong itu jelas mencemarkan slogan “Bersih,
Cekap, Amanah” dalam pentadbiran
Mahathir... Dalam kalangan tokoh politik yang tercemar akibat ini ialah Dr.
Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah,(Tun) Musa Hitam, Dr. Nawawi Mat Awin, Hashim Shamsuddin,
(Tan Sri) Kamarul Ariffin Mohamed Yassin, dan Dr. Rais Saniman (Means, 1991:
123). Walau bagaimanapun, pada tahun
1995, tanpa liputan media arus perdana di Malaysia, Tengku Razaleigh yang
ketika itu ketua parti pembangkang,
menang di Mahkamah Tinggi Hong Kong, membebaskan dirinya daripada
sebarang tuduhan yang menyebabkan BMF kerugian RM1.5 bilion pada tahun 1983
(Hilley, 2008: 140).
Berikutan pendedahan dalam buku
Barry Wain itu, “pemimpin pembangkang
Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri
Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak menubuhkan suruhanjaya diraja untuk
menyiasat Tun Mahathir” (Tai, 2010). Melihat hubungan rapat yang terjalin
antara dua pemimpin veteran pada tahun
2016 dengan pelancaran Deklarasi Rakyat, mungkin Lim Kit Siang berasa
“bersyukur” kerana gesaannya tidak dipedulikan oleh Mohd. Najib!
(Dipetik daripada Bab Sepuluh, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)
No comments:
Post a Comment