Artikel Popular

Saturday, July 20, 2019

Memulakan Perjalanan Politik

SABTU, 20 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Tun Datu Mustapha Datu Harun memberitahu, sejak tahun 1953 lagi,  beliau mengikuti perjuangan UMNO dari dekat, iaitu ketika beliau menuntut di Maktab Pertanian di Serdang.  Tan Sri Ong Kee Hui terdahulu dari beliau menuntut di situ. “Ketika itu juga saya ada bertemu dua kali di maktab itu  sekali di rumah  kediamannya minum teh dengan Allahyarham Dato’ Sir Onn Ja’afar yang mulai memimpin Parti Negara [sic]. Pertemuan itu adalah perantaraan seorang guru maktab itu, cikgu Muhammad  Rashid Ahmad yang sangat karib dengan Dato’ Onn ketika itu. Dato’ Onn ada bertanya apakah saya tidak tertarik dengan politik Semenanjung ketika itu. ‘Saya tidak berani masuk campur, kerana saya adalah rakyat Borneo Utara’, itu penjelasan saya” (Subky, 1981: 10). Serdang itu sendiri ialah pusat kegiatan politik. Seorang tokoh Parti Negara [sic], cikgu Muhammad Rashid Ahmad, menjadi orang kanan Dato’ Onn, bertugas di Maktab Pertanian itu. Oleh itu, tempat inilah sentiasa menjadi tumpuan dan tempat berulang orang politik.  Cikgu Rashid inilah yang memperkenalkan Mustapha dengan Dato’ Onn (Subky, 1981: 50 – 51).
            “Akan tetapi ketika itu perjuangan UMNO dalam mencapai kemerdekaan sungguh menarik perhatian saya. Saya ikuti setiap perkembangan dan perjuangannya juga asya perhatikan dari dekat. Saya hampir menyertainya.  Bagaimanapun, saya dinasihatkan oleh kawan-kawan yang rapat bahawa adalah tidak bijak bagi seorang yang ada kedudukan dalam sebuah wilayah yang terjajah untuk mencampuri urusn politik negeri lain. Kawan-kawan itu menasihatkan kalaupun saya tertarik dengan politik UMNO, maka tugas saya bukanlah dalam UMNO, saya harus balik ke Sabah dan memperjuangkan nasib orang Sabah dahulu” (Subky, 1981: 10 – 11).
            Menurut Arkib Negara Malaysia, kerjaya politik Mustapha bermula apabila beliau dilantik sebagai anggota Majlis Undangan  Negeri Borneo Utara pada tahun 1954, dan seterusnya anggota Majlis Kerja Borneo Utara pada tahun 1956. Pada tahun 1961, Mustapha  mengasaskan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), dan beliau dipilih sebagai Yang Dipertua (presiden) USNO pertama pada 24 Disember tahun itu.
            Mustapha menggerakkan beberapa buah persatuan bagi mewujudkan pertubuhan politik di Sabah (Hamdan, 2015: 39). Cadangan penubuhan USNO bermula pada 2 Jun 1961, apabila Mustapha mengumpulkan sebanyak 60 orang di rumah Haji Abdullah Salleh, bertempat di pekan Kudat.  Susulan pertemuan itu, maka pada 24 Jun, suatu mesyuarat khas diadakan di Kelab Rekreasi Kudat bagi membentuk jawatankuasa penaja USNO. Ahli jawatankuasa yang dilantik ialah Mustapha (Yang Dipertua), Datu Aliuddin Datu Harun (timbalan), Cikgu Sabri Muhidin (setiausaha), Abdul Salam Noor (timbalan setiausaha), Haji Sulaiman Ahmad Mukhtar (bendahari), 21 orang bekas pasukan gerila Mustapha serta seorang bekas perisik (Hamdan, 2015: 40).
            Pembentukan USNO merupakan hasil gabungan beberapa buah persatuan Islam, badan kebudayaan, dan badan bahasa, dari beberapa tempat dan bandar di Sabah (Hamdan, 2015: 41). Kemunculan USNO ialah hasil daya usaha Mustapha  dan pemimpin-pemimpin Islam yang telah lama bergerak dalam persatuan sosiopolitik dan sosiobudaya di Sabah. Antara tokoh yang terbilang itu ialah  Datuk Zakaria Gunn, Datuk Ahmad Mahmud, Haji  Yusuf Shamsudin, Datuk Parman Hasan Raji, Datu Haji Ariffin,  dan Datu Haji Abdul Malik Jangkit (Jangkat (Sabihah, 2008: 10). Abdullah menyatakan nama tersebut bersama-sama beberapa nama lain, iaitu Datuk Mursyidi Nambi, Abang Dzulkifli Apong, Ahmad Haji Mohd. Taib, Datuk Othman Haji Sidik, dan Datuk K.M. Ednin sebagai jawatankuasa penaja yang diketuai oleh Mustapha, manakala Datuk Habib Abdul Rahman dan Mohsin Beldram dikemukakan oleh pihak penaja sebagai setiausaha agung (Abdullah, 1976: 69).
            Penubuhan USNO didorong oleh perkembangan politik di Persekutuan Tanah Melayu dan pengumuman konsep gagasan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman, dan “dipercayai penubuhannya atas nasihat dan persetujuan Tunku dan Tun Abdul Razak.:
            Beberapa bulan sebelum penubuhan USNO,  iaitu menjelang Ogos 1961, Donald Stephens (Tun Mohammad Fuad Stephens) menubuhkan Pertubuhan Kadazan Kebangsaan Bersatu (UNKO), sebuah parti yang mewakili kaum Kadazan (Mohd, 2016: 242). Atas nasihat Datuk Ahmad Mahmud, orang kerajaan yang berasal dari Kedah, lama tinggal di Sabah, kongres penubuhan USNO diadakan di Kudat demi menghindari saingan dengan  UNKO.  Mustapha bersetuju dengan cadangan itu (Abdullah, 1976: 69). USNO dan UNKO saling bersaing untuk mengembangkan pengaruh dalam kalangan masyarakat bumiputera di Sabah, yang akhirnya membawa kepada perseteruan politik.
            Mustapha pernah memberitahu dalam memoirnya, “oleh sebab orang Kudat boleh dikatakan kebanyakannya berkeluarga dengan saya, maka tidak sukar saya mendapatkan bantuan bagi memulakan kerja-kerja USNO.  Lagipun kedudukan saya ketika itu bolehlah dikatakan terkemuka juga disebabkan saya adalah seorang yang telah dipilih oleh British duduks sebagai anggota Dewan Undangan Negeri yang sama kedudukan dengan wakil rakyat sekarang dan juga Exco yang sama kedudukan dengan Exco di negeri-negeri sekarang (Subky, 1981: 7 – 8). Semasa kerajaan British, Mustapha sendiri sudah diberikan menikmati kekayaan bumi Sabah, iaitu beliau bekerja sebagai pemborong dan British memberi beliau kawasan balak.  Tulis Mustapha, “ketika saya memulakan gerakan USNO itu pendapatn saya kira-kira $80,000 sebulan.  Dengan wang inilah saya gunakan untuk perjuangan itu. Wang sebanyak itu hendak dibawa ke mana bagi keadaan seperti Sabah (Subky, 1981: 8).
            USNO  membuka keanggotaannya kepada semua golongan bumiputera Sabah, memperjuangkan hak semua penduduk bumiputera Sabah, biarpun dalam tindak-tanduknya lebih menekankan kepentingan bumiputera Islam (Sabihah, 2008: 10). Kemunculan USNO yang membuka keanggotaannya kepada semua masyarakat bumiputera Sabah telah menyebabkan dasar keanggotaan  UNKO tergugat kerana banyak  bumiputera Dusun yang tidak bersetuju dengan penggunaan perkataan Kadazan telah menyertai USNO (Sabihah, 2008: 9). Penekanan parti yang demikian ini membezakan perjuangan USNO dengan UNKO yang lebih mengutamakan bumiputera bukan Islam. Perbezaan penekanan inilah yang antara lain menjadi punca pertikaian  antara pemimpin USNO dengan UNKO (Sabihah, 2008: 10).
     Mustapha memberitahu kesukarannya untuk menggerakkan USNO apabila beliau terpaksa menghadapi pelbagai ancaman, termasuk ancaman nyawa yang terpaksa dihadapi. “Banyak sekali pujukan dan ugutan yang terpaksa saya tempuh. Saya masih ingat betapa sahabat saya karib saya Haji Abdul Ghani menangis-nangis datang kepada saya: katanya dia ada mendengar saya akan ditahan oleh British dan dan saya akan dicampakkan ke dalam jel. Seorang tauke Junior Kwan dari Sandakan datang bersama-sama Residen Keith Wookey menawarkan wang $1.5 juta meminta saya supaya jangan mencampuri politik. Seorang lagi tauke Sabah bernama Chung Chao Long juga ikut menemui saya dan menawarkan $1 juta kiranya saya sedia meninggalkan USNO.
(Dipetik daripada Bab Empat, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa Jilid II, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...