RABU, 3 April 2019
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
ROBOHNYA Tembok Berlin pada tahun
1989 dan disusuli dengan keruntuhan
Kesatuan Soviet disambut sebagai
kemenangan kapitalisme. Kepesatan globalisasi sa dan kemakmuran yang melimpah ke seluruh pelosok dunia pada tahun 1990-an semakin menguatkan keyakinan
terhadap kemenangan kapitalisme.
Bersama-sama globalisasi dan kemakmuran itu, wang panas dan wang haram menjelajah dunia sehingga mengukuhkan ketaasuban terhadap pasaran
bebas. Pada dekad tersebut juga, neoliberalisme ekonomi dan kewangan bermaharajalela. Di seluruh dunia, tapak
pengumpulan modal dibina dan diperkukuh
sebagai dukungan kepada globalisasi dan neoliberalisme.
Namun
begitu, krisis kewangan yang melanda
Asia Timur pada tahun 1997-1998 dan merebak ke Rusia dan Amerika
Latin membuktikan bahawa kapitalisme tidak sekukuh seperti yang digembar-gemburkan. Peristiwa 11
September 2001 bukan sekadar menunjukkan
bahawa Amerika Syarikat terdedah pada serangan, tetapi juga menggugat keutuhan kapitalisme. Sejak akhir abad
ke-20, kapitalisme mengalami krisis
silih berganti, dan kemerosotan
atau krisis sekitar merupakan satu lagi
contoh krisis kapitalisme.
Kapitalisme yang sentiasa lapar akan
keuntungan cenderung mencetuskan krisis ekonomi. “Walaupun genangan dan keruntuhan ekonomi, di samping
kemerosotan alam sekitar berlaku sebelum
kewujudan kapitalisme, kapitalisme mempunyai keinginan tidak berhenti-henti
untuk melabur dan mengumpulkan kekayaan menyebabkan berlaku krisis ekonomi dan
alam sekitar yang berterusan” tegas Fred
Magdoff dalam Monthly Review keluaran
September 2002. Kapitalisme menyebabkan kemerosotan alam sekitar, seperti
pembasmian hutan, kekurangan tanah pertanian, dan kekurangan air. Pembalakan
yang berleluasa merupakan kerakusan kapitalisme yang ingin mengaut keuntungan.
Kepesatan perindustrian dan pembandaran
mengorbankan tanah pertanian, dan akibatnya berlaku krisis makanan. Kapitalisme mengeksploitasi alam sekitar hingga ke peringkat pulangan
sifar, iaitu tidak ada lagi keuntungan yang dapat dihasilkan. Pada masa yang
sama, penduduk yang bergantung pada tanah pertanian akan kehilangan sumber
pendapatan mereka.
Bagi
kapitalisme, perlu wujud keseimbangan
antara kemerosotan alam sekitar dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Maksudnya, pada tahap tertentu, alam
sekitar perlu dikorbankan demi mencapai pembangunan ekonomi. Namun begitu,
dalam pengorbanan ini lazimnya berlaku ketidakadilan sosial, iaitu
segelintir kapitalis mengaut keuntungan sambil memiskinkan sebilangan besar
penduduk. Dalam kerancakan pengumpulan modal, golongan miskin tidak mempunyai
suara atau hak untuk memulihara alam sekitar. Keadaan semakin rumit kerana bagi
badan antarabangsa, seperti Organisasi Perdagangan Sedunia (WTO), perdagangan
mengatasi segala-galanya, termasuk mengorbankan alam sekitar. Menurut senarai
WTO, air ialah barang, manakala
Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) menganggap air ialah
barang dan pelaburan. Dengan itu, air boleh dijual beli, dijadikan komoditi
yang boleh diperdagangkan, dan seterusnya peranan pemerintah untuk menyediakan
bekalan air kepada rakyat jelata diambil alih oleh pihak swasta.
Ahli ekonomi berpendapat bahawa kemiskinan dan kemerosotan alam sekitar
saling berkait antara satu sama lain. Kemiskinan menyebabkan kemerosotan alam
sekitar dan kemerosotan alam sekitar menyebabkan kemiskinan. Penduduk di negara
miskin terpaksa bergantung pada alam sekitar untuk kehidupan mereka
sehari-harian, seperti menebang pokok-pokok. Amalan ini akan menyebabkan
berlaku pembasmian hutan dan seterusnya hakisan tanah, dan akibatnya mereka
terus hidup dalam kemiskinan. Di sesetengah negara di Afrika, pembasmian hutan
dan kewujudan kawasan gurun dikaitkan dengan jumlah penduduk yang berlebihan.
Lantaran itu, penduduk desa terpaksa berhijrah ke bandar. Malangnya, bandar
tidak mampu menyediakan pekerjaan kepada golongan penghijrah ini, dan akibatnya
mereka terperangkap dalam kemelaratan dan kemiskinan bandar.
“Selama berabad-abad, pengurangan kawasan hutan tidak menghalang kemajuan
manusia. Malahan, penebangan pokok-pokok untuk melipatgandakan pengeluaran
makanan dan pengambilan hasil hutan merupakan aspek pembangunan ekonomi dan
sosial yang penting. Namun begitu, penebangan pokok-pokok secara berleluasa
meninggalkan kesan terhadap ekonomi dan kesejahteraan alam sekitar di
kebanyakan negara, terutamanya Dunia Ketiga sejak kebelakangan ini,” kata
Sandra Postel dan Lori Heise dalam buku Dunia Terancam. Penebangan pokok-pokok
oleh penduduk desa untuk keperluan ekonomi dan sosial tidak membawa kemusnahan yang teruk kepada alam
sekitar. Pokok-pokok merupakan sumber penting dari segi ekonomi dan kelangsungan hidup atau
penakatan penduduk desa. Beratus-ratus juta penduduk bergantung hidup pada cara
mengutip kayu untuk memasak, memanaskan rumah mereka, dan sebagainya. Walau
bagaimanapun, peluang ini semakin berkurangan akibat pembasmian hutan secara
berleluasa untuk tujuan komersial para kapitalis yang kadangkala bersekongkol
dengan pemerintah di sesebuah negara.
Selain
penduduk desa, para kapitalis dan konco-konco mereka juga mengeksploitasi alam
sekitar, bahkan mereka membawa kemusnahan alam sekitar dengan lebih pesat demi
mengaut keuntungan. Eksploitasi yang sedemikian juga menyebabkan sumber asli,
seperti air semakin berkurangan. Apabila air semakin berkurangan, sedangkan
permintaan terhadap sumber ini semakin meningkat, maka dalam keadaan seperti
ini, kapitalis berpeluang untuk mengaut keuntungan. Meskipun secara logik,
peningkatan kos bahan mentah dan kos lain yang berkaitan dengan kekurangan
sumber asli dapat mengurangkan keuntungan dan mencetuskan krisis ekonomi, namun
seperti yang disebut oleh James O’Connor, kapitalisme masih mampu
meningkatkan kadar eksploitasi, dan
oleh itu, meningkatkan keuntungan.
Satu
kecenderungan sekarang ini ialah air dikomersialkan, dikomoditikan, atau
diswastakan yang memberikan manfaat kepada kapitalis. Menurut majalah Fortune,
kini, keuntungan tahunan industri air berjumlah 40 peratus daripada sektor
minyak dan lebih tinggi daripada sektor farmasi, iaitu hampir AS$1 trilion
(RM3.8 trilion). Para kapitalis menghasilkan keuntungan yang lumayan daripada
krisis air kerana wujud monopoli dalam industri ini. Misalnya, di Amerika
Syarikat, syarikat besar yang menceburi industri air disenaraikan di bursa
saham.
“Oleh
sebab keuntungan merupakan matlamat yang mengatasi segala-galanya, maka kesan
buruk terhadap alam sekitar sudah tentu tidak dapat dielakkan. Pencemaran air,
udara, dan tanah merupakan kesan sampingan daripada pengeluaran sistem yang
diatur atau ditentukan oleh hanya satu matlamat, iaitu menghasilkan keuntungan.
Menurut logik pengeluaran dan pertukaran kapitalis, tidak wujud mekanisme untuk
menggalakkan atau memaksa industri mencari kaedah yang dapat meminimumkan kesan
terhadap alam sekitar,” kata Magdoff.
Walau
bagaimanapun, kapitalisme amat licik dari segi penghasilan keuntungan atau
pengumpulan modal dalam setiap situasi. Para kapitalis berpeluang mengaut
keuntungan, baik semasa sumber berlebihan mahupun semasa sumber ini
berkurangan. “Kita tidak sepatutnya memperlekeh keupayaan kapitalisme untuk
mengumpulkan kekayaan di tengah-tengah kemusnahan ekologi yang ketara, untuk
mengaut keuntungan daripada kemerosotan alam sekitar, misalnya melalui pertumbuhan industri pengurusan bahan buangan, dan untuk
terus-menerus merosakkan bumi in hingga ke tahap tidak ada lagi manfaat kepada masyarakat manusia dan spesies yang
hidup di dunia ini,” kata John Bellamy Foster semasa Persidangan Sosialisme
tahun 2002 di Chicago pada 15 Julai. Atau seperti kata German Greens, kapitalisme akan mengakui bahawa wang tidak
boleh digunakan, kecuali apabila pokok terakhir ditebang, dan bukan sebelumnya.
Memang
benar bahawa penduduk kampung di kawasan yang gersang d Senegal mengetahui
bahawa bumi mereka semakin gersang, pupus, dan terancam dan memang benar bahawa
penduduk d dalam hutan belantara di tengah-tengah Lembah Amazon mengetahui
bahawa tanah air mereka sedang musnah, namun
mereka kurang berupaya untuk menghalang pengumpulan modal. Seperti yang
berlaku di tempat-tempat lain, penduduk
desa terpaksa tunduk pada penguasa modal, meskipun keadaan alam
sekitar mereka terjejas, tergadai atau
musnah sama sekali. Baik dalam keadaan
kerakusan kapitalis mahupun krisis kapitalisme, penduduk desa terpaksa akur
bahawa alam sekitar di sekeliling mereka
bukannya milik mereka, tetapi milik pemerintah atau pemodal. Mereka
juga terpaksa akur bahawa pada suatu
kelak, tidak ada lagi sumber, seperti air dan kayu yang boleh dinikmati secara
percuma. Kini, mereka menyaksikan
alam sekitar merosot, sumber asli pupus,
bumi berubah menjadi gurun bukan akibat daripada bencana alam, tetapi angkara
“tangan kotor.” Seperti imperialisme, kata John Bellamy Foster, “kemerosotan ekologi merupakan asas kepada
kapitalisme untuk mencari keuntungan.”
(Dewan Budaya, Januari 2003.)
No comments:
Post a Comment