Artikel Popular

Thursday, July 25, 2019

Sempat Bergelar Wakil Rakyat

KHAMIS, 25 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Impian Dato’ Onn untuk bergelar “wakil rakyat” akhirnya kesampaian apabila beliau memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam Pilihan Raya Umum tahun 1959 – pilihan raya pertama selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan  pada tahun 1957. Dalam pilihan raya itu, Dato’ Onn yang bertanding Parti Negara menewaskan calon Perikatan Engku Muhsien Abdul Kadir dengan majoriti 2612 undi   Dalam pilihan raya itu, untuk Parlimen, Terengganu menyaksikan kemasukan calon dari luar, selain Dato’ Onn sendiri, iaitu Dr.  Burhanuddin al-Helmy Mohd Noor, Hassan Adli  Haji Arshad, dan Khatijah Sidek – semuanya calon PAS dan mereka berjaya meraih kemenangan.   Daripada enam kerusi Parlimen, PAS memenangai empat kerusi, Parti Negara satu kerusi, dan Perikatan satu kerusi (Hamdan, 2015: 18, Jadual 2).  Selain memenangi satu-satunya  kerusi Parlimen, Parti Negara memenangi empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, iaitu di Langkap, Bukit Besar, Ladang, Bukit Besar dan Batu Buruk.  “Kekuatan parti tersebut  terletak pada keperibadian Dato’ Onn dan tidak mungkin kekal lamanya sekiranya beliau meninggal dunia” (Milne dan Mauzy, 1982: 183).
Dalam pilihan raya itu PAS membentuk kerajaan Terengganu kerana memenangi 13 kerusi daripada 24 kerusi,  manakala selebihnya Perikatan – tujuh kerusi (Hamdan, 2015: 20, Jadual 3).  PAS kemudiannya mempunyai sedikit kelebihan apabila anggota DUN Langkap daripada Parti Negara, iaitu Ismail Abbas menyertai PAS pada (Hamdan, 2015: 26; Ramlah, 2005: 400).  Walau bagaimanapun, usia PAS memerintah Terengganu – hanya dua tahun empat bulan ekoran undi  tidak percaya yang dikemukakan oleh anggota DUN Ladang daripada Parti Negara, iaitu Wan Daud Wan Ahmad  terhadap kepimpinan Menteri Besar, Mohd Daud Abdul Samad pada 30 Oktober 1961 (Hamdan, 2015:  26 – 28). Kerajaan negeri berpindah tangan daripada PAS kepada Perikatan di bawah pimpinan Tan Sri  Ibrahim Fikri yang pernah menganggotai PKMM.
Sementara  PAS kehilangan sebuah negeri, Parti Negara kehilangan tiga anggota DUN kerana mereka menyertai UMNO.  Ketika politik Terengganu dilanda krisis, Dato’ Onn  yang tinggal jauh dari Kuala Terengganu  kesihatannya terganggu kerana menghidap kencing manis dan sakit jantung.  Masalah kesihatan ini menjejaskan penglibatannya dalam politik, seperti melawat kawasan dan menyertai persidangan Dewan Rakyat.
Pada 19 Januari 1962, Dato’ Onn meninggal dunia secara mengejut, dan dengan itu pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu Selatan diadakan pada 17 Mac 1962.  PAS mencalonkan Tengku Syahdan Tengku Abdul Hamid, Perikatan (UMNO) mencalonkan Ismail Haji Kassim, manakala Parti Negara diwakili oleh Gharif Raub.  Perikatan berjaya merampas kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 7275  undi, menewaskan   Parti Negara dan PAS yang masing-masing memperoleh 5198 undi dan 889 undi. Dengan kekalahan Parti Negara,  maka usaha parti itu untuk meneruskan legasi Dato’ Onn tidak membuahkan hasil (Hamdan, 2015: 28 – 29).  
Pada saat keharuan itu, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan akan memberikan penghormatan terakhir  kepada Dato’ Onn dengan mengadakan istiadat pengkembumian negara kerana mengenangkan jasanya yang tidak ternilai kepada bangsa dan nusa. Jenazah  Dato’ Onn Ja’afar disemadikan pada 20 Januari di Makam Diraja Perkuburan  Mahmudiah (Anwar, 2005: 257; Paridah, 2011: 261). Semasa hayatnya, Dato’ Onn dianugerahi “Bintang Knight of British Empire (K.B.E.) yang disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British  Sir Gerald Templer pada tahun 1953.
Tunku Abdul Rahman pernah menulis, “biar apa juga kelemahannya, namun beliau tetap merupakan orang yang mula-mula menyatukan bangsa Melayu.  Beliaulah yang mendirikan UMNO, dan kerana pimpinannyalah maka UMNO telah parti yang unggul di seluruh negara.  Di bawah pimpinannyalah juga UMNO memperoleh kekuatan dan pengaruh yang begitu besar hingga memperoleh rasa hormat daripada sahabat dan juga lawan” (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 44).
Pada 27 November 2015,  sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak Tahun 2015, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menganugerahkan Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (S.P.C.M.) yang membawa gelaran “Dato’ Seri” kepada Allahyarham Dato’ Onn Ja’afar.
Dua buah parti yang Dato’ Onn  asaskan mengalami nasib yang berbeza.  Parti Negara (sebelum ini IMP) berkubur bersama-sama beliau, “walaupun Parti Negara bertanding dalam pilihan raya 1964, semua calonnya kalah dan parti itu beransur-ansur lenyap” (Milne dan Mauzy, 1982: 183). Sebuah lagi parti, iaitu UMNO setakat tahun 2016, terus berkuasa selama 70 tahun, meskipun hegemoninya kian terhakis. 
Mungkinkah Dato’ Onn kalah pertempuran, tetapi menang perjuangan?
(Dipetik daripada Bab Empat, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...