Artikel Popular

Saturday, July 6, 2019

Pasukan Pengawal Kampung: Tun Hussein dan Tun Ibrahim


SABTU, 6 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Pada permulaan Darurat, Parti Komunis Malaya (PKM) mempunyai kekuatan 5000 orang anggota yang dibahagikan kepada 10 batalion, manakala kekuatan British jauh lebih besar dengan peningkatan pasukan polis daripada 9000 orang anggota pada tahun 1948 kepda 67,202 orang pada tahun 1952. Daripada jumlah tersebut, 22,187 ialah polis biasa, 44,878 polis bantuan, manakala kekuatan Pengawal Kampung pula meningkat hingga 300,000 pada Januari 1951 (Mohd Rizal dan Shamrahayu, 2015: 118 - 119).
Selepas enam bulan dalam perkhidmatan tentera, Tun Hussein Onn menyertai Perkhidmatan Tadbir Melayu (Malay  Administrative Service) dengan berkhidmat sebagai penolong pegawai tadbir di Daerah Segamat dan kemudian sebagai pegawai daerah di Kuala Selangor dan Kelang. Ketika itu, British sedang mengemukakan dasar Malayan Union dan Dato' Onn  Ja’afar sendiri memainkan peranan penting menentang Malayan Union dengan menubuhkan UMNO (Arkib Negara Malaysia, 1995: 1; rujuk juga Morais, 1982: 10). Beliau juga  dilantik menjadi anggota Majlis Undangan Negeri Johor dan Majlis Undangan Persekutuan. Semasa Darurat, beliau dilantik menjadi pegawai penjaga pasukan Pengawal  Kampung (Home Guard) di Johor (Arkib Negara, 1995: 1 – 2;  rujuk juga Ibrahim, 1981: 1011, Ibrahim, 2008: 202 - 203).  Tun Hussein sebagai ketua dan Tun Ibrahim Ismail sebagai timbalan  Pengawal Kampung bergerak ke seluruh negeri Johor melalui jalan raya menaiki sebuah jip bersama-sama seorang pemandu dan seorang pengiring.  Biasanya, mereka melalui kawasan yang sering didatangi komunis dan kemungkinan diserang hendap adalah tinggi; ada beberapa kali mereka nyaris diserang hendap (Ibrahim, 2008: 203).

Penglibatan   Ibrahim dalam menentang ancaman komunis bermula sebaik-baik sahaja Darurat diisytiharkan pada tahun 1948. Di negeri Johor, Menteri Besar ketika itu, Dato’ Onn Ja’afar, mengambil langkah serta-merta untuk menghalang komunis daripada menguasai kampung Melayu terpencil.  Anaknya, Tun Hussein yang sedang berkhidmat sebagai penolong pegawai daerah di Kuala Selangor, diminta pulang ke Johor untuk mengetuai urusan penubuhan Pengawal Kampung.  Hussein yang memikul tanggungjawab itu meminta  Ibrahim bersama-sama beliau sebagai timbalan. Kedua-duanya, iaitu  Ibrahim dan  Hussein bertanggungjawab melatih kader jurulatih Pengawal Kampung, di samping atas permohonan Markas Kontinjen Johor yang dalam proses penubuhan pasukan hutan, mereka berdua membantu mereka melatih anggota polis mereka dalam taktik peperangan hutan  (Ibrahim, 2008: 205; Ramlah, 2014: 19; Zainah, 2011: 181).   Mereka berdua tanpa mengenal penat lelah menjelajah seluruh Johor, pergi ke kampung-kampung di daerah yang terjejas teruk, untuk mengatur dan melatih orang kampung menggunakan senjata dan dalam strategi mempertahankan diri (Zainah, 2011: 181 – 182). Pada masa itu, keselamatan negara sedang terancam.  Ini bermakna Pengawal Kampung   terpaksa lebih berwaspada semasa melaksanakan tugas mempertahankan diri daripada kemungkinan diserang oleh pengganas komunis (Ibrahim, 2008: 206), yang turut mencatatkan Peristiwa Bukit Kepong, apabila pada 23 Februari 1950, komunis menyerang balai polis. Ibrahim memberitahu, “Setiap orang berasa takut kerana gerila bersenjata, sedangkan penduduk kampung tidak.  Kami memberi mereka senapang patah dan melatih mereka menggunakan senjata.  Apabila kami kehabisan senapang patah, kami mengagihkan parang panjang yang dibuat oleh orang kampung sendiri” (Zainah, 2011: 182).  

           Hussein dan Ibrahim mengumpulkan, mengatur, dan melatih 10,000 orang Pengawal Kampung.  Menurut Ibrahim, sambutan terhadap misi mereka sukar dipercayai. Orang Melayu berdiri teguh di belakang mereka dan bangkit menentang gerila dan mencegah kampung mereka daripada disusupi atau diganasi. Memang tidak sukar untuk mengambil penduduk kampung kerana mereka telah pun penuh rasa bangga dengan semangat nasionalisme Melayu dan dengan UMNO yang baru sahaja ditubuhkan, dan menentang Malayan Union” (Zainah, 2011: 182).  Ibrahim yakin bahawa strategi melawan balik pemberontakan merupakan instrumental dalam mencegah PKM daripada mengambil alih kawasan luar bandar dan kampung (Zainah, 2011: 182).
            Menjelang tahun 1952,  PKM yang melancarkan pemberontakan itu terpaksa berhadapan dengan pasukan keselamatan yang lebih mantap kerana beberapa perubahan yang dilakukan oleh pesuruhjaya British Sir Gerald Templer yang juga merupakan pengarah operasi mulai Januari 1952. Sepanjang tahun 1953 dan 1954, komunis terus menerima tentangan hebat di setiap medan dan penjuru, terutama sekali pelancaran operasi besar-besaran pihak polis dan Pengawal Kampung di Kelantan, timur Pahang, dan barat Perak. Tentera pula menumpukan operasi di tempat-tempat lain. Kawasan putih semakin banyak diisytiharkan, terutamanya di Pantai Timur (Mohd. Reduan, 2008: 57 – 60).
(Dipetik daripada Bab Sembilan, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...