Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Lazimnya, para
pemimpin negara akan menghadapi
masalah sekiranya mereka mempunyai anak yang meningkat dewasa kerana
anak-anak mereka ingin mengumpulkan kekayaan
di bawah naungan negara atau melalui mencari sewa (rent seeking). Apabila anak-anak sudah besar, mereka mendirikan
rumah tangga, maka menantu juga mahu tumpang sekaki. Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi menjadi
Perdana Menteri ketika beliau berusia 64
tahun, ketika anak-anaknya, meskipun hanya dua orang, sudah dewasa dan
masing-masing telah mendirikan rumah tangga. Meskipun bilangan mereka kecil,
tersebar tohmahan bahawa “anak menantu memagari beliau;” bahkan daripada
gelaran sinis “4K,” salah seorang “K,”
ialah anak dan seorang lagi
menantu.
Kejayaan besar Tun Abdullah dalam
pilihan raya umum tahun 2004 menjadikan beliau lalai dan memandang mudah
terhadap sungutan dan keluhan rakyat, bahkan peringat akar umbi UMNO berasa
kurang gembira dengan tindak-tanduknya. Beliau jelas memperlihatkan ketidakgiatannya
dan selesa dengan “Mr. Clean,” sedangkan imej itu pada mata rakyat kian
tercemar. Desas-desus kedengaran kononnya, menantunya Khairy Jamaluddin, yang
ketika itu naib ketua Pergerakan Pemuda UMNO, banyak mencampuri urusan
pentadbiran negara.
Keluarga Abdullah menjadi
sumber kekuatannya semasa memimpin, tetapi juga menjadi sumber kritikan.
Kritikan utama dilemparkan kepada menantunya, Khairy Jamaluddin yang berkahwin
dengan Nori pada tahun 2001. Khairy dituduh menjadi orang yang menguasai
pentadbiran Abdullah melalui kawalannya terhadap “Budak Tingkat Empat,” yang
merupakan kumpulan profesional muda yang menyertai unit pembuat dasar di
Pejabat Perdana Menteri. Khairy yang
dilantik sebagai pegawai khas dan
Timbalan Setiausaha Sulit Kanan, juga terlibat dengan kontroversi
pemilikan saham yang bernilai RM9.2 juta dalam ECM Libra Avenue (Welsh &
Chin, 2014: xxiii – xxiv). Setelah menerima pelbagai kritikan,
terutamanya daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad, maka pada awal Ogos 2006, Khairy menjual
sahamnya dalam ECM Libra Avenue. Namun begitu,
jika diperhatikan serangan Dr.
Mahathir itu, “tanduk dikilas, telinga
dipulas” – sasarannya terhadap Tun Abdullah dan Khairy dan tidak ketinggalan
Kamaluddin. Beliau mendakwa Scomi Bhd.
milik anaknya, Kamaluddin mempunyai kontrak
bernilai RM1 bilion dengan syarikat negara, manakala Khairy tanpa jawatan rasmi
meluluskan semua cadangan perniagaan yang dikemukakan kepada
kerajaan (Wain, 2009: 323).
Tun Abdullah pernah muncul di kaca televisyen dalam satu
wawancara yang berlangsung pada 7 Ogos 2006 untuk menjawab tuduhan rasuah dan
nepotisme yang dilemparkan oleh Dr. Mahathir.
Namun begitu, kemunculannya tidak
banyak membantu untuk mengawal kerosakan, seperti yang diperhatikan oleh Ooi
Kee Beng, “beliau menangani prestasi yang tidak cukup baik yang mendedahkan
beliau pada kritikan seterusnya, terutamanya tentang amalan perniagaan anaknya,
Kamaluddin dan menantunya, Khairy” (Ooi, 2008: 25).
Pada tahun bermulanya kejatuhan Tun Abdullah
itu, Paridah Abd Samad menerbitkan buku Abdullah Ahmad
Badawi: A New Breeze in Malaysia’s Politics – A Polical Analysis. Buku ini diterbitkan pada tahun
2008, iaitu tahun bermulanya kejatuhan Tun Abdullah, tetapi tidak dapat
dipastikan, sama ada diterbitkan sebelum ataupun selepas pilihan raya umum Mac
tahun itu. Dalam buku ini, Paridah menyorot dan membahaskan
kesukaran yang dihadapi oleh Tun Abdullah, iaitu kesukaran peribadi berkait
dengan Khairy, kesukaran di peringkat nasional, dan kesukaran politik.
Di tengah-tengah nama
keluarga Tun Abdullah, muncul Patrick Lim yang dianggap kroni beliau dan menambah comot “Mr. Clean.”
Lim dikatakan bersekongkol dengan Khairy dan membolot semua projek besar di
Terengganu (Welsh & Chin, 2014: xxv).
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Bab Dua Belas, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)
No comments:
Post a Comment