Artikel Popular

Tuesday, July 16, 2019

Kemunculan Ahli Perniagaan Melayu

SELASA, Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Golongan ahli perniagaan   Melayu yang seakan-akan tidak kelihatan akhirnya muncul dengan  pelaksanaan  Dasar Ekonomi Baru (DEB) dari  tahun 1971 hingga 1990, yang “menyasarkan penstrukturan semula pemilikan dan kawalan dalam ekonomi dan penyertaan guna tenaga orang Melayu dalam pelbagai sektor” (Faaland, Parkinson, dan Rais, 1991: 82).  DEB menentukan matlamat untuk tahun 1990 bagi peratusan bahagian pemilikan aset modal rakyat Malaysia, terutamanya ekuiti 30:40:30 oleh kepentingan bumiputera, rakyat Malaysia daripada kaum lain, dan kepentingan asing (Faaland, Parkinson, dan Rais, 1991: 82).
Pada tahun 1970, pemilikan saham korporat oleh orang Cina berjumlah 27 peratus, dan  perusahaan asing hampir 63 peratus, manakala  individu bumiputera dan agensi amanah,  dan orang India masing-masing 2.4 peratus dan 1.1 peratus (Gomez, 2013: 88 dan Jadual 3.1).  Berikutan  pelaksanaan DEB, bahagian pemilikan bumiputera telah meningkat, meskipun ada kalanya tidak mencapai sasarannya. “Pada tahun 1975, matlamat pemilikan dan penguasaan syarikat oleh individu bumiputera dan agensi amanah ialah 9.0 peratus, tetapi pencapaiannya 9.2 peratus.  Namun begitu, pada tahun 1985, hanya 19.1 peratus sektor berkenaan dimiliki oleh individu  bumiputera dan agensi amanah, kurang daripada matlamat asalnya, iaitu 21.9 peratus (Jomo K.S., 1992: 84 dan Jadual 6.5). Pada tahun 1990, iaitu tahun DEB berakhir, ekuiti korporat yang dimiliki oleh individu bumiputera dan agensi amanah  berjumlah 19 peratus, tidak mencapai sasaran 30 peratus, tetapi masih peningkatan yang menarik jika dibandingkan dengan angka pemilikan 1.5 peratus oleh bumiputera pada tahun 1969 (Gomez, Saravanamuttu, dan Maznah, 2013: 9; Gomez, 2013: Jadual 3.1).
Pelaksanaan DEB juga menyaksikan penglibatan UMNO dalam perniagaan dan hubungan ahli perniagaan Melayu  dengan pemimpin parti itu. Pada  mulanya, mereka mempunyai hubungan    dengan Tengku Razaleigh Hamzah, Menteri Kewangan, kemudian mereka yang mempunyai hubungan dengan Tun Daim Zainuddin  yang menggantikan Tengku Razaleigh pada tahun 1984 (Gomez, 1990: 32 – 51).  Seterusnya, apabila Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Menteri Kewangan pada tahun 1991, menggantikan Tun Daim, dan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1993, wujud ahli perniagaan  yang  mempunyai hubungan dengan beliau. Pendek kata, “pemimpin datang, pemimpin pergi”  yang pastinya membawa bersama-sama mereka ahli perniagaan. “Fleet Holdings pada era Tengku Razaleigh dan  Peremba Bhd yang pernah dikiaskan ‘Sekolah Pengurusan Peremba’  pada era Daim telah   melahirkan ahli korporat Melayu, manakala Malaysia Resources Corporation Bhd (MRCB) dikaitkan dengan  Anwar melalui management buyout (Zulkifli, 2002: 6).
Tahun awal 1990-an hingga tercetusnya krisis kewangan Asia 1997 – 1998,  menyaksikan kemunculan  ahli perniagaan di tanah air ini.  Bagi ahli perniagaan Melayu, kebanyakannya dan selalunya,  tetapi  bukan semuanya,  dikaitkan dengan UMNO dan elit pemerintah, manakala bukan Melayu, ada juga yang “tumpang sekaki.” Kebanyakan  mereka – Melayu dan bukan Melayu,  sebenarnya mendapat  faedah daripada “kapitalisme negara” dan “kapitalisme kroni.” Kapten perdagangan dan industri dikatakan  keriangan kerana mereka  mendapat manfaat daripada dasar ekonomi yang dilaksanakan, seperti dasar penswastaan. Ahli perniagaan berlumba-lumba untuk menyenaraikan syarikat mereka  di bursa saham, paling tidak pada papan kedua.   Setiap kali adanya tawaran awam permulaan (IPO), orang awam, iaitu  pelabur kecil berlumba-lumba mencuba nasib dalam pasaran saham.
Sebelum krisis kewangan, pertumbuhan ekonomi Malaysia secara purata lebih lapan peratus setahun, bermula sejak tahun 1988.  Pelaburan asing, iaitu aliran masuk bersih pelaburan langsung asing (FDI) tinggi, iaitu secara purata, RM3.19 bilion setahun dari 1991 – 1994, sebelum jatuh kepada RM486 juta untuk tahun 1995  - 1995.  Kadar pengangguran turun, manakala pendapatan dan taraf hidup meningkat (Khoo, 2003: 17). Wang panas yang menjelajah dunia turut mengalir ke Malaysia  merancakkan lagi kemunculan dunia korporat, yang  menyaksikan kehadiran ahli perniagaan   di mana-mana sahaja:  daripada bidang perniagaan kepada bidang politik, tidak ketinggalan dalam seminar atau persidangan. Bagi ahli perniagaan atau tokoh korporat  Melayu, nama mereka turut bergema   dalam Perhimpunan Agung UMNO, kerana melalui usaha parti itu, orang Melayu menguasai pelbagai sektor ekonomi, daripada perbankan kepada penerbangan.  Dalam ucapannya sempena Perhimpunan Agung UMNO tahun 1993, Tun Dr Mahathir Mohamad menyentuh panjang lebar pencapaian Melayu dan bumiputera sebagai pakar dalam pelbagai jurusan perubatan, juruterbang, ahli bank, dan ahli korporat yang terkemuka. Bagi beliau,  kejayaan itu bukan sahaja kejayaan UMNO, tetapi juga kerana perjuangan UMNO dan kerajaan pimpinan UMNO (Ahmad Fawzi dan Mohd Foad, 2005: 84 – 85).
Dalam dunia korporat, seperti yang diperhatikan oleh Terence Gomez, pada awal tahun 1997, perbadanan utama Malaysia, termasuk beberapa buah firma yang dikawal  oleh bumiputera, kebanyakan semuanya sangat berhubung rapat dengan salah seorang daripada tiga ahli politik yang paling berkuasa di Malaysia. Mahathir,  Anwar Ibrahim,Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, dan Daim Zainuddin, penasihat ekonomi kerajaan ketika itu (Gomez, 2003). Gomez seterusnya menyenaraikan nama yang berkait kuat dengan tiga ahli politik tersebut. Orang Melayu yang mengawal firma besar, termasuk Halim Saad, Tajuddin Ramli, Wan Azmi Wan Hamzah, Samsudin Abu Hassan, Hassan Abas, Ahmad Sebi Abu Bakar, dan Amin Shah Omar Shah, yang bersekutu rapat dengan Daim; Ishak Ismail, Mohamad Sarit Yusoh, Kamaruddin Jaafar, Kamarudin Mohd Nor, dan Rashid Hussain,   dikaitkan dengan Anwar; manakala mereka yang rapat dengan Perdana Menteri, termasuk anaknya Mirzan dan Mokhzani Mahathir, selain Allahyarham Yahya Ahmad, Basir Ismail, dan Mohd Noor Yusof (Gomez, 2003). Dalam kalangan tokoh perniagaan yang lebih  bebas dalam sektor korporat yang muncul sebagai ahli perniagaan sebelum Mahathir menjadi Perdana Menteri ialah Tunku Abdullah (Tuanku Abdul Rahman), Shamsuddin Abdul Kadir, dan Azman Hashim, tetapi semua ketiga-tiga ini sahabat karib Perdana Menteri (Gomez, 2003).
Walau bagaimanapun, Terence Gomez turut menyebut ahli perniagaan bukan Melayu yang mempunyai hubungan, yang juga berkembang cepat sebagai pemilik perusahaan ketika era Mahathir.  Ahli perniagaan ini,  termasuk Vincent Tan Chee Youn, Ting Pik Khiing, Francis Yeoh, Lee Kim Yew, dan T. Ananda Krishnan yang semuanya dikatakan bersepakat dengan Mahathir dan Daim, manakala Tong Kooi Ong, Quek Leng Chan, dan T.K. Lim bersekutu dengan Anwar. Kebanyakan kesemua ahli perniagaan Melayu dan bukan Melayu ini adalah dalam kalangan tokoh korporat utama Malaysia sebelum krisis mata wang tahun 1997 bersubahat dengan naungan negara dalam sesetengah bentuk, terutamanya pemberian kontrak yang diswastakan (Gomez, 2003). 
Di tengah-tengah    kerancakan  kemunculan ahli perniagaan,    yang boleh dikatakan tidak mendapat perhatian  berbanding dengan yang lain, ialah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary. Beliau   dibayangi oleh ahli perniagaan, seperti Tan Sri Halim Saad, Tan Sri Tajuddin Ramli, Tan Sri Wan Azmi  Wan  Hamzah – ketiga-tiganya anak didik Daim di  “Sekolah Pengurusan Peremba,” Tan Sri Azman Hashim, Tan Sri Rashid Hussain, Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir, dan Tan Sri Yahya Ahmad yang meninggal dunia dalam nahas helikopter – sekadar menyebut beberapa nama. Meskipun  ketika itu Syed Mokhtar  sedang membina serta membesarkan perniagaannya  dan  memiliki saham dalam beberapa  syarikat tersenarai awam, beliau seakan-akan bersendirian,    tidak mempunyai   hubungan  dengan Tun Daim, atau Dato’ Seri Anwar Ibrahim, atau  Tun  Dr. Mahathir. Nama beliau tidak tersenarai dalam kalangan ahli perniagaan Melayu yang ada hubungan dengan, sama ada Tun Daim ataupun Tengku Razaleigh Hamzah. Usaha gigih beliau  unuk membina dan membesarkan perniagaannya tidak mendapat perhatian pemimpin kerajaan; kecuali pegawai  kerajaan yang beliau berurusan sahaja mengenalinya.  Padahal, seperti yang dinyatakan oleh Premilla Mohanlall, menjelang tahun 1995, Syed Mokhtar merupakan pemegang utama dalam 15 syarikat tersenarai awam, yang meliputi bidang pakaian, makanan, pembuatan, dan pembinaan (Premilla, 2013: 100).  Bahkan,  perniagaan Syed Mokhtar telah pun berkembang pesat pada akhir tahun 1970-an, mengambil kesempatan daripada pertumbuhan ekonomi dan meraih peluang daripada pelaksanaan DEB, iaitu dengan memperoleh kontrak kerajaan (A Kadir, 2003: 30)
(Dipetik daripada Bab Empat, Peneraju Dunia Korporat, yang dapat diperoleh melalui e-Senral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...