Artikel Popular

Wednesday, July 10, 2019

Ulang-alik ke England Demi Cita-cita


RABU, 10 Julai 2019
Oleh: ZULKIFLI SALLEH


Pada  tahun 1920, Tunku Abdul Rahman Putra dianugerahi biasiswa kerajaan Kedah untuk belajar di Cambridge University, England, dengan tujuan menjadi peguam sebagai pencarian hidup. “Sebenarnya, saya mendapat Ijazah Sastera, dan baru lulus dalam ujian bahagian sejarah pada tahun 1925 ” (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 453).  Tunku memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) tanpa kepujian untuk satu tempoh yang panjang. 
“Kemudian, saya mempelajari ilmu undang-undang dengan beberapa gangguan selama karier saya itu. Akhirnya, saya diterima menjadi peguam di Inner Temple ketika berumur 45 tahun” (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 453).  Pada usia  kebanyakan orang Melayu sedang berfikir-fikir untuk bersara daripada kehidupan yang aktif. “Saya dikenal sebagai ‘playboy,’ sedikit sekali sahabat yang menyangka saya akan berjaya” (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 385).  Pemergian Tunku ke England untuk menyambung semula pelajarannya dalam bidang undang-undang pada tahun 1946 boleh dikatakan dengan penuh nekad: lulus atau “saya tidak akan kembali lagi ke negeri ini”  (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 368).  Setelah 25 tahun  meninggalkan Inns of Court, Tunku datang semula pada usia 43 tahun dan setelah menyedari beliau tidak mempunyai tempat dalam perkhidmatan kerajaan Kedah dan berselisih dengan rakan-rakan politiknya, maka semasa di England Tunku berfikir, “berjaya atau makan batu.  Saya putuskan bahawa saya harus berjaya” (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 369). 
Tunku  pernah menceritakan pengalaman beliau untuk memasuki ujian terakhir, iaitu beliau menjadi gemuruh kerana terlalu memikirkan hal itu. Walau bagaimanapun, Tunku bernasib baik kerana sahabat baiknya Tan Sri Eusoffe Abdoolcader datang menolong beliau beberapa hari sebelum ujian terakhir itu.  Sementara itu, isteri Dr. Winstedt, seorang doktor memberi Tunku beberapa keping ubat Benzedrine dan menyuruh Tunku menelannya pada hari peperiksaan supaya tidak mengantuk (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 384). Tunku mengambil ujian undang-undang yang terakhir pada penghujung tahun 1948 setelah tinggal di England selama dua tahun (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 384).
Tunku menyifatkan pemergiannya ke England pada tahun 1946 untuk belajar kembali ilmu undang-undang sebagai pemergian “kali kedua” (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 378 dan 383). Walau bagaimanapun, Tunku dikatakan berulang-alik ke England beberapa kali,  demi memperoleh segulung ijazah undang-undang.  Pada awal tahun 1927, Tunku dihantar ke England semula untuk belajar ilmu undang-undang di universiti yang sama, kerana pencapaian akademik beliau tidak memuaskan hati kerajaan Kedah dan kaum kerabatnya.  Mereka tetap mahu Tunku lulus dalam bidang undang-undang (Ramlah, 2005: 26). Meskipun kebanyakan anak muda Melayu yang datang bersama-sama Tunku pada tahun 1927 telah menamatkan pelajaran mereka tanpa sebarang masalah, Tunku masih gagal dalam peperiksaan akhir penggal pertama pada tahun 1930.  Berikutan kegagalan itu Tunku berangkat pulang ke Tanah Melayu (Ramlah, 2005: 29 – 30).  Pada tahun 1938, Tunku berangkat sekali lagi ke England untuk meneruskan pelajaran dalam bidang undang-undang – ketika itu beliau telah berkhidmat sebagai pentadbir di negeri Kedah.  Walau bagaimanapun, oleh sebab di Eropah ketika itu timbul tanda tanya akan meletus perang dunia, maka Tunku kembali ke Tanah Melayu pada akhir tahun 1939 tanpa lulus peperiksaan yang diambilnya (Ramlah, 2005: 36 – 37).
Tunku nampaknya sukar membuang tabiatnya, iaitu gemar berhibur dan bersuka ria.   “Apa yang orang tuanya tidak ketahui ialah ketika tinggal di London, Tunku meneruskan minatnya terhadap perlumbaan, tetapi kali  lumba anjing yang berlangsung di Wembley  setiap petang.  Justeru, beliau mempunyai masa yang kurang untuk  buku undang-undang yang membosankan (Mohamed Suffian, t.t.: 32). Tunku hanya meminati sukan dan tidak meminati buku (Tuanku Ja’afar, t.t.: 5). Sikap kurang minat Tunku terhadap pelajaran ketara apabila beliau beberapa kali terlupa tarikh peperiksaan.  Ketika beliau menuntut di sana  kali pertama, “beliau terlupa jadual peperiksaan” (Ramlah, 2005: 24).  Tunku terlepas hari pertama Tripos beliau dalam tahun akhir beliau (Mohamed Suffian, t.t.: 32). Apabila pada tahun 1960 Tunku dianugerahi Ijazah Kehormat LL.D, dari universiti lamanya, Cambridge University, beliau menulis  kelewatan yang beliau pernah alami:  “... sedangkan tatkala saya menjadi mahasiswa di situ saya disuruh keluar kerana lambat datang untuk ijazah saya. Akibat daripada hukuman ini, saya kerugian 12 bulan dan terpaksa mengambil ujian itu setahun kemudian dan hampir-hampir tidak lulus pula” (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 94).
 Tunku, bahkan tidak mengetahui bilakah tarikh keputusan keluar untuk peperiksaan  terakhir pada tahun 1948 itu (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 384).  Beliau menerima pemakluman berita gembira daripada Daisy dengan lelehan air mata dan berkata pada dirinya sendiri, “Sekarang dapatlah aku pulang ke negeriku dengan tidak berasa malu, dan menghadapi semua pengkritikku” (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 384).  Tunku berangkat pulang pada Januari 1949 dengan menaiki kapal P & O Corfu  (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 385).
Meskipun  beberapa orang membantu Tunku untuk belajar undang-undang,  beliau nampaknya terhutang budi kepada Daisy:  “Apabila saya kenangkan kejayaan saya dalam pengajian undang-undang, saya tidak akan melupakan Cik Daisy Tullich, penjaga rumah No. 9 Barkston Gardens di Earls Court, iaitu tempat saya menumpang... Perhatian serta penjagaannya yang diberikan kepada saya, terutamanya dorongannya, menolong saya melipatgandakan usaha saya untuk lulus dalam ujian itu” (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980:  441).
Tun Mohamed  Suffian Hashim,  pernah menulis perihal  Tunku semasa menuntut di England pada  tahun 1946 itu:   “Tunku sudah berkahwin tiga kali dan mempunyai dua orang anak” (Mohamed Suffian, t.t.: 29).  Tunku sendiri mengaku bahawa beliau rindu akan keluarganya, meskipun kehidupan beliau secara keseluruhannya agak seronok. “Anak-anak saya masih kecil, dan terpaksa berpisah daripada mereka selama dua tahun sesungguhnya adalah suatu pengorbanan yang besar... Dalam bermain, saya juga belajar bersungguh-sungguh” (Tunku  Abdul Rahman Putra, 1980: 383 - 384).
Ketika menuntut di England, Tunku Abdul Rahman bergaul rapat dengan penuntut  Melayu. “Tunku dan orang Melayu di London mudah serasi.  Meskipun putera, Tunku lebih demokratik jika dibandingkan dengan seseorang yang mendakwa diri mereka demokratik” (Mohamed Suffian, t.t.: 31). Tunku bertanggungjawab menubuhkan Persatuan  Melayu Great Britain, yang tujuan utama adalah untuk memupuk perpaduan dalam kalangan orang Melayu dari negeri yang berbeza, dengan Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad  dilantik oleh Tunku sebagai Presiden, manakala Tunku sendiri memegang jawatan Setiausaha Kehormat” (Tuanku Ja’afar, t.t.: 5). Tuanku Abdul Rahman kemudiannya  ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama, manakala Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai  Perdana Menteri pertama.   Ketika Tunku ke England sekali lagi untuk menuntut semula ilmu undang-undang pada tahun 1946, iaitu selepas Perang Dunia Kedua tamat, beliau menjadi Presiden Persatuan Melayu Great  Britain, manakala Tun Abdul Razak sebagai Naib Presiden, dan Tan Sri Taib Andak sebagai Setiausaha.  Walau bagaimanapun, Taib diturunkan pangkat kepada Penolong Setiausaha kerana beliau tidak menjalankan tugas dengan sempurna, digantikan oleh Tun Mohamed Suffian (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980:  376 - 377).
(Dipetik daripada Bab Satu, buku Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...