Artikel Popular

Saturday, March 3, 2012

Obama Ingatkan Iran dan Israel: "Sebagai Presiden Amerika Syarikat Saya Tidak Bohong"

SABTU,  3 Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Iran, Amerika Syarikat, dan Israel, menurut pemerhatian Martin Indyk,  terpasung dalam kitaran ganas yang boleh membawa konflik.  Bagi Presiden Barack Obama, menjelang pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Isnin ini, beliau dikatakan akan menentang desakan supaya mengenakan dasar Iran yang lebih ketat daripada Israel dan  beberapa anggota Kongres yang menegaskan bahawa Teheran sepatutnya tidak dibenarkan memperoleh, bahkan kemampuan yang akhirnya membina senjata nuklear.

Sementara itu, Israel, seperti yang dikatakan oleh Gul Luft dalam Foreign Policy, semakin hilang sabar dengan respons diplomatik terhadap program nuklear Iran, dan momentum untuk Israel melancarkan serangan udara meningkat hari demi hari.  Dalam pertemuan tersebut, Netanyahu dilaporkan akan meminta Obama untuk mengeraskan retorik terhadap Teheran dan membuat beberapa kenyataan yang jelas tentang persediaan Amerika Syarikat untuk melancarkan serangan bahawa Iran pasti melintasi garisan merah. 

Namun, sebelum pertemuan  itu, Presiden Barack Obama, seperti yang ditulis oleh Jeffrey Goldberg dalam The Atlantic, mengingatkan Iran dan Israel bahawa sebagai Presiden Amerika Syarikat beliau tidak berbohong.  Dalam pertemuan itu kelak, Presiden Obama akan memujuk Perdana Menteri Israel supaya menangguhkan apa-apa jua rancangan yang beliau mungkin mengebom kemudahan nuklear Iran dalam bulan-bulan mendatang. Obama akan mengingatkan bahawa di bawah kepimpinan, Amerika Syarikat "menyokong Israel," dan bahawa beliau akan mengarahkan tentera Amerika Syarikat untuk memusnahkan program nuklear Iran jika sekatan ekonomi gagal memaksas Teheran menghentikan cita-cita nuklearnya. 

Dalam temu bual yang dipetik secara meluas itu, Obama memberitahu Goldberg bahawa kedua-duanya,  iaitu Iran dan Israel sepatutnya mengambil serius kemungkinan tindakan Amerika terhadap kemudahan nuklear Iran.  "Saya fikir bahawa kerajaan Israel mengakui bahawa sebagai Presiden Amerika Syarikat, saya tidak bohong."  Tambah beliau, "Saya juga tidak, sebagai perkara dasar yang kukuh, pergi ke sana ke mari, mengiklankan benar-benar apa yang kami hajatkan. Akan tetapi, saya fikir kedua-duanya, iaitu kerajaan Iran dan Israel mengakui bahawa apabila Amerika Syarikat berkata bahawa negara ini tidak boleh menerima Iran mempunyai tenaga nuklear, kami akan mengotakan apa yang kami katakan."

Temu bual yang berlangsung sebelum Obama menyampaikan ucapan dalam persidangan tahunan AIPAC, kumpulan lobi pro-Israel, dan keesokannya, bertemu dengan Netanyahu di Rumah Putih, beliau menyatakan secara khusus bahawa "semua opsyen adalah di atas meja," dan bahawa opsyen terakhir ialah "komponen ketentaraan."  Akan tetapi, Obama yakin bahawa sekatan ekonomi akan menyebabkan Iran sengsara, yang lambat-laun memaksa rejim di Teheran memikirkan semula usahanya untuk meneruskan program senjata nuklear.

Obama kelihatan paling kecewa apabila berbincang tentang apa yang beliau lihat kempen yang disengajakan oleh Republikan untuk meyakinkan orang Yahudi Amerika bahawa beliau anti-Israel. "Setiap komitmen yang saya buat untuk negara Israel dan keselamatan, saya tunaikan," Obama memberitahu Goldberg. "Mengapa, meskipun saya tidak pernah gagal untuk menyokong Israel terhadap setiap masalah yang Israel hadapi sepanjang tiga tahun lalu, masih ada soalan seperti itu?"

David Ignatius dalam mentafsirkan pesanan Barack Obama itu, menulis, "Presiden Barack Obama tidak mahu serang Iran.  Akan tetapi, beliau juga tidak mahu Israel serang Iran.  Justeru, sebelum bertemua Perdana Menteri Netanyahu Isnin ini, Obama tahu beliau perlu melakukan sesuatu yang luar biasa untuk menyandiwarakan kesediaannya untuk mengambil tindakan ketenteraan jika langkah lain gagal untuk menyekat Iran daripada memperoleh senjata nuklear." 


Tambah Ignatius, "Obama memilih taktik yang menarik... beliau dari segi paling empatetik dan petah berkata-kata, dan memang cara yang bijak untuk berkomunikasi tentang yang difikirkan oleh Netanyahu dengan pendapat awam yang meragui kejujuran dan ketegasannya."


Dengan memberitahu secara jelas bahawa "Sebagai Presiden Amerika Syarikat saya tidak bohong," kemungkinan bahawa Amerika sendiri akan menyerang Iran tidak dapat disangkal sama sekali.  Kepada Teheran, mesej beliau memang jelas bahawa "harap sedar dengan siapa anda bermusuh."  Justeru, "teruskan atau tinggalkan program nuklear."


Obama juga dengan penyataan tegas beliau itu, seakan-akan bertindak "membunuh burung dengan sebiji batu":  Mengugut Iran dan meredakan keberangan Israel.  Namun, tatkala  Israel yang semakin rancak memalu gendang perang, adakah Netanyahu termakan dengan retorik Obama itu?



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...