Artikel Popular

Tuesday, March 6, 2012

Nasib Bahasa Inggeris di Bumi Sendiri

SELASA,  6  Mac 2012
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH



Di negara berbahasa Inggeris sebagai bahasa pertama, iaitu di Britain, bahasa itu dikuatkuasakan  bukan sahaja  dalam kalangan pendatang atau imigran, tetapi juga terhadap doktor asing yang ingin berkhidmat di negara itu.  Seperti yang diumumkan oleh Setiausaha Kesihatan British, Andrew Lansley,   doktor asing yang tidak dapat bertutur dalam bahasa Inggeris dengan betul akan dilarang daripada berkhidmat di negara itu.  Kini, terdapat 88,000 orang doktor asing yang berdaftar untuk bekerja di Britain, dengan lebih 22,000 orang dari negara Kesatuan Eropah yang kebanyakannya hanya mempunyai kemahiran bahasa Inggeris paling asas.
            Meskipun pihak berkuasa di  Britain memperlihatkan komitmen untuk memartabatkan bahasa Inggeris,  hakikatnya penguasaan bahasa itu dalam kalangan penduduk, khususnya murid, masih wujud kelemahan yang agak ketara.    Pada akhir Jun lalu, akhbar The Telegraph mendedahkan bahawa satu juta murid di negara itu bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.  Atau dengan kata lain, bahasa Inggeris bukan bahasa utama mereka. Satu dalam enam orang murid di sekolah rendah dan satu dalam lapan murid di  menengah bertutur dalam bahasa lain di rumah.  Akibatnya, kadar kanak-kanak yang memulakan persekolahan dengan pemahaman lemah secara relatif terhadap bahasa Inggeris kini meningkat sekali ganda dalam sepanjang satu dekad lalu.  Di sesetengah tempat di London, sebanyak tiga perempat murid bertutur dalam bahasa lain.
            Jumlah yang dinyatakan itu mencetuskan polemik, misalnya Brian Lightman, Setiausaha Agung Association of School and College Leaders, berhujah bahawa “sokongan untuk murid berkenaan adalah sangat penting.  Mereka adalah setanding dengan kemampuan murid lain, tetapi mereka akan gagal untuk mengakses kurikulum jika mereka terkebelakang dari segi celik huruf dan kemahiran bahasa.”  Lightman yang berasa bimbang akan pemotongan  oleh kerajaan Pakatan dalam pendanaan untuk mengajar murid-murid dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, menambah:  “Realitinya adalah bahawa sekolah-sekolah dengan bilangan yang sangat tinggi murid bahasa kedua adalah memerlukan lebih banyak wang.  Jika tiada pendanaan, ini akan menimbulkan masalah.”  Akan tetapi, jurucakap Jabatan Pendidikan mempunyai pandangan yang berbeza:  “Biar jelas, mempunyai bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua tidak selalunya bermakna bahawa kemahiran bahasa Inggeris semestinya teruk.”
            Angka yang dikumpulkan daripada sekolah pada bulan Januari setiap tahun menunjukkan kira-kira 16.8 peratus murid sekolah rendah bertutur dalam bahasa lain di rumah pada tahun 2010/11 berbanding dengan 16 peratus pada tahun sebelumnya.  Bilangan ini meningkat hampir satu perempat dalam masa hanya empat tahun.  Di sekolah menengah, 12.3 peratus murid bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, meningkat daripada 11.6 peratus pada tahun lalu.  Dari segi jumlah, kira-kira 957,500 orang kanak-kanak yang berumur antara lima hingga 16 tahun bertutur dalam bahasa lain di sekolah rendah, menengah, dan sekolah khas, berbanding dengan 905,600 pada tahun 2009/10.  Bilangan lebih tinggi di beberapa tempat di London, dengan hampir 78 peratus murid sekolah rendah bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di Tower Hamlet, London timur, berbanding dengan 74 peratus di Newham dan 71 peratus di Westminster.  Kadarnya mencecah kira-kira separuh di Slough, Luton dan Leicester, dan sekurang-kurangnya empat dalam 10 di Birmingham dan Blackburn. 
Sir Andrew Green, pengerusi Migration Watch, menyalahkan peningkatan jumlah murid yang bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua terhadap Parti Buruh yang memerintah sebelum ini:  “Akibat yang tidak dapat dielakkan daripada dasar Parti Buruh tentang penghijrahan massa.”
Lebih dua tahun lalu, akhbar yang sama telah pun mendedahkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dalam kalangan  kanak-kanak.  Mereka bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama mereka adalah minoriti dalam hampir satu dalam 10 pihak berkuasa tempatan. Dalam 14 kawasan tempatan, lebih separuh murid sekolah rendah bertutur dalam bahasa lain di rumah.  Di peringkat nasional, jelas akhbar itu, bahasa Inggeris tidak lagi merupakan bahasa ibunda dalam kalangan 900,000 murid sekolah, kira-kira sekali ganda jika dibandingkan satu dekad lalu.  Hal ini berikutan peningkatan yang signifikan dalam penduduk migran bersama-sama dengan peningkatan kelahiran. Para pemimpin guru menegaskan bahawa usaha tambahan yang ditunjukkan oleh murid yang bertutur dalam bahasa lain bertindak sebagai “inspirasi” kepada penutur asli. 
Akhbar The Telegraph itu memetik angka daripada Jabatan Kanak-kanak, Sekolah, dan Keluarga yang menunjukkan hampir 15.2 peratus kanak-kanak di sekolah rendah Inggeris, atau 500,000 orang bertutur dalam bahasa lain di rumah pada tahun 2009 jika dibandingkan dengan 14.3 peratus pada tahun sebelumnya.   Di sekolah menengah, 11.1 peratus murid, atau 364,280 orang bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua berbanding dengan 10.6 peratus pada tahun 2008. Angka berkenaan menunjukkan jumlah berbeza secara signifikan di seluruh England.  Dalam  14 buah majlis tempatan, murid sekolah rendah bertutur dalam bahasa lain adalah dalam majoriti.  Kebanyakannya adalah di London. Mereka juga terdiri daripada lebih satu pertiga penduduk sekolah rendah di 31 buah pihak berkuasa tempatan, termasuk Blackburn dengan Darwen, Leicester, Birmingham, Luton, dan Bradford.  London merupakan tumpuan terbesar murid yang bertutur dalam bahasa lain.  Kira-kira 77.7 peratus murid di Tower Hamlets, yang mempunyai banyak penduduk Bangladesh, tidak bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah.  Kadar ini ialah 73.2 peratus di Newham dan 69.5 peratus di Westminster.  Kerajaan memberitahu bahawa amaun wang dibelanjakan terhadap murid yang lemah bahasa Inggeris meningkat kepada 206 juta paun pada 2010.
Apa yang berlaku di England itu berpunca penghijrahan penduduk  yang  bahasa Inggeris bukan bahasa asli mereka.  Hal yang serupa berlaku di Amerika Syarikat, iaitu  dalam kalangan penduduk Hispanic yang merupakan golongan minoriti terbesar yang  bertutur dalam bahasa Sepanyol.  Sepatutnya hal seperti itu  berlaku dalam kalangan generasi pendatang pertama; tetapi sebaliknya, berlaku dalam kalangan murid yang lahir dan membesar di negara berkenaan, seperti di England dan Amerika Syarikat. Kecintaan mereka terhadap bahasa leluhur mereka nampaknya tidak luntur, meskipun mereka mereka menjadi rakyat di negara berbahasa Inggeris.
Meskipun wujud hal yang sedemikian dan pihak kerajaan memandang serius, kerajaan   juga menggalakkan murid-murid menguasai bahasa asing,  Pada akhir September lalu, Setiuasaha Pendidikan British, Michael Gove mencadangkan setiap murid berusia lima tahun atau lebih sepatutnya belajar bahasa asing, dan berjanji untuk “menarik setiap pengumpil,” termasuk menggalakkan hari persekolahan yang lebih lama, untuk merealisasikan cadangan tersebut. Beliau dalam wawancara dengan akhbar The Guardian, berkata, “Hanya kerana sesetengah orang mengambil kebanggaan sikap membantah dalam tidak memahami matematik, maka kita mengambil kebanggaan sikap membantah dalam hakikat kita tidak bertutur dalam bahasa asing dan kita hanya perlu bertutur lebih kuat dalam bahasa Inggeris.  Sememangnya, secara harafiah, keadaan bahawa belajar bahasa menjadikan anda lebih pintar.”
Rob Williams dalam mengalu-alukan  cadangan Michael Gove akan pentingnya bahasa asing dan tidak semua orang bertutur dalam bahasa Inggeris, menulis dalam guardian.co.uk:  “Hanya enam peratus penduduk dunia bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama, dan 75 peratus penduduk dunia tidak bertutur dalam bahasa Inggeris sama sekali.  Pengaruh British di pusat proses membuat keputusan Kesatuan Eropah paling pasti dipengaruhi oleh hakikat bahawa pegawai British tidak diwakili  dengan baik dalam institusi Kesatuan Eropah.  Daripada 32,140 staf di suruhanjaya Eropah, hanya 1463 (4.6 peratus) ialah British. Britain mewakili 12 peratus penduduk Kesatuan Eropah, tetapi pemohon British hanya sekadar 1.44 peratus kumpulan pemohon untuk kitaran pengambilan  tahun 2010.”
Jelas bahawa  kedudukan bahasa Inggeris di buminya sendiri tidak sekukuh atau sehebat, seperti  yang sering  digembar-gemburkan oleh pentaksub bahasa itu  di negara kita.  Selain itu,  bahasa itu bukan sahaja tidak digunakan secara meluas dalam kalangan warga dunia, tetapi juga di Kesatuan Eropah. Malangnya, masalah  bahasa Inggeris di England sendiri yang sering didedahkan oleh akhbar di negara itu tidak sampai kepada pengetahuan penduduk di negara berkata. Tidak dapat tidak, berlakunya “penggelapan” oleh akhbar berbahasa Inggeris di negara kita yang tidak rela mendedahkan kekurangan bahasa kebanggaan mereka. 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Bahasa Disember 2011.) 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...