Artikel Popular

Wednesday, March 7, 2012

Ekonomi dalam Krisis

KHAMIS, 8  Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) zon euro jatuh 0.3 peratus dalam suku keempat tahun 2011, penguncupan pertama sejak zon euro meninggalkan kemelesetan pada tahun 2009.  Ketakutan bahawa zon euro terjebak semula dalam kemelesetan diperkukuh oleh berita kejatuhan perbelanjaan kerajaan dan pengguna, kejatuhan eksport dan kemerosotan industri, semua merupakan faktor kemerosotan ekonomi pada akhir tahun lalu.  Perbelanjaan pengguna jatuh 0.4 peratus, eksport jatuh 0.4 peratus, perbelanjaan kerajaan jatuh 0.2 peratus, dan industri jatuh dua peratus. 


Dua hari lalu, pasaran Eropah merudum kerana Greece mengancam mungkir  terhadap pemiutang antarabangsa. Sementara Purata Perindustrian Dow Jones (Dow) pada hari yang sama jatuh sebanyak 1.6 peratus kepada 12,759.20 mata, kejatuhan terburuk sejak 23 November 2011.  

China yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan sejak tahun 2004,  menyasarkan  pertumbuhan tahun ini hanya 7.5 peratus pada tahun 2012.  China juga, seperti yang dibahaskan oleh Michael Schuman dalam Time, akan mengalami krisis ekonomi.

Greece yang dalam kegawatan,  pada bulan lalu menerima pelan penyelamat kedua daripada troika, iaitu Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kesatuan Eropah, dan Bank Pusat Eropah (ECB),  yang bernilai AS$172 bilion,   masih lagi bergelut dengan persoalan yang membimbangkan, iaitu runtuh atau menghidupkan semula. Suspens di Athens belum reda berhubung dengan hutang.  


Untuk Eropah pula, akibat krisis euro,  soalan yang tidak jemu-jemu dibangkitkan ialah:  Mampukah Eropah diselamatkan?  Realiti krisis Eropah telah pun dibahaskan oleh Paul Krugman baru-baru ini.  Beliau cuba menjelaskan apa yang merunsingkan Eropah dengan pengangguran  mencecah 13 peratus ialah "pengenalan mata wang bersama." 


Di Eropah, seperti yang dibahaskan oleh Mehdi Hasan, "pengangguran lebih membimbangkan jika dibandingkan dengan KDNK dan inflasi"  dengan merujuk pengangguran yang mencecah 10.7 peratus pada bulan Januari, iaitu 16.9 juta orang tanpa pekerjan di 17 buah negara kawasan euro, manakala 27 negara anggota Kesatuan Eropah lebih 10 peratus untuk pertama kali, iaitu 24.3 juta orang tanpa pekerjaan.  Justeru, untuk menyelesaikan krisis Eropah, wang semata-mata bukan penyelesaian


Paul Krugman baru-baru ini menulis bahawa kini dalam tahun keempat krisis ekonomi yang benar-benar mengerikan. Namun, krisis ekonomi masih belum pergi jauh, berlegar-legar untuk mengacau semula. Michael Sivy yang menulis dalam Time pernah membangkitkan bahawa "benih untuk krisis kewangan seterusnya sedang ditabur."  

Kira-kira dua tahun lalu, "pucuk hijau" mula bertunas menyebabkan banyak negara dapat menarik nafas lega: pemulihan dan pertumbuhan menjadi realiti.  Namun, "pucuk hijau" yang menimbulkan perasaan optimis itu kelihatan kekuningan, manakala bumi tempat tumbuhnya kelihatan gersang. 




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...