Artikel Popular

Monday, March 5, 2012

Terlalu Dihantui Israel

ISNIN, 5 Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


"Perisytiharan Kuala Lumpur" bahawa "saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan Israel"  lebih sebulan berlalu, namun polemik dan tuduh menuduh "siapa yang lebih menyayangi Israel" belum reda.  Sebagaimana "lembu,"  Israel juga akan menghantui arena politik Malaysia, sekurang-kurangnya hingga Pilihan Raya Umum akan datang.

Di tengah-tengah  riuh-rendah tentang Israel, mungkin  negara Islam di Timur Tengah tidak segamat Malaysia, Shmuel Rosner menulis dalam Foreign Policy, "America's Israel Obsession" menanyakan mengapa orang Amerika terlalu asyik dengan negaranya, iaitu Israel? Rosner memulakan penulisannya dengan mendedahkan  Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dengan segala hormatnya menolak pelawaan untuk menulis op-ed untuk The New York Times.  Dalam surat penolakan itu, penasihat kanan Netanyahu, Ron Dermer, mendakwa menghitung makalah dalam akhbar itu (dan International Herald Tribune) dan menyimpulkan bahawa 20 makalah yang berkait dengan Israel diterbitkan antara September hingga November 2011, 19 makalah memberikan gambaran negatif terhadap Israel.

Selepas menerima pelawaan untuk menulis artikel ini dalam Foreign Policy, Rosner melayari laman web jurnal ini dan menghitung makalah tentang topik dan negara yang berbeza.  Beliau mendapati Israel lebih banyak ditulis berbanding dengan Britain, Jerman, Greece, India, atau Rusia.  Tambah beliau, "Minggu depan (minggu ini) akan ditulis, bahkan lebih banyak tentang Israel kerana Netanyahu melawat Washington untuk menyampaikan satu lagi ucapan di Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika Israel (AIPAC) dan bertemu Presiden Barack Obama untuk membincangkan strategi Iran dan perkara lain."

Rosner memberitahu bahawa mempunyai tabiat lama, iaitu gemar menghitung  sebutan Israel dalam pelbagai forum Amerika.  "Empat tahun lalu, dalam kempen hingga Pilihan Raya Presiden 2008, saya memohon calon-calon supaya 'menolak godaan' untuk bercakap secara tekal tentang Israel atau menyatakan kecintaan yang mendalam terhadap negara Yahudi. Saya menulis ketika itu: Minggu lalu dalam debat Naib Presiden, nama Israel disebut 17 kali.  China dua kali, Eropah hanya sekali.  Rusia tidak muncul sama sekali.  Demikian juga Britain, Perancis, atau Jerman."

Dengan nada mengeluh, Rosner menulis, "tidak perlu dikatakan, nasihat saya tidak didengari.  Pada Disember 2011, saya mendengar calon-calon Presiden daripada Republikan bersaing untuk membuktikan persahabatan mereka dengan Israel dalam pertemuan Pakatan Orang Yahudi Republikan."  Demikian juga pengalaman beliau bersama-sama dengan penulis lain membuat liputan kokus Republikan di Iowa pada Januari tahun ini:  Israel sentiasa di bibir calon-calon, sedangkan negara lain jarang-jarang sekali.

Rosner mengakui bahawa lebih daripada satu alasan bahawa Israel menjadi topik  perbualan  yang tekal sedemikian dalam kalangan penulis, pembikin pendapat, ahli politik, dan penggubal dasar Amerika.  Tidak dinafikan bahawa Israel adalah menarik.  Kemudian, faktor "hubungan istimewa," iaitu Israel ialah sekutu Amerika Syarikat, dan lobi yang kuat dan lantang kedua-duanya, iaitu Yahudi dan Kristian berusaha untuk memelihara hubungan dua buah negara.  Juga dari segi politik: Israel ialah alat yang digunakan oleh calon untuk menghentam antara satu sama lain.  

"Israel bagi penulis Amerika," hujah Rosner, "adalah apakah bola sepak untuk orang awam: Setiap orang kelihatan pakar, atau sekurang-kurangnya percaya dia pakar.  Hal ini bukan hanya bilangan sebutan dan makalah yang ditulis tentang negara saya adalah membingungkan, tetapi juga bilangan komen yang tidak seragam dan pemerhatian yang tidak bernilai."

Rosner juga menyentuh konflik Israel-Palestin yang sering mendapat liputan yang luas dalam penerbitan Amerika.  Sebaliknya, konflik di tempat lain, seperti baru-baru ini Honduras, kekejaman rejim di Syria, dan ketengangan yang semakin menjadi-jadi di Caucasus Selatan tidak mendapat perhatian di Amerika.

Demikian juga konflik Israel-Iran yang Rosner berasa bimbang jika progam nuklear Iran ditanggapi sebagai isu "orang Israel," maka semakin besar risiko bahawa Israel dipersalahkan untuk akibat negatif ketegangan, seperti harga minyak yang tinggi.  Juga wujud betul-betul bahaya sebenar bahawa jika tercetus peperangan, orang Amerika akan melihat pemusnahan keupayaan nuklear Iran sebagai sesuatu Israel patut tangani sendiri, dan bukannya sokongan pakatan antarabangsa yang mempunyai peluang lebih baik untuk meneutralkan  ancaman itu. 

Seandainya Shmuel Rosner mengikuti polemik tentang Israel di Malaysia sejak sebulan lalu, dan beliau memahaminya, nescaya beliau akan menulis bahawa  Malaysia terlalu  memikirkan Israel,  bahkan lebih daripada  Amerika sendiri.  Dan mungkin beliau menyimpulkan bahawa Israel bagi Malaysia: benci tapi rindu.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...