Artikel Popular

Sunday, March 11, 2012

Dari Rusia dengan Kekayaan

AHAD,  11 Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pilihan Raya Presiden Rusia baru sahaja selesai dan seperti yang dijangkakan oleh banyak pihak, Vladimir Putin mencipta kemenangan untuk penggal ketiga, meskipun kemenangan itu mencerminkan bahawa beliau bukan lagi orang kuat.   Walaupun berlaku tunjuk perasaan kerana dikatakan berlaku penipuan dalam pilihan raya itu, kemenangan Putin menyebabkan Barat pening kepala.  

Memang Barat berasa kurang selesa dengan kemenangan Putin, seperti yang dilihat melalui tulisan Condoleezza Rice, bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat,  dalam The Washington Post, yang mengisytiharkan:  Kemenangan ini  mungkin kedua-duanya, iaitu yang terakhir untuk Putin dan sesuatu yang akhir untuk Putinisme. Masa depan beralih kepada kelakuan kelas menengah Rusia yang diintegarasikan ke dalam dunia dan diasingkan oleh politik korup Kremlin. 

Namun, di tengah-tengah kehangatan kemenangan Putin belum reda, akhbar The Moscow Times dengan bangganya memaklumkan bahawa Rusia menduduki tempat kedua dari segi bilangan orang terkaya di dunia pada tahun ini, meninggalkan China pada satu takuk di belakang.  

Memetik senarai hartawan dunia yang diterbitkan oleh majalah  Forbes pada Rabu lalu, akhbar itu menyatakan bahawa daripada 1226 hartawan dunia, 96 orang datangnya dari Rusia, menduduki tempat kedua selepas Amerika Syarikat,meningkat dari tempat ketiga pada tahun lalu.  Sementara Amerika Syarikat boleh berbagga dengan 425 orang yang kekayaan melebihi AS$1 bilion, manakala China mempunyai 95 orang hartawan pada tahun ini. 

Rusia dikatakan mempunyai alasan sejarah untuk muncul dalam kalangan orang terkaya di dunia oleh bilangan hartawan kerana kawalan terhadap syarikat besar yang disatukan dalam tangan sebilangan ahli perniagaan ketika penswastaan pada tahun 1990-an.  Alasan kedua, Rusia bergantung pada bahan mentah: kebanyakan orang Rusia yang tersenarai dalam Forbes itu memiliki aset dalam industri logam dan perlombongan atau minyak dan gas. 

Dengan Rusia dan China, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga, sekali lagi negara BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China), memperlihatkan kekuatan mereka dalam orde baru dunia ekonomi.  Dan sekali lagi kedua-dua negara itu membuktikan bahawa  kapitalisme  negara semakin mencabar kapitalisme liberal. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...