Artikel Popular

Wednesday, March 28, 2012

Ekonomi United Kingdom Sakit?

KHAMIS,  29 Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Data terbaharu membawa gambaran yang berbeza.  Di Amerika Syarikat, dilaporkan pesanan barang tahan lama meningkat 2.2 peratus pada bulan Februari, berikutan peningkatan peningkatan permintaan terhadap kereta, komputer, dan kelengkapan modal. Walau bagaimanapun, peningkatan ini masih rendah jika dibandingkan dengan yang diunjurkan iaitu 3.6 peratus. 

Sementara ekonomi United Kingdom, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dilaporkan  menguncup 0.3 peratus dalam suku keempat tahun 2011.  Penguncupan ini lebih besar jika dibandingkan dengan yang dianggarkan, iaitu 0.2 peratus.  Pertumbuhan United Kingdom secara keseluruhan disemak menurun kepada 0.7 peratus, selepas sebelum ini dijangkakan mencecah 0.8 peratus.  Pada tahun 2012, ekonomi negara itu dianggarkan tumbuh hanya 0.8 peratus.  Kebanyakan ahli ekonomi yang  memikirkan bahawa United Kingdom dapat mengelakkan satu lagi kemelesetan, yang ditakrifkan mengalami penguncupan dua suku tahun berturut-turut. 

Bil yang meningkat dan gaji yang dibeku,  menurut Pejabat Perangkaan Negara (ONS), bermakna bahawa pendapatan boleh guna isi rumah sebenar jatuh sebanyak 1.2 peratus tahun lalu, kejatuhan tahunan terbesar dari segi kuasa beli sejak tahun 1977. Kejatuhan ini bermakna setiap isi rumah di United Kingdom mmepunyai kurang kira-kira 430 paun untuk berbelanja tahun lalu jika dibandingkan dengan tahun 2010.  Tinjuan yang muram bermakna bahawa isi rumah akan "berasa tersepit" untuk beberapa ketika kerana ekonomi masih lembap. 

Pastinya, ahli ekonomi mempunyai pendirian atau pandangan yang berbeza tentang penguncupan KDNK itu. "Gambaran besar tentang ekonomi United Kingdom terus-menerusi mengecewakan," tulis Jeremy Warner yang mengingatkan bahawa negara itu terpaksa berhempas pulas untuk meninggalkan ketagihannya terhadap penggunaan.  Ekonomi Britain mengalami kejatuhan yang lama, tegas The Economist, sebaik-baik sahaja dimaklumkan bahawa KDNK negara itu merosot.  Prestasi Britain sejak kemerosotannya bermula pada tahun 2008 kini kelihatan lebih teruk daripada Kemelesetan Besar, dan menunjukkan beberapa tanda penambahbaikan tidak berapa lama lagi. 

Sementara itu, Larry Elliott menulis dengan nada yang keras, "sama ada kemelesetan teknikal ataupun tidak, ekonomi United Kingdom sakit."  Berita bahawa kejatuhan output dalam tiga bulan terakhir tahun 2011 adalah lebih besar daripada anggaran asal memeranjatkan City. Semakan daripada kejatuhan 0.2 peratus kepada kejatuhan 0.3 peratus bermakna sekadar berkembang 0.7 peratus pada tahun lalu. Tegas beliau,  prospek untuk tahun 2012 tidak lebih baik. 

"Hakikatnya," tulis Elliott, "tidak penting, sama ada ekonomi dari segi teknikal dalam kemelestan ataupun tidak.  Yang jelas, keadaan ini ialah satu ekonomi yang sakit dan satu pengajaran daripada penyemakan anggaran ini daripada ONS bahawa anda benar-benar hilang wang oleh perasaan pesimistik tentang United Kingdom."

Meskipun kemerosotan KDNK ini berbetulan dengan keterukan krisis hutang kedaulatan di zon euro, hakikatnya tegas beliau, "faktornya ialah kelemahan penggunaan isi rumah, yang menyebabkan syarikat keberatan untuk melabur. Pada tahun 2011, pendapatan isi rumah sebenar (diselaraskan dengan inflasi) jatuh sebanyak 1.2 peratus."

Dengan langkah kerajaan British untuk melakukan pemotongan sehingga membangkitkan gerakan antijimat-cermat sebagai tanda penentangan rakyat,  pastinya melemahkan lagi kuasa beli dan penggunaan isi rumah. Belanjawan negara itu, seperti yang dibahaskan oleh editorial The Guardian, gagal meningkatkan taraf hidup golongan yang memerlukannya, dan dalam konteks negara kebajikan, golongan miskin terpaksa menanggung beban kerana defisit. 


Penguncupan KDNK United Kingdom itu membangkitkan persoalan adakah benar bahawa krisis Eropah hampir berakhir, seperti yang diyakini oleh para pemimpin benua itu. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...