Artikel Popular

Monday, March 26, 2012

Kapitalisme Gaya Asia Menyelamatkan Barat?

SELASA,  27  Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Tatkala krisis ekonomi melanda dunia kira-kira empat tahun lalu, perhatian tertumpu terhadap Asia, paling tidak dua negara,  iaitu China dan India.  Kedua-dua negara BRIC ini berjaya mengharungi kemelesetan global, diharapkan mengeluarkan dunia daripada kemelesetan terburuk sejak Perang Dunia Kedua. Tanpa menafikan bahawa pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanakan oleh banyak negara, termasuk Amerika Syarikat, China, dan bahkan  Malaysia tidak terkecuali, membolehkan dunia keluar daripada kemelesetan.  Walau bagaimanapun, dalam konteks Amerika Syarikat, Dean Baker yang menulis dalam The Guardian, menafikan bahawa pegawai Rizab Persekutuan dan Pentadbiran Obama menyelamatkan negara  itu daripada Kemelesetan Besar kedua. 

Tatkala Eropah terus bergelut dengan krisis hutang, harapan diletakkan pada China agar menyelamatkan benua itu daripada terjebak dalam krisis yang berpanjangan. Walaupun Eropah mencari jalan penyelesaian sendiri, melalui troika, iaitu Kesatuan Eropah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dan Bank Pusat Eropah (ECB), cakap-cakap tentang Asia menyelamatkan Barat masih belum reda. 

Banyak  orang Asia, seperti yang dibahaskan oleh Michael Schuman dalam Time, percaya bahawa sistem ekonomi lebih hebat daripada sistem ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah, dan bahawa para penggubal dasar di Washington, London, dan Berlin, sepatutnya bangun dan memberikan perhatian. Selama berdekad-dekad, Asia dilatih dalam kekaguman  tentang kapitalisme oleh Barat, dan mendapat manfaat yang besar.  Kini, banyak orang Asia percaya bahawa, masa telah tiba untuk Barat belajar daripada Asia.

Schuman memetik tulisan  Kishore Mahbubani dalam blog Financial Times, yang menegaskan bahawa kapitalisme gaya Asia merupakan penyelesaian kepada duka nestapa Barat. Di sebalik keyakinan Mahbubani, namun Schuman mengemukakan persoalan yang sukar dijawab:  Apakah pengajarannya?  Mampukah Asia benar-benar mengembalikan untuk nasib ekonomi Barat?


Bagi Schuman, bukan sesuatu yang baru untuk mencadangkan Barat belajar daripada Asia kerana hal seperti ini pernah diketengahkan oleh Ezra Vogel pada tahun 1979 dalam bukunya, Japan as Number One.  Lagipun, beliau sendiri pernah tinggal di beberapa tempat di Asia selama 16 tahun, juga percaya bahawa negara lain di dunia dapat belajar banyak perkara besar daripada kebangkitan Asia. Akan tetapi, beliau mengemukakan persoalan:  Bagaimana dengan kapitalis Barat? 


Bagi sesiapa yang membaca tulisan Schuman itu, pastikan tertanya-tanya:  Apakah kapitalisme Asia sebenarnya?  Dalam hubungan ini, beliau menjelaskan bahawa banyak penganalisis melakukan kesilapan pemikirkan bahawa setiap negara Asia yang mengalami pertumbuhan yang pesat mengikuti dasar yang sama, yang tidak betul secara keseluruhannya, tetapi wujud juga kesamaannya: (1)  Para penggubal dasar Asia tidak mempercayai pasaran bebas; (2)  Kerajaan Asia secara tradisinya mengelakkan daripada program kebajikan meluas yang popular di Barat; (3) semua ekonomi Asia terlalu memikirkan eksport; dan (4), dasar Asia cenderung mengutamakan industri berbanding dengan perkhidmatan dan pelaburan berbanding dengan penggunaan untuk memacu pertumbuhan.


Selepas mencatatkan kesamaan itu, Schuman mengemukakan persoalan:  Justeru, bagaimana  kapitalisme "Asia" ini mampu menyelamatkan Barat?  Sekali lagi beliau merujuk hujah Mahbubani bahawa Barat perlu menerima pakai sikap berorientasikan hasil Asia ke arah campur tangan kerajaan dalam ekonomi.  "Barat, tegas Mahbubani, "mesti menjadi kurang dipengaruhi dari segi ideologi untuk memikirkan pasaran menyelesaikan masalah lebih baik jika dibandingkan dengan kerajaan, dan lebih bersedia untuk melihat negara sebagai kuasa positif yang berpotensi dalam mencapai hasil ekonomi." 


Kesilapan pertama Barat jelas Mahbubani, adalah menganggap kapitalisme sebagai ideologi yang baik, bukannya sebagai instrumen pragmatik untuk meningkatkan kebajikan manusia.  Alan Greenspan berkemungkinan mangsa yang sangat besar atas keyakina ideologi bahawa pasaran selalunya mengetahui sesuatu dengan lebih baik. 


"Akan tetapi," jelas beliau lagi, tidak ada masyarakat Asia, bahkan Jepun yang menjadi mangsa  keyakinan ideologi ini. Sebaliknya, orang Asia percaya bahawa tidak ada masyarakat dapat hidup makmur dan sejahtera tanpa tadbir urus kerajaan.  Untuk kapitalisme untuk berfungsi dengan baik, kerajaan perlu memainkan peranan kawal selia yang penting dan memikul peranan penyeliaan."


Berhubung dengan penglibatan  kerajaan, Schuman nampaknya menyanggah pendirian Mahbubani:  "Pada pendapat saya, banyak penganalisis memperbesar-besarkan peranan kerajaan dalam sejarah pertumbuhan Asia.  Seperti yang pernah saya bahaskan dengan panjang lebar dalam buku saya, The Miracle:  The Epic Story of Asia's Quest for Wealth, fakro sebenar kebangkitan rantau ini ialah perusahaan swasta, perdagangan bebas dan keusahawanan, dan bukannya pembangunan yang 'diterajui oleh negara.'  Memang benar bahawa campur tangan negara membantu memulakan pertumbuhan, dan  dasar perindustrian tertentu membantu memajukan sebilangan kecil sektor khusus.  Akan tetapi, negara cenderung mewujudkan banyak malapetaka jika dibandingkan dengan kejayaan, seperti yang berlaku dalam krisis ekonomi di Jepun dan Korea Selatan."


Bahas Schuman lagi, "Asia menggunakan kuasa pasaran untuk membetulkan herotan sistem negaranya, dan bukan sebaliknya.  Justeru, saya tidak yakin bahawa kerajaan di Barat sepatutnya meniru kecenderungan kerajaan Asia untuk memanipulasikan dan mengawal kapitalisme." 


Schuman tidak bersetuju dengan Mahbubani berhubung dengan kapitalisme dan kebajikan masyarakat bahawa kapitalisme Asia melakukan lebih baik dari segi melindungi pekerja dan memupuk kesamaan. Dalam hubungan ini, Schuman dengan memetik sumber CIA,  membangkitkan bahawa ketidaksamaan pendapatan bahawa di China dan Singapura sangat sama dengan dengan di Amerika Syarikat, di Hong Kong lebih tinggi, dan di Korea Selatan dan Jepun, ketidaksamaan adalah lebih rendah. Seterusnya, beliau berhujah bahawa kerajaan Asia tidak mewujudkan jaringan keselamatan sosial yang cukup.  Faedah pengangguran dan program kebajikan lain cenderung untuk tidak seberapa, memindahkan beban kepada syarikat dan keluarga.  


Walau bagaimanapun, Schuman mengakui bahawa kapitalisme Asia mengutamakan pewujudan pekerjaan dan guna tenaga, dan di sini Barat dapat belajar sedikit sebanyak daripada Asia.  Apabila keadaan menjadi buruk, dorongan pertama Asia Inc., adalah tidak memberhentikan sejumlah pekerja dan memindahkan tanggungjawab untuk mereka kepada masyarakat secara keseluruhan.


Mengenai ketidaksamaan di Asia, Frederic Neumann menulis pada awal bulan ini, adalah pada tahap bahaya. Sepanjang dekad lalu, Asia mengalami tahap rendah secara relatifnya dari segi ketidaksamaan.  Keadaan ini berubah.  Ketaksamaan pendapatan kini meningkat dengan pantas berbanding dengan dahulu dan meningkat dengan ketara jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain. 


Schuman mengakhiri tulisannya dengan mengakui bahawa mungkin Barat dapat diselamatkan oleh kapitalisme Asia, jika demikian bermakna mengetepikan pertengkaran politik dan astaka besar ideologi dan melakukan apa-apa sahaja yang perlu untuk mewujudkan kemakmuran dan kesejahteraan. 



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...