Artikel Popular

Saturday, March 10, 2012

Kadar Pengangguran di Amerika Syarikat Stabil

SABTU,  10  Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Jabatan Buruh Amerika Syarikat memaklumkan pada hari Jumaat bahawa kadar pengangguran di negara itu kekal pada 8.3 peratus pada Februari tahun ini, terendah dalam masa tiga tahun. Majikan di negara itu menambah 227,000 pekerjaan pada bulan lalu untuk melengkapkan tiga bulan terbaik dari segi pengambilan pekerja sejak kemelesetan bermula.  Kadar pengangguran ini tidak berubah jika dibandingkan dengan bulan Januari, terutamanya kerana lebih banyak orang memasuki tenaga kerja.  

Dengan kadar pengangguran yang stabil, bermakna munculnya trend pertumbuhan yang penuh makna.  "Apabila sesuatu berlaku sekali, ini ialah fenomena," tulis Daniel Gross.  "Apabila sesuatu berlaku dua kali, ini ialah kebetulan.  Apabila sesuatu berlaku tiga kali, ini ialah trend.  Laporan guna tenaga bulan Februari itu mengesahkan bahawa kita mempunyai trend pertumbuhan pekerjaan yang memuaskan."

Jared Bernstein yang menulis The Huffington Post menganggap kadar pertumbuhan konsisten dengan pasaran pekerjaan bertambah baik secara perlahan dan konsisten. Sementara Rana Forooha yang menulis dalam Time,  pergi lebih jauh dengan menanyakan:  "Adakah angka pekerjaan yang kuat menamatkan ketakutan dalam pasaran?" Bagi Dereck Thompson, hal ini menandakan pemulihan yang berbaloi untuk diterujakan. Walau bagaimanapun, Ezra Klein melihat dari perspektif yang berbeza:  Mengapa peningkatan kadar pengangguran boleh bermakna pemulihan sebenar.

Dengan lebih 227,000 pekerjaan yang diwujudkan untuk bukan ladang, mengatasi 210,000 pekerjaan yang diunjurkan oleh ahli ekonomi, ini memberikan rangsangan kepada Presiden Barack Obama yang akan menghadapi Pilihan Raya Presiden pada November ini.  Beliau pernah berjanji untuk memastikan pengurangan kadar pengangguran menjadi keutamaan. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...