Artikel Popular

Sunday, March 25, 2012

Buku Terbaik untuk Pilihan Raya

AHAD,  25  Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Tahun ini boleh dikatakan sibuk dengan pilihan raya.  Pada awal bulan ini, berlangsung Pilihan Raya Presiden Rusia yang menyaksikan kemenangan Vladimir Putin dan sekali gus menandakan kegagalan usaha untuk melakukan perubahan rejim. Pilihan Raya Presiden Perancis akan menyusul; demikian juga Amerika Syarikat yang kini rancak dengan pemilihan awal Parti Republikan, dengan pemilihan terbaharu di Louisiana yang memihak kepada Rick Santorum yang menang selesa. Sementara di Malaysia, Pilihan Raya Umum sudah dekat, seperti yang dibayangkan oleh Perdana Menteri Najib Razak. 

Di tengah-tengah kehangatan Pilihan Raya 2012, David Ignatius memperkenalkan dan memperkatakan tiga buah buku  yang yang wajar dibaca, iaitu The World America Made oleh Robert Kagan; Liberal Leviathan oleh John Ikenberry; dan No One's World oleh Charles Kupchan. 

Ketiga-tiga buku ini, tegas Ignatius merupakan buku ilmiah serius, tetapi menyentuh persoalan yang setiap pengundi dapat memahaminya: Adakah kedudukan Amerika di dunia terjejas?  Mampukah Amerika Syarikat bangkit semula, dan apakah strategi pemulihan yang betul? Atau adakah orde antarabangsa liberal yang kita kenali sejak tahun 1945 terpaksa tunduk kepada sesuatu yang berbeza dan tidak tersusun, tidak kira apa-apa sahaja usaha yang kita lakukan?

Dalam debat yang melibatkan tiga pihak ini, jelas Ignatius yang menulis dalam The Washington Post, "setiap penganalisis bermula dengan pengenalpastian bahawa hari-hari mudah kuasa Amerika yang tidak dicabar sudah berakhir. Akan tetapi, apakah yang muncul seterusnya? 

Seperti yang dinyatakan oleh Ignatius, Kagan berhujah bahawa tidak ada alternatif yang baik untuk kepimpinan Amerika Syarikat dan bahawa kita tidak sepatutnya melakukan "bunuh diri kuasa besar tindakan terlebih dahulu" dengan menyetujui tuntutan daripada negara yang sedang bangkit, seperti China. Kagan mengingatkan bahawa keadaan menjadi lebih teruk tanpa Amerika Syarikat; orde liberal tidak dapat bertahan tanpa kuasa Amerika Syarikat, kuasa keras dan kuasa lembut.  Bagi beliau, "Jika kuasa Amerika merosot, orde dunia akan merosot bersama-samanya.  Kuasa Amerika itu akan digantikan oleh sesetengah jenis orde, menggambarkan keinginan dan kualiti kuasa dunia lain.  Atau mungkin kuasa itu akan runtuh semata-mata."

Sementara Ikenberry pula, seperti yang dikupas oleh Ignatius, berhujah bahawa orde global  lebih tahan dan stabil jika dibandingkan dengan ketakutan Kagan.  Orde ini, tegas Ikenberry, merupakan struktur pelbagai hala atau multilateral tulen, dan kekuatannya dihasilkan daripada rangkaian institusi yang Amerika Syarikat tolong wujudkan, seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Bank Dunia, dan NATO. Amerika adalah kuat jika negara itu beroperasi menerusi strukut kuasa yang dalam yang menyebarkan nilai asas kapitalisme dan demokrasi ke hampir seluruh pelosok dunia.  

Presiden Barack Obama dikatakan berkongsi analisis asas Ikenberry tentang dunia pelbagai kutub atau multipolar, meskipun beliau juga bersedia untuk menggunakan kuasa Amerika satu pihak, ala Kagan. 

Gambaran yang lebih pesimistik diberikan oleh Kupchan yang berhujah bahawa dunia mula apa yang beliau nyatakan "peralihan global" dan bahawa "angan-angan" untuk menjangkakan dunia akan menyenangkan Amerika Syarikat dan sekutu Baratnya.  Masalahnya ialah bahawa model China, Iran, Turki, dan Rusia pada masa depan tidak kelihatan seperti Amerika."

David Ignatius menamatkan tulisannya dengan menegaskan  bahawa tiga idea besar ini, tetapi idea itu  dinyatakan dengan jelas dan tepat dalam tiga buah buku ini yang bukan merupakan penahan pintu sains politik yang kita ingat daripada kolej.  "Saya berharap Kagan, Ikenberry, dan Kupchan akan merangsangkan debat politik jujur yang Amerika perlukan tentang bagaimana cara terbaik menggunakan kuasanya." 

Dari ketiga-tiga buku yang diperkatakan itu, pastinya buku Robert Kagan lebih mendapat perhatian dan banyak diperkatakan kerana pemikiran atau idea beliau menjadi rujukan Presiden Barack Obama dalam ucapannya sempena State of the Union:  Obama membaca esei yang diubahsuaikan daripada buku ini, diterbitkan oleh The New Republic di bawah tajuk "The Myth of American Decline."  Dengan memetik tulisan Kagan itu, Obama dikatakan "menawan" dasar luar Mitt Romney kerana Kagan merupakan salah seorang anggota jawatankuasa penasihat dasar luar Romney - salah seorang bakal calon Presiden, manakala isteri beliau (Kagan) bekerja dengan Hillary Clinton di Jabatan Negara Amerika Syarikat.  

Selain itu, tentang kemerosotan Amerika sering diperkatakan oleh para sarjana dan cerdik pandai politik, tetapi juga oleh Putera Alwaleed.  Dalam wawancara beliau dengan Forbes, putera Arab Saudi itu menegaskan bahawa "cakap-cakap tentang berakhirnya Amerika sebagai omong-omong kosong."  Namun dari satu segi yang lain, penafian terhadap kebangkitan China, seperti yang diperlihatkan oleh Kagan, boleh dianggap sebagai keangkuhan - memetik Martin Jacques


Walau apa-apa pun, di Amerika Syarikat, di tengah-tengah  kehangatan pilihan raya, sekurang-kurangnya orang masih ingat akan buku.  Sebaliknya,   di negara kita, Malaysia, menjelang pilihan raya,  orang terlalu dihantui oleh "lembu" dan "keselamatan Israel." Kalau yang lebih serius, Najib semakin rancak menari mengikut rentak pembangkang: politik populis yang boleh menghancurkan negara.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...