Artikel Popular

Tuesday, March 13, 2012

Amerika Syarikat Terperangkap antara Greece dengan Jepun

SELASA,  13  Mac  2012
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Ahli ekonomi, Simon Johnson menulis dalam The Huffington Post bahawa dari segi hal ehwal fiskal, Amerika Syarikat lebih seperti Greece. Satu masalah besar di Greece sepanjang dekad lalu atau lebih, tegas beliau, adalah bahawa kerajaan tidak jujur dengan data mereka.  Pelbagai orang menolong dalam perkara ini, termasuk Goldman Sachs dari segi beberapa isu hutang, tetapi akhirnya, ini merupakan keputusan politik di peringkat tertinggi.  Jelas Johnson, orang yang mentadbir negara itu memutuskan untuk menyembunyikan sifat sebenar belanjawan dan hutang mereka.  

Tambah Johnson, anggota Perwakilan daripada Parti Republikan kini mencadangkan sesuatu yang sama untuk Amerika Syarikat. 

"Oleh sebab keprihatinan defisit dan hutang ini, maka perincian kelihatan penuh misteri, dan bahawa bagaimana perincian yang sama terlepas perhatian oleh kebanyakan orang di Greece.    Mujurlah di Amerika Syarikat, kita mempunyai panduan yang cemerlang, iaitu makalah dalam Nota Cukai oleh John Buckley." 

Republikan, menurut pemerhatian Johnson, mahu memotong cukai, dan perkara ini bukan sesuatu yang rahsia.  Semua empat orang calon Presiden yang masih kekal mempunyai cadangan fiskal dengan unsur pemotongan cukai yang besar.  "Masalah bagi mereka dan rakan-rakan Kongres mereka," tulis beliau, "adalah bahawa kita mempunyai broker yang jujur dalam bidang fiskal, yang bukan partisan, iaitu Pejabat Belanjawan Kongres (CBO) yang 'menunjukkan' cadangan fiskal menurut kemungkinan impaknya." 

Dalam Amerika Syarikat moden, Johnson mengingatkan, memotong cukai membawa kepada hasil yang rendah dan defisit belanjawan yang besar.  Tidak ada cara yang sebaliknya tentang perkara ini, seperti Presiden Ronald Reagan pernah alami pada awal tahun 1980-an. 

"Jika anda memotong cukai, hasil akan jatuh dan defisit akan meningkat.... Jika anda menyembunyikan fakta..., anda terjerumus ke dalam  betul-betul sama  jenis penipuan yang menjatuhkan Greece."

Sementara itu, Robert J. Samuelson dalam The Washington Post,  membangkitkan bahawa sejak krisis kewangan, sesuatu yang menghantui Amerika Syarikat ialah Jepun. Beliau membayangkan bahawa sebagaimana Jepun pada tahun 1990-an, Amerika Syarikat kini berkemungkinan mengalami nasib yang sama: "dekad yang hilang," iaitu pertumbuhan yang tidak seberapa dan pasaran pekerjaan lemah.

"Pengalaman Jepun adalah relevan dengan pemulihan suam Amerika," tulis Samuelson. " Berapa banyak dasar fiskal (dasar belanjawan kerajaan) dan dasar monetari (kadar faedah, keadaan kredit), mengimbangi masalah struktur yang mendasari?  Sejak awal tahun 1990-an, Jepun mengalami dasar monetari yang longgar dan defisit  belanjawan yang besar.  Mereka tidak menyedarkan semula sepenuhnya ekonomi."

Beliau mengingatkan bahawa Jepun menghadapi tiga masalah struktur utama, dan yang menarik, Amerika juga menghadapinya.  Pertama, model ekonomi asas adalah musnah, iaitu model pertumbuhan diterajui eksport untuk Jepun, manakala untuk Amerika, pertumbuhan ekonomi diterajui penggunaan.  Kedua, Jepun menghadapi masalah penduduk berumur dan berkurangan yang melemahkan pasaran domestik dan meningkatkan perbelanjaan kerajaan untuk golongan tua. Amerika Syarikat juga menghadapi masalah yang sama, meskipun masih ringan. Ketiga, kedua-duanya, iaitu Jepun dan Amerika Syarikat mempunyai hutang kerajaan yang sangat besar, mencerminkan pertumbuhan yang perlahan, penduduk berumur, dan program "stimulus."  Di  Amerika, hutang kerajaan kasar melebihi 200 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding dengan angka Amerika Syarikat yang separuh daripada itu. Setakat ini, kedua-dua kerajaan meminjam sesuka hati.

Samuelson mengingatkan bahawa untuk orang Amerika, pengajaran dari Jepun adalah bahawa kehilangan dinamisme ekonomi mengubah kedua-duanya, iaitu sifat kemakmuran dan keadaan nasional. Beliau juga mengingatkan bahawa pemimpin politik mendapati sukar untuk membuat keputusan yang tegas dalam ekonomi yang lemah, dan sikap tidak dapat membuat keputusan mereka menyumbang kepada  kelemahan ekonomi.

Dari segi hal ehwal fiskal, Amerika Syarikat menyerupai Greece, di samping  mengalami nasib yang sama, seperti  Jepun, iaitu "dekad yang hilang."  


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...