Artikel Popular

Friday, March 16, 2012

Tempat Ibadat: Keganasan dan Jenayah Kebencian

SABTU, 17  Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Apabila sebilangan orang Islam membantah pembinaan kuil di Shah Alam dan mengadakan  demonstrasi kepala lembu beberapa bulan lalu,   sebuah akhbar berbahasa Inggeris mencuba  memburukkan golongan yang terlibat itu dengan melabelkan mereka fanatik,   taksub,  dan rasis. Ketua editor akhbar berkenaan, antaranya berhujah bahawa  masjid  juga  terdapat  di tempat  lain yang umat Islam sangat minoriti, seperti di Kowloon,  tanpa sebarang gangguan. 

Apabila  hari-hari permulaan tahun 2010 menyaksikan  serangan terhadap  beberapa buah gereja di Lembah Kelang dan disusuli oleh beberapa serangan gereja dan sekolah  di tempat lain,   ada yang mencuba mengaitkannya dengan  keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu membenarkan Herald:  The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah. Meskipun  negara ini wujud toleransi agama, tetapi bukanlah bermakna serangan terhadap tempat ibadat tidak pernah berlaku: pada pertengahan tahun 1970-an,   kuil di Kerling, Selangor  diserang oleh     golongan fanatik.
Ada yang menyifatkan serangan gereja itu sebagai perbuatan orang “tidak matang,” manakala pihak polis  mengatakan bahawa serangan gereja di Miri, Sarawak sebagai angkara “budak nakal.” Bagi parti pembangkang pula, yang ingin hidup di kedua-dua tempat:  “atas darat”  dan “dalam laut,”  seperti lazim, mereka mengambil jalan mudah dengan  menuding jari kepada UMNO.    
Secara keseluruhannya, boleh  dikatakan tidak ada usaha untuk melihat peristiwa itu dari perspektif yang lebih luas bahawa  serangan  terhadap rumah  ibadat tidak mengenal agama dan berlaku di mana-mana sahaja.  Misalnya,  Masjid al-Aqsa  beberapa kali dibakar atau diserang oleh individu atau kumpulan individu,  atau oleh tentera Israel, misalnya pada tahun 1969, 1981, dan yang terbaru pada Oktober 2009. 
Pada bulan November lalu, warga Switzerland mengundi dengan margin yang selesa (57 peratus, dengan majoriti 22 daripada 26 kanton) untuk mengharamkan masjid di negara itu membina mana-mana menara baru.  Meskipun jauh lebih “beradab” jika dibandingkan dengan perobohan Masjid Babri yang  didakwa didirikan di tapak kuil  Ram,    tetapi langkah Switzerland  itu banyak menerima kritikan: dari Vatican ke Pertubuhan Persidangan Islam. 
Pada bulan itu juga   berlaku kebocoran siasatan  Suruhanjaya Liberhan yang  membangkitkan memori lama tentang perobohan Masjid  Babri    yang terletak  di utara bandar Ayodhya pada 6 Disember 1992. Butiran penemuan suruhanjaya itu disiarkan oleh akhbar Indian Express  mendedahkan penglibatan  pemimpin kanan nasionalis Hindu daripada Parti Bhartiya Janata (BJP),  termasuk  Atal Behari Vajpayee,  Lal Kishan Advani, dan Murli Manohar Joshi. Tindakan golongan fanatik Hindu atau Hindutva merobohkan masjid yang dibina pada abad ke-16 meruncingkan lagi persengketaan agama antara masyarakat Hindu dengan  Islam di India.
Berikutan hasrat untuk menjadikan Ayodhya “Vatican of the Hindus” rusuhan berlaku di sebahagian besar utara dan barat India.  Di  Bombay,  kota yang teruk dilanda rusuhan,  pada pagi 7 Disember 1992, di Muhammad Ali Road, menyaksikan kedai Hindu dibakar, patung pemimpin BJP dibakar, dan kuil diranap dan dimusnahkan.  Sementara di utara Bombay, iaitu di kawasan melarat Dharavi, “rapat umum kemenangan” yang dianjurkan oleh BJP dan Shiv Sena berkesudahan dengan serangan terhadap kedai dan rumah orang Islam.  Sebagai tindak balas, orang Islam menikam sami dan membakar kuilnya.  Seterusnya, pada 9 Disember, pengikut BJP dan Shiv Seva menyerang masjid dan kedai orang Islam di kota itu. 
Perobohan Masjid Babri membawa sengketa yang berpanjangan apabila   tercetus  pergaduhan antara Hindu dengan Islam di Gujarat pada tahun 2002.  Pergaduhan yang bermula di Godhra, sebuah bandar yang terkenal dengan keganasan kaum, merebak ke Baroda dan Ahmedabad, juga ke pekan dan desa, menyaksikan 2161 buah rumah, 1461 buah kedai, 304 buah perusahaan kecil, 71 buah kilang, 38 buah hotel, 45 buah tempat agama, dan 240 buah kenderaan musnah sama sekali atau sebahagiannya.  Dalam pesta keganasan yang menakutkan yang dilakukan secara berkesan itu, 2000 orang Muslim dibunuh; wanita Muslim dirogol dan dibakar hidup-hidup; kubur dan tempat suci Muslim diranap dan dimusnahkan; dan lebih 150,000 Muslim diusir dari kediaman mereka.
Penganut agama   Hindu yang selama ini berbangga bahawa agama mereka menghormati tempat ibadat agama lain dan tidak merosakkan atau memusnahkannya, tetapi dengan pemusnahan Masjid Babri, kebanggaan itu tidak dapat dipertahankan lagi.  Dikatakan bahawa 130  juta penduduk Islam, tidak termasuk golongan minoriti lain, seperti Dalit, Kristian, Sikh, Adivasi, hidup di India di bawah bayang-bayang nasionalisme Hindu.”   Antara  23 Ogos hingga pertengahan September 2008,  dilaporkan lebih 100 buah gereja dibakar dan beribu-ribu penganut agama Kristian diserang di enam buah negeri di India. Berikutan serangan terhadap tiga buah gereja di Karnataka, termasuk dua di Banglore,  Ketua Menteri, BS Yeddyurappa menyalahkan pihak polis kerana gagal untuk mencegah serangan itu. 
  Sebenarnya,  keganasan terhadap tempat ibadat boleh difahami sebagai  jenis keganasan yang berkait dengan agama: keganasan etnoagama atau etnonasionalis dan ekstremisme agama yang disebut fundamentalisme.  Jenis keganasan etnoagama atau etnonasionalis merupakan bentuk ekstrem militan agama yang menghalalkan keganasan dan kadangkala menganggap keganasan tugas dan kewajipan yang suci. Sementara golongan fundamentalis percaya bahawa penyelesaian masalah yang melanda masyarakat adalah dengan menegakkan agama sebagai alternatif yang boleh dilaksanakan untuk  masyarakat sekular.
David Bromley dan Gordon Melton dalam buku yang diedit oleh mereka, Cult, Religion, and Violence, menyatakan bahawa perhubungan antara agama dengan keganasan merupakan perkara yang kian menambahkan minat dan perhatian ahli sains sosial untuk mengkaji aspek yang luas tentang kumpulan dan tradisi agama.  Mereka mengangap  kajian    tentang kaitan antara agama dengan keganasan melibatkan pelbagai isu dan perhubungan yang memerlukan mantera yang sangat berbeza dari segi jenis dan tahap penjelasan bersifat teori.  Mereka juga menganggap keganasan sebagai relasional dan proses dan bukannya sebagai sekadar tindakan sosial semata-mata.
  Keganasan agama bukannya sejarah purba, sebaliknya keganasan ini merupakan berita setiap hari media: Sudan, Ireland Utara, Iraq, Chechnya,  Rwanda, India, Pakistan, Afghnistan, dan banyak tempat lagi. Di Pakistan, dari Januari - November 2009, sekurang-kurangnya 366 orang awam yang tidak bersalah terkorban dan 901 orang cedera akibat tujuh serangan terhadap masjid yang dilakukan oleh  pengganas di seluruh negara itu,  dengan pertolongan pengebom berani mati, di samping kenderaan yang sarat dengan bahan letupan.  Secara purata, 33 orang terkorban setiap bulan dalam tindakan berkait dengan masjid yang dilakukan oleh pengganas, kebanyakannya dikatakan dilakukan oleh Tehrik-e-Taliban Pakistan (TTP).  Sembilan puluh peratus  Islam  di Pakistan terdiri Sunni, sejak bertahun-tahun terbabit dalam perang saudara mazhab dengan Syiah, termasuk saling menyerang masjid. 
  Robert Kaplan memang betul apabila dalam Eastward to Tartary:  Travel in the Balkans, the Middle East, and the Caucasus beliau berkata bahawa toleransi agama dan perlindungan minoriti mungkin lebih baik di bawah pemerintahan diktator.   Iraq selepas   Saddam Hussein digulingkan menjadi kancah  keganasan agama, termasuk   sasaran terhadap masjid:  “anggota militia Syiah menyerang dua buah masjid Sunni,” “tiga lelaki bersenjata menyerang  tiga buah masjid,” “tentera Amerika   menyerang  masjid,” dan bermacam-macam lagi.   Kekejaman  Saddam,  khususnya terhadap puak Kurdish telah diketahui umum, tetapi ketika beliau berkuasa,    tidak ada pelaku bukan negara (non-state actors) yang berani melakukan kekerasan,  termasuk   menyerang masjid.
 Tatkala Iraq dan  Pakistan yang mengalami pergolakan politik  memperlihatkan serangan  terhadap masjid yang serius dan sukar  dibendung yang sentiasa menjadi tumpuan dunia,   tanpa disedari   di tempat  lain juga berlaku peristiwa seperti itu.  Di Fiji, misalnya, serangan terhadap kuil  dikatakan meningkat dalam tempoh lapan atau sembilan tahun.    Pada awal Oktober 2008, di tempat luar Suva,  tiga buah kuil Hindu dibakar.  Kejadian terbaru itu dipercayai  dilakukan oleh kumpulan remaja lelaki yang menganggur. Sejak beberapa tahun, kebanyakan tindakan pencabulan semakin nekad terhadap kepercayaan Hindu.   Akibat serangan yang berterusan itu, penganut  agama Hindu tidak lagi berani beribadat di kuil, dan keadaan ini dikatakan boleh melunturkan kepercayaan penganut berkenaan terhadap agama mereka. 
Tempat ibadat  menjadi sasaran akibat berlaku peristiwa tertentu, seperti 11 September 2001, menyebabkan beberapa masjid diserang bukan sahaja di Amerika Syarikat, bahkan juga di tempat lain, seperti Eropah, Kanada, dan Australia.  Serangan terhadap dua buah masjid di Auckland, New Zealand pada awal Julai 2005 dikatakan perbuatan vandalisme yang bertindak balas terhadap pengeboman di London, kerana di dinding masjid berkenaan diconteng, “R-I-P London.”
Persengketaan di sesebuah tempat boleh menyebabkan tempat ibadat diserang di tempat lain, misalnya serangan Israel ke atas   Gaza,   mendorong serangan terhadap  saumaah di Belanda, Perancis, Scotland, dan sebagainya.  Apabila  berlaku serangan terhadap  kuil di sekitar  di Kuala Lumpur pada pertengahan tahun 1980-an, ada yang mengaitkannya  dengan persengketaan antara Hindu  dengan Sikh yang berlaku di India. 
Pada awal September 2004, kerajaan Nepal mengenakan perintah berkurung di beberapa tempat di Kathmandu selepas lebih 1000 orang menyerang masjid dan mencuba membakar tempat ibadat itu sebagai protes kerana  12 orang warga Nepal yang bekerja sebagai tukang masak dan tukang cuci di Iraq dijadikan tebusan dan dibunuh oleh kumpulan militan. Dengan majoriti penduduknya beragama Hindu, hanya lima peratus beragama Islam,  Nepal bukannya kancah persengketaan agama, dan oleh itu, berlakunya peristiwa seperti itu memang memeranjatkan.
SCG International pada April tahun lalu mengeluarkan sorotan penting daripada kajian selama setahun tentang isu keganasan terhadap gereja dan tempat ibadat lain di Amerika Syarikat.  Kajian  menunjukkan bahawa keganasan terhadap gereja, golongan paderi, dan congregants  terus meningkat,  dan meskipun wujud teknologi maju serta  tatacara keselamatan, kebanyakan tempat ibadat tidak dilengkapi dengan sempurna untuk menangani, bahkan tindakan keganasan yang kecil. 
“Malangnya, peningkatan jumlah gereja dan organisasi agama menjadi mangsa tindakan yang ganas setiap tahun dan masalah ini dijangkakan semakin teruk,” kata Jamie Smith, Ketua Pegawai Eksekutif SCG International. 
Kajian  tentang keganasan terhadap gereja  menunjukkan bahawa ketika kelembapan ekonomi, kemarahan yang meningkat adalah ditujukan kepada Tuhan;  kebanyakan tindakan keganasan terhadap gereja dirancang dan dilakukan oleh individu yang bertindak seorang diri; pelaku adalah kebanyakannya lelaki berumur antara 25 hingga 60 tahun; pelaku melihat gereja mudah dijadikan sasaran; vandalisme dan pencurian mendorong jenayah yang dilakukan terhadap tempat ibadat; dan punca yang menyebabkannya berlaku, termasuk marah terhadap Tuhan dan marah terhadap Gereja.
Pada pertengahan tahun lalu, Scott Stewart dan Fred Burton dalam Global Security & Intelligence Report  mengingatkan bahawa keselamatan di tempat ibadat lebih daripada persoalan kepercayaan.  Dunia menjadi tempat yang berbahaya dan serangan terhadap tempat ibadat akan terus berlaku.
Human Rights First  mengkaji realiti jenayah kebencian yang terjadi setiap hari dan mengancam seluruh komuniti yang sama dengan mangsa berasaskan kaum, agama, atau sifat lain, menyebabkan ramai yang terpaksa hidup dalam ketakutan dan terasing daripada masyarakat yang lebih besar.  Dalam 2008 Hate Crime Survey  organisasi itu mengkaji enam aspek jenayah kebencian yang ganas di 56 buah negara Eropah dan Amerika Utara yang tergolong dalam Organization for Security and Cooperation in Europe (OSCE), iaitu keganasan berasaskan rasisme dan xenofobia; keganasan anti-Semitik; keganasan terhadap Muslim; keganasan berasaskan sikap tidak bertoleransi agama; keganasan terhadap Roma; dan keganasan berasaskan orientasi seksual dan bias identiti gender.  Dalam  keganasan anti-Semitik, keganasan terhadap Muslim, dan keganasan berasaskan sikap tidak bertoleransi agama,  serangan  terhadap tempat ibadat, seperti  saumaah dan masjid turut terbabit.
Menurut kajian itu, pada tahun 2007, kerajaan Eropah dan Amerika Utara gagal mengekang gelombang jenayah kebencian yang ganas yang terus meningkat di wilayah berkenaan.  Rasisme, xenofobia, kebencian anti-Semitisme, anti-Muslim, anti-Roma, sikap tidak bertoleransi agama, dan homofobia: senarai prasangka atau bias yang memarakkan jenayah ini amat panjang.  Serangan merangkumi daripada serangan berbahaya kepada ancaman dan gangguan kepada vandalisme dan pencemaran agama dan harta komuniti. 
Pelakunya merupakan individu yang bertindak sendirian, atau bersama-sama jiran, rakan sekerja, sesama pelajar, di samping kumpulan rapat atau kumpulan yang lebih tersusun yang berkongsi ideologi kebencian dan bertindak terhadap sasaran mereka. Tempat ibadat, tanah perkuburan, dan pusat komuniti Yahudi, menurut kajian itu, merupakan tapak biasa keganasan anti-Semitik.  Mesej kebencian terhadap rumah, sekolah, dan tempat ibadat selalunya peribadi dan eksplisit, mengancam keluarga atau kumpulan tertentu. Sejak tahun 2005, wujud sedikit korelasi dengan peristiwa yang melibatkan Israel dengan Timur Tengah, tetapi tidak bermakna bahawa ancaman ini telah berkurangan.  
Tindakan  keganasan didorong prasangka atau bias terhadap Muslim dan tempat ibadat mereka berterusan.  Masjid, bangunan agama, dan tanah perkuburan merupakan sasaran khusus vandalisme dan perbuatan membakar dengan sengaja pada tahun 2007 dan awal 2008. Dalam beberapa kejadian, teks agama juga dicemarkan dan dimusnahkan.
Kajian itu juga menyatakan bahawa swastika kini digunakan oleh supremacists kaum dan penjual kebencian di seluruh Eropah dan Amerika Utara, mencoteng kubur;  saumaah, gereja, dan masjid; sekolah dan universiti; hostel pelarian dan rumah pendatang. 
Meskipun serangan terhadap tempat ibadat lebih menampakkan pembabitan individu atau kumpulan individu, tetapi tempat ibadat juga menjadi “medan pertempuran” antara kerajaan dengan kumpulan yang dianggap sebagai pengganas atau militan. Pada tahun 1984, tercetus pertempuran antara tentera India dengan puak militan Sikh di Golden Temple di Punjab yang menurut laporan kerajaan,  mengorbankan empat pegawai, 79 tentera, 492 pengganas. Akibat Operation Bluestar yang menimbulkan kemarahan orang Sikh, Indira Ghandi, Perdana Menteri India ketika itu,  ditembak dari jarak dekat oleh dua orang pengawal keselamatannya – kedua-duanya Sikh.  Pembunuhan ini mencetuskan   rusuhan di New Delhi dan di tempat-tempat lain, dengan Hindu membalas dendam terhadap Sikh. Dalam pogrom ini, di Delhi sahaja lebih lebih 1000 Sikh terkorban, manakala di lebih 200  Sikh terbunuh di Uttar Pradesh Misalnya,
Yang terbaru, pada Julai 2007, apabila    tentera Pakistan  menggempur Masjid Lal atau Masjid Merah di Islamad. Sebagaimana Golden Temple,  yang menurut kerajaan menjadi sarang puak militan, demikian  juga dengan Masjid Merah.  Dalam pertempuran selama lapan hari itu, dianggarkan 106 orang terkorban, kebanyakannya puak militan, termasuk ketua masjid itu, Abdul Rashid Ghazi.  Puak ekstremis dikatakan menggunakan masjid sebagai pangkalan untuk menghantar pelajar-pelajar yang diradikalkan untuk melaksanakan versi kemoralan Islam, termasuk menculik  anggota polis dan  melarikan perempuan yang dikatakan pelacur dan mencuba untuk “mendidik semula” mereka di kawasan masjid.
Peningkatan keganasan, secara umum merupakan sebahagian proses barbarinasation – memetik Eric Hobsbawm, yang semakin kuat sejak Perang Dunia Pertama. Dikatakan bahawa  negara kehilangan beberapa monopoli kuasa dan sumber dan banyak kehilangan kesahan yang menuntut warganya patuh kepada undang-undang.  Faktor ini sahaja sudah cukup untuk menjelaskan mengapa keganasan kian meningkat, dan pastinya, tempat ibadat turut menjadi sasarannya.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Mac 2010.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...