Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Sudah lebih setahun saya "bermain-main" dengan blog, dan akhirnya saya sedari bahawa saya jarang-jarang merujuk atau memetik Monthly Review, meskipun kerap juga saya membaca terbitan itu. Sebenarnya, lebih setengah abad Monthly Review menjadi "kubu" puak Kiri dan Marxis dengan mengemukakan perbahasan serta kupasan yang kritis, mendalam, dan menarik.
Dalam keluaran bulan ini, melalui Notes From the Editor, maka diketengahkan persoalan yang mendasari ekonomi dunia pada tahun lalu, iaitu kebekuan. "Dari sudut pandangan Monthly Review, kebekuan semasa bukan semuanya tidak dijangkakan, tetapi mewakili kecenderungan normal modal kewangan monopoli global, terutamanya dalam ekonomi yang matang."
Jelas nota itu lagi, "Kecenderungan ini disembunyikan dalam bahagian semasa tiga dekad lalu atau lebih oleh siri gelembung kewangan (dan sebelum itu oleh perbelanjaan ketenteraan Perang Dingin). Kini, dengan pengewangan (financialization) terhadap kapitalisme yang bergegar adalah sekali lagi bersemuka dengan bayang-bayang kebekuan yang mengerikan, dengan jalan keluar tidak dapat dilihat."
Krisis ekonomi semasa, ada kalanya dibahaskan sebagai krisis struktur. Dalam hubungan ini, Istvan Meszaros, yang menulis dalam Monthly Review bulan ini, menegaskan bahawa "krisis yang kita hadapi merupakan krisis struktur yang amat sangat dan mendalam yang memerlukan pengambilan cara struktur jangkauan yang lebih jauh untuk mencapai penyelesaian mapan." Jelas beliau, "Juga mesti ditegaskan bahawa krisis struktur pada zaman kita tidak berpunca pada tahun 2007, dengan 'pecahnya gelembung perumahan Amerika Syarikat,' tetapi sekurang-kurangnya empat dekad sebelum ini" - yang beliau sendiri bincangkan seawal tahun 1967, dan tulis pada tahun 1971.
Seterusnya, Meszaros menjelaskan bahawa memang tidak memadai untuk membincangkan krisis masa kini tanpa merujuk rangka sosial keseluruhan yang lebih luas. Hal ini bermakna untuk menjelaskan ciri ketegaran dan kedalaman krisis yang berlaku di seluruh dunia hari ini kita mesti menumpukan perhatian terhadap krisis sistem modal dan dalam keseluruhannya. Untuk krisis modal yang kita alami adalah semuanya meliputi krisis struktur.
"Dalam istilah yang mudah dan lebih umum," tulis beliau, "krisis struktur menjejaskan keseluruhan kompleks sosial, yang dalam semua hubungannya dengan bahagian unsurnya atau subkompleks, di samping kompleks lain yang berkait dengannya."
No comments:
Post a Comment