Artikel Popular

Sunday, March 25, 2012

Mendakap Model Kerepot

ISNIN, 26  Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Empat hari lalu, berlegar dalam Twitter bahawa Pope Benedict XVI yang dalam rangka lawatan ke Cuba, menyarankan agar negara itu meninggalkan komunisme. Beliau dilaporkan berkata bahawa Marxisme sudah tidak ada tempat di dunia sezaman dan menggesa rakyat Cuba mencari "model baru."  



Teguran beliau itu, seperti yang diperkatakan oleh John Hooper dalam The Guardian, sekurang-kurangnya seterus terang seperti yang dilakukan oleh pemimpin sebelum beliau, iaitu John Paul II, dalam lawatan pecah tanah ke Cuba 14 tahun lalu.  Menjawab pertanyaan tentang lawatannya ke Cuba, yang masih kekal menjadi kubu komunis sejak lebih 50 tahun, Benedict berkata:  "Hari ini terbukti bahawa ideologi Marxis dari segi cara ideologi difikirkan tidak lagi secocok dengan realiti."

Sejak Kesatuan Soviet berkecai lebih 20 tahun lalu, Cuba dikatakan tinggal keseorangan.  Rusia bersama-sama negara Eropah Timur,   tunduk pada kapitalisme, manakala China  diperhatikan,  ghairah mendakap neoliberalisme: penswastaan, pembatalan kawal selia, dan liberalisasi.  Kemboja, seperti yang dilaporkan dalam Bloomberg Businessweek,  mendakap kapitalisme melalui tawaran awam permulaan (IPO) pertama sejak Pol Pot. 

Cuba yang kini di bawah kepimpinan Raul Castro, seperti yang diperkatakan oleh Jens Glusing,  terbuka selera terhadap pasaran bebas akhir-akhir ini apabila beliau memperkenalkan pembaharuan pasaran.  Gereja Katolik menyokong usaha ini, dan lawatan  Pope Benedict  merangsang usaha untuk membuka negara itu.   Castro dikatakan mahu menggabungkan ekonomi dikendalikan negara dengan pembaharuan berasaskan pasaran dengan harapan mengubah Cuba yang mempunyai 11 juta orang penduduk, menjadi semacam  Vietnam Carribbean. 

Dalam bidang ekonomi, perkara yang tidak dapat difikirkan sebelum ini tiba-tiba berlaku.  Untuk mengurangkan perbelanjaan, kerajaan baru-baru ini memberhentikan 500,000 orang pekerja.  Mereka kini dibenarkan membuka kedai dan perniagaan kraftangan, menjual hartanah, kereta, dan menanam sayur-sayuran di sekeliling rumah.  Dalam tempoh setahun, bilangan perniagaan yang sangat kecil meningkat berganda kepada hampir 350,000 buah.

Hingga baru-baru ini, penerima manfaat daripada ekonomi melambung di Cuba kebanyakannya orang Eropah, Amerika Latin, Kanada, dan Cina.  "Orang Cuba membayar tepat pada waktunya dalam bentuk tunai dan dalam mata wang asing," kata ahli perniagaan Jerman yang menetap di Havana sejak bertahun-tahun. Sesungguhnya, ganancia, perkataan Sepanyol yang bermaksud keuntungan, tidak lagi dianggap perkataan kotor di Havana, tempat wujudnya mentaliti kerubut emas.  

"Dalam laluan ke arah kapitalisme.  Akhirnya, perubahan berlaku di Cuba akhirnya," isytihar The Economist dalam keluaran terbaharunya.  "Amerika Syarikat dapat melakukan lebih banyak untuk menggalakkan perubahan itu."  Pada tahun 1998, Pope John Paul melawat Cuba, menggalakkan pihak luar menunggu pembukaan politik jenis yang menjatuhkan komunisme di negara asalnya, Poland.  Malangnya, bahkan lebih dua dekad selepas runtuhnya Tembok Berlin, Cuba masih kekal sebagai  sebuah negara daripada sebilangan kecil negara di seluruh dunia yang komunisme masih diamalkan.  Fidel Castro yang uzur meletakkan jawatan pada tahun 2006, tetapi adiknya, Raul yang menggantikannya, dikelilingi oleh kumpulan Stalinis yang berumur. 

"Akan tetapi, sekarang kelihatan berbeza," tulis majalah itu. "Raul Castro, meskipun bukannya demokrat, jelas merupakan manusia yang lebih praktik berbanding dengan abangnya.  Beliau mengakui bahawa masa semakin suntuk untuk Cuba. Jumlah penduduk mengecut dan berumur, ekonomi menjadi tidak produktif, dan negara tidak dapat lagi menanggung perkhidmatan sosial  kebapaan yang Cuba pernah banggakan."

Perubahan yang Raul Castro perkenalkan hampir pasti tidak dapat diterbalikkan.  Dalam hubungan ini, kebanyakan perladangan Cuba diswastakan.  Secara keseluruhannya, satu pertiga tenaga kerja negara itu dijangkakan dipindahkan pada tahun 2015 kepada sektor swasta yang baru dilaksanakan.  Rakyat kini boleh membeli dan menjual rumah dan kereta, dan   bilangan telefon bimbit dan komputer di pulau meningkat dengan  pantas.  Keadaan ini kelihatan titik tolak sama dengan revolusi Deng Xiaoping di China. 

Kewajaran dan kebijakan Cuba meninggalkan Marxisme tidak perlu dipersoalkan lagi, meskipun Karl Marx dikatakan semakin popular sejak akhir-akhir ini,  tetapi bagaimana pula tindakan negara itu mendakap pasaran bebas?  Sejak tercetus krisis ekonomi kira-kira empat tahun lalu, pasaran bebas yang menjadi kebanggaan Amerika Syarikat dan sekutunya "dihadapkan ke  muka pengadilan."  Dengan kata lain, pasaran bebas kelihatan seusang-usangnya, lalu membangkitkan persoalan:  Adakah Cuba mendakap model yang sudah kerepot? 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...