Artikel Popular

Tuesday, March 20, 2012

Punca Krisis

SELASA,  20  Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Empat tahun berlalu yang menyaksikan  beratus-ratus kajian dan buku,  tetapi krisis ekonomi terus menghantui.    Kini, dunia dalam laluan  pemulihan, seperti yang diperakui oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF),   dengan mengingatkan bahawa risiko masih wujud. Sementara Bank Dunia pula membawa berita gembira sekurang-kurangnya untuk negara membangun dengan kurangnya kadar kemiskinan.  

Dalam pada itu, debat tentang ekonomi Keynesian merentas Atlantik masih kedengaran.  Tatkala Greece dapat menarik nafas lega seketika kerana dibantu oleh  pelan penyelamat kedua, tiba-tiba Portugal dijangkakan akan menerima nasib yang sama seperti GreeceMemandangkan keterukan krisis ekonomi yang berlaku, Paul Krugman dalam wawancara dengan majalah Playboy mencadangkan mereka yang bertanggungjawab terhadap krisis ekonomi yang tercetus di Amerika Syarikat itu dihumbankan ke dalam penjara. 

Kajian dan buku tentang krisis ekonomi Amerika Syarikat, bahas Robert J. Samuelson, memberikan gambaran semakin terperinci apakah yang berlaku tanpa memberikan jawapan mengapa yang muktamad.  Kebijakan konvensional mengemukakan teori yang saling bersaing, iaitu jenis Wall Street yang mengambil terlalu banyak risiko, digalakkan oleh kurangnya kawal selia kerajaan, atau dasar propemilikan rumah menjejaskan standard pemberian pinjaman gadai janji dan mewujudkan gelembung perumahan. "Sebenarnya," hujah beliau lagi, "kedua-dua teori betul, dan tiada satu yang silap."

Jelas Samuelson, ledakan meletup kerana keyakinan yang diwajarkan menjadi optimisme yang  kurang bijak.  Dengan mempercayai dunia kurang berisiko, maka orang ramai mengambil lebih banyak risiko.  Bank-bank pelaburan dan isi rumah meningkatkan hutang mereka.  Standard pemberian pinjaman terhakis kerana prospek bayaran semula peminjam difikirkan semakin meningkat.  Pengawal selia memandang ringan kesilapan kerana pasaran dianggap lebih stabil dan melakukan pembetulan sendiri.  Di pinggiran, standard etika berselumu; jenayah meningkat.

Namun, Samuelson mengakui pandangan beliau tidak mendapat perhatian kerana beliau menulis perkara yang sama sebelum ini dalam The Wilson Quaterly. Beliau juga memetik keluaran terbaharu Journal of Economic Literature yang memuatkan dua makalah ulasan, iaitu ringkasan 21 buah buku tentang krisis oleh ahli ekonomi dan wartawan, dan satu lagi analisis lain 16 kertas ilmiah dan kajian.   "Tidak ada satu pun setakat ini," tulis beliau, "menunjukkan penjelasan krisis  gelembung-ledakan ini.  Hanya 'gelembung' yang disentuh ialah gelembung perumahan.  Tidak wujud pengertian sejarah yang mengakui bahawa peristiwa ahri mungkin akhirnya berpunca daripada peristiwa bertahun-tahun atau berdekad-dekad lalu."

Boleh dikatakan dunia kini masih rapuh, meskipun tanda pemulihan jelas kelihatan. Seperti yang diperingatkan oleh Nouriel Roubini,  bahawa dunia yang rapuh ini terdedah dengan pelbagai risiko, dan yang paling serius ialah kenaikan harga minyak. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...