Artikel Popular

Thursday, January 3, 2019

Ketuanan Melayu: Jati Diri dan Maruah

JUMAAT, 4 Januari 2019
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Ketuanan Melayu yang meledak dalam beberapa hari ini, menurut tafsiran cerdik pandai politik dan pandangan umum, lahir daripada perjuangan nasionalis Melayu menentang Malayan Union, dan dikaitkan dengan perjuangan UMNO, sedangkan kelahiran  parti ini merupakan lanjutan daripada penentangan tersebut. Ketuanan Melayu yang dianggap keperdanaan dalam   penentangan Malayan Union,    Perjanjian  Persekutuan tahun 1948 dan kemerdekaan Tanah Melayu  tahun  1957, pernah  bergema semula pada pertengahan tahun 1980-an.
            Dalam Sulalat al-Salatin atau Sejarah Melayu, dinyatakan hubungan tuan dengan rakyat, apabila  Demang Lebar  Daun berwaad dengan  Seri Teri Buana.  Untuk berwaad, Demang Lebar membahasakan Seri Teri Buana “Yang Dipertuan” dan “patik” untuk dirinya sendiri. Beliau memohon janji daripada Seria Teri Buana:  “Tuanku, segala anak cucu patik setia akan jadi hambalah ke bawah Duli Yang Dipertuan.  Hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu tuan hamba.”  Waad ini diitafsirkan sebagai “kontrak sosial” antara raja dengan rakyat.
Dari segi sejarah politik tanah air,  konsep ketuanan Melayu dapat dikesan dalam perjuangan golongan radikal Melayu, iaitu Kesatuan Melayu Muda (KMM), Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS), dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), yang mengimpikan sebuah negara bangsa “Indonesia Raya” atau “Melayu Raya.” Sejak awal lagi,  PKMM merupakan parti berfokus Melayu  dan idea  sebuah negara tidak terhad kepada Semenanjung Tanah Melayu sahaja, tetapi mencakupi semua penutur bahasa Melayu  dalam satu entiti politik yang menyatukan bangsa di Tanah Melayu dan saudara-mara mereka di Indonesia seperti yang wujud pada zaman Majapahit sebelum penjajah memisahkan mereka.    
Dr. Burhanuddin al-Helmy, pemimpin PKMM, dalam bukunya setebal 52 halaman, tulisan Jawi, Sejarah Perjuangan Kita, antaranya menulis: “Kerana hanya begitulah sahaja, baru dapat menimbulkan rasa keyakinan dan kepercayaan yang  teguh yang akan menjadi ‘asas dan dasar’ kita memperjuangkan cita-cita suci menuju matlamatnya – iaitu ‘merdeka’ – merdeka dalam erti kata yang sebenar-benarnya, iaitu kemerdekaan bangsa, agama, dan tanah air. (Bangsa Melayu menjadi tuan di tanah airnya sendiri).”  Ayat  dalam kurungan itu memang  jelas akan maksudnya, tidak perlu, “sudah terang lagi bersuluh.”
          Pada hakikatnya, keperluan individu-individu  untuk harga diri menyebabkan mereka percaya  kumpulan mereka lebih baik daripada kumpulan lain. Pertimbangan mereka tentang kebangkitan dan kejatuhan diri dengan peruntungan diri yang dengan kumpulan itu mereka mengenali diri mereka dan pada takat tertentu dengan orang lain yang tidak termasuk dalam kumpulan mereka.
Justeru, ketuanan Melayu sepatutnya difahami dalam konteks jati diri dan maruah, dan bukannya cuba memperlekehnya, apatah lagi,  “memberikan jawapan yang silap kepada soalan yang silap.” Jika diperhatikan, ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh golongan radikal  dan golongan nasionalis   adalah demi  jati diri,  harga diri, dan maruah bangsa di sebuah negara terjajah selama beratus-ratus tahun. Bangsa yang terpaksa tunduk pada hegemoni Eropah, tetapi pada dasarnya,  mereka  masih mampu mempertahankan kesinambungan  tatanegara atau  politi Melayu: Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu,  dan adat istiadat Melayu.
          Untuk memahami ketuanan Melayu, sewajarnya kita merujuk konsep jati diri dan maruah yang diperkenalkan oleh Francis Fukuyama. Dalam buku terbaharunya, Identity: The Demand for Dignity and the Politics of Resentment, Fukuyama menegaskan, jati diri  berkembang pada mulanya daripada perbezaan antara diri dalaman sebenar seseorang dengan dunia luaran peraturan sosial dan norma yang tidak mengiktiraf nilai atau maruah (dignity) diri dalaman dengan secukupnya. Beliau menjelaskan bahawa diri dalaman ialah asas maruah manusia, tetapi sifat  maruah itu ialah pemboleh ubah dan berubah sepanjang masa. Dalam banyak budaya awal,  maruah   dianggap dimiliki oleh sebilangan orang, selalunya pahlawan yang rela berkorban nyawa dalam peperangan. Dalam masyarakat lain, sifat semua manusia berasakan nilai intrinsik mereka. Dalam kes lain, maruah kepada keanggotaan seseorang dalam kumpulan yang besar yang berkongsi memori dan pengalaman. Akhir sekali, maksud dalaman maruah mencari pengiktirafan. Tidak ada gunanya seseorang itu mengatakan dirinya bernilai atau bermaruah sekiranya orang ramai tidak mengiktirafnya secara terbuka.
Thomas Hobbes, John Locke, dan Jean-Jacques Rousseau, pernah   menjelaskan keadaan semula jadi (state of nature) ialah cara dan metafora untuk membincangkan sifat semula jadi manusia.  Walau bagaimanapun, keadaan semula jadi yang diperkenalkan oleh tiga pemikir moden awal – Hobbes, Locke, dan Rousseau – yang wujud sejak dari awal dunia sebelum kewujudan masyarakat manusia – hanya metafora untuk sifat semula jadi manusia, iaitu ciri paling asas manusia yang wujud secara bebas daripada masyarakat  atau budaya tertentu. Manusia tidak dapat tidak, akan  memerlukan hormat yang sangat tinggi berbanding dengan yang lain. Untuk menafikannya adalah menafikan kemungkinan kecemerlangan manusia. Isothymia menuntut supaya kita mengiktiraf kesamaan asas rakan manusia kita. Thymos ialah bahagian jiwa yang mencari pengiktirafan.
Maruah dan pengiktirafan saling berkait. Ahli falsafah Jerman Friedrich Hegel menegaskan bahawa  sejarah manusia dipacu oleh perjuangan untuk pengiktirafan. Tuntutan ini pada mulanya datangnya daripada pahlawan yang rela menggadai nyawa mereka dalam peperangan yang sengit, bukan demi wilayah dan kekayaan, tetapi demi pengiktirafan.
Keinginan supaya negara mengiktiraf maruah asas seseorang  merupakan teras gerakan demokrasi sejak Revolusi Perancis, dan berlanjutan dalam revolusi sezaman.  Dalam Identity,  Fukuyama membangkitkan peristiwa yang berlaku di Tunisia pada Disember 2010 dan Revolusi Maruah di Ukraine yang bermula pada November 2013. Revolusi Melati di Tunisia,  berlaku secara spontan, tanpa arahan, tanpa pemimpin, dan  tanpa organisasi.  Revolusi ini  dilakukan  seorang diri oleh penjual sayur, Mohamed Bouazizi yang tidak menganggotai mana-mana parti politik, tidak menegakkan apa-apa slogan, dan bahkan tidak menuntut pembaharuan demokratik.    Bouazizi ketika itu berusia  26 tahun, tidak mempunyai ijazah universiti,  bertindak membakar dirinya di depan pejabat daerah, yang akhirnya mencetuskan revolusi di Tunisia dan dengan cepat merebak ke dunia Arab: Mesir, Libya, Yaman, dan Syria.
Berdekad-dekad   sebelum berlakunya Pemberontakan Arab kedua itu,  orang Melayu berbelas-belas  ribu atau  berpuluh-puluh ribu orang turun di jalanan di setiap negeri, mendesak pengiktirafan maruah, menentang Malayan Union.  Di  Tanah Melayu,  buat pertama kali, wanita menyertai demonstrasi terbuka  di jalanan. Orang Melayu dan para penyokong mereka membantah kedudukan  Raja-Raja Melayu yang merupakan nilai simbolik yang sangat besar kepada orang Melayu, yang diturunkan martabat mereka, dan mengkritik konsesi politik kepada orang bukan Melayu.  Selama ini, British dianggap sebagai “pelindung” dan bukannya “penjajah” di Negeri-Negeri Melayu.   British sendiri pernah berjanji bahawa negeri-negeri ini akan sentiasa sebagai Negeri-Negeri Melayu dan mereka hanya diminta membantu supaya negeri tersebut ditadbir secara aman. 
 Apabila  golongan radikal dan  nasionalis Melayu   memperjuangkan  ketuanan Melayu sebelum negara mencapai kemerdekaan, pada hakikatnya, mereka menegakkan maruah bangsa dan menuntut pengiktirafan, sejajar dengan status sebagai anak watan.  Sebagai bangsa yang mempunyai maruah, mereka tidak mahu diri mereka diaibkan. Tindakan seperti ini  sejajar dengan peringatan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, “Sedarlah! Apabila Melayu memilih untuk merendahkan bangsanya sendiri, maka akan terbukalah jendela yang memberanikan bangsa lain untuk menghinanya. Lalu Melayu akan dipandang fakir – adat budayanya akan tersingkir.”
Menurut Fukuyama, meskipun Martin Luther, Immanuel Kant, Rousseau, dan Hegel memahami maruah dalam cara berbeza, mereka ialah universalis, kerana mereka mempercayai kesaksamaan maruah semua manusia berasaskan potensi mereka untuk kebebasan dalaman. Tuntutan pengiktirafan maruah  untuk golongan yang terpinggir dan tidak dihormati selalunya berubah menjadi gerakan politik: nasionalisme dan Islamisme. Pada abad ke-19 dan ke-20, nasionalisme dicetuskan secara pesat oleh golongan intelektual, elit politik, dan sekali-sekala oleh elit ekonomi.
Keterpinggiran pernah dialami oleh  rang Melayu; mereka tinggal di kawasan luar bandar, bergantung pada pertanian yang lebih bersifat sara diri, dan tersisih daripada kegiatan ekonomi moden yang lazimnya tertumpu di bandar. Dengan ketuanan Melayu yang diperjuangkan itu – memetik Fukuyama sekali lagi:  “Golongan elit  membangunkan daya tarikan yang canggih dan membangkitkan emosi terhadap golongan yang mereka fikirkan boleh membentuk jati diri nasional dan menyokong mereka untuk perjuangan nasionalis.”
Dengan terhapusnya Malayan Union dan terbentuknya Kerajaan Persekutuan pada 1 Februari 1948,  Raja-Raja Melayu kembali bertakhta dan berkuasa semula di negeri masing-masing. Menurut catatan Leon Comber, “oleh sebab Raja-Raja Melayu diiktiraf sebagai raja berdaulat, maka bermakna dari segi perlembagaannya, Persekutuan Tanah Melayu ialah negeri Melayu.”  
Fukuyama yang pada suatu masa dahulu mengisytiharkan kemenangan demokrasi liberal, akhirnya akur bahawa jati diri atau jati diri politik, ialah  idea moral yang sangat berkuasa. Penegasan   ini  mengingatkan kita bahawa  tidak ada satu bangsa pun di dunia ini yang mahu maruah mereka dihina dan diperlekeh.  Memang  aneh, tatkala kebanyakan gerakan sosial sezaman memperjuangkan jati diri dan menegakkan maruah mereka, ada sebilangan ahli politik tanah air yang kononnya berpandangan global,  mengisytiharkan ketuanan Melayu sudah berkubur.
Dalam konteks yang yang lebih luas, dengan ketuanan Melayulah  Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan seterusnya, negara bangsa Malaysia terbentuk. Akan tetapi,  “kontrak sosial” atau “tolak ansur” yang dipersetujui, menurut Muhammed Abdul Khalid dalam bukunya, The Colour of Inequality:  Ethnicity, Class, Income, and Wealth in Malaysia, “negara Melayu yang wujud sejak 500 tahun kini dikongsi dengan orang lain. Negara ini  berubah selama-lamanya.” Walau bagaimanapun, Muhammed yang kini berkhidmat sebagai penasihat ekonomi Perdana Menteri, dalam menghasilkan sebuah buku yang sangat berpengaruh  yang membincangkan dan membahaskan ketidaksamaan – kembar kesaksamaan – tidak pula menuding jarinya  terhadap ketuanan Melayu.  Dengan kata lain, antara ketuanan Melayu dengan kesaksamaan, tidak wujud hubungan sebab-musabab sama sekali,  “jauh panggang dari api.” Sebarang usaha untuk mengaitkan kedua-duanya, diibaratkan “mencari geliga ular sawa dalam mulut naga” yang pastinya, tidak akan ditemui hingga ke hujung benua.
Sebarang usaha untuk menafikan  kesinambungan ketuanan Melayu, apatah lagi dengan mereka-reka  alasan yang karut-marut,  lebih menampakkan kejahilan sejarah  individu (individu-individu) tertentu.  Sesungguhnya, ketuanan Melayu bukan retorik politik yang  menimbulkan kejijikan, dan bukan juga  punca segala kejahatan dan kecelakaan semata-mata kerana  “sekali air bah, sekali pasir berubah.” Apabila melihat ledakan yang berlaku dalam beberapa hari ini, terutamanya dalam media sosial, jelas menunjukkan bahawa  ketuanan Melayu sebagaimana asal-usulnya,  merentas ideologi politik,   akan berkembang mekar sepanjang zaman, dan tidak akan terhakis dalam memori sejarah.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...