Artikel Popular

Tuesday, February 28, 2012

Obama Tidak Cakna Keselamatan Israel?

SELASA,  28  Februari  2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Hari demi hari, Israel memperlihatkan keghairahannya untuk menyerang Iran.  Lambat-laun, sama ada secara bersendirian ataupun bersama-sama Amerika Syarikat, Israel akan memusnahkan program nuklear Iran. Tatkala gendang perang Israel gegak-gempita, berdentum-dentam, dan tatkala helang berterbangan di Washington dan Tel Aviv, tidak kurang pula peringatan bahaya atau akibat buruk jika Iran diserang.    

Michael Boyle yang menulis dalam The Guardian semalam, mengingatkan kesilapan strategik jika Iran diserang. Para perancang ketenteraan mungkin membayangkan untuk mengebom kemudahan  nuklear Iran, tetapi mana-mana penilaian rasional melihat tindakan itu suatu malapetaka.  Serangan Israel terhadap Iran dijangkakan akan mengheret Amerika Syarikat ke dalam kancah peperangan yang baru.

Bagi Presiden Barack Obama, yang akan mempertahankan Rumah Putih pada bulan November ini, konflik Israel-Iran boleh menjejaskan peluangnya untuk memenangi penggal kedua dalam Pilihan Raya Presiden, meskipun Fareed Zakaria yang menulis dalam Time akhir bulan lalu, memperlihatkan Obama mengambil tindakan yang tegas terhadap Iran. Presiden Obama cuba berunding dengan Teheran dan mengenakan  sekatan yang keras terhadap negara itu. Bagi calon-calon Presiden Republikan, Obama kelihatan "lembik" dalam menangani Iran.  Sementara Pakatan Yahudi Republikan, dikatakan  menggasak Presiden Obama kerana keputusannya mengurangkan pendanaan antipeluru berpandu untuk Israel. 

Sementara Israel memperlihatkan bahawa satu-satu pilihan muktamad terhadap Iran ialan serangan, tinjauan pendapat menunjukkan bahawa majoriti Amerika bersedia untuk menggunakan kekerasan untuk menghentikan Iran daripada membina senjata nuklear.  "Presiden Obama," tulis James Traub, "tertekan, bukan sahaja daripada partinya sendiri, tetapi juga daripada musuhnya."  Selain itu, Pentadbiran Obama dan Israel dikatakan menghantar mesej bercampur-campur tentang Iran

Tatkala Obama kelihatan tidak bersama-sama Israel untuk menyerang Iran, Teheran dan Washington didakwa menemui ikatan bersama yang memeranjatkan: berpura-pura bahawa mereka mungkin sedang menuju ke arah perundingan yang serius untuk menyekat kapasiti nuklear Iran.  Yang lebih lagi, mereka berpura-pura untuk alasan yang sama: untuk mencegah serangan Israel terhadap Iran.  Demikian spekulasi Leslie H. Gelb, "konspirasi Iran-Washington."

Obama yang bermain permainan bahaya dengan Iran, menurut satu makalah dalam The Daily Beast, yang mendedahkan pertemuan kira-kira tiga lalu.  Sebelum berpindah ke Rumah Putih, Barack Obama mula berbincang dengan Israel tentang program nuklear Iran, dan bahkan ketika itu wujud rasa tidak percaya.  Beliau bertemu pada tahun 2008 dengan beberapa orang Israel, termasuk Benjamin Netanyahu - sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, dan meyakinkan setiap orang tentang kenekadannya untuk menghentikan Iran daripada membina senjata nuklear.  Netanyahu amat tertarik terhadap apa yang beliau dengar itu.  Akan tetapi, yang menjadi masalah Netanyahu, adalah bahawa Obama tidak bercakap secara khusus tentang keselamatan Israel. 

Ringkasnya,  Obama menentang program nuklear Iran, tetapi keselamatan Israel bukan sesuatu yang penting.  Demikian juga pertemuan Obama dengan Netanyahu pada Januari  tahun ini, beliau menyatakan bahawa Rumah Putih tidak mahu Israel memulakan peperangan,  meskipun ketika itu beliau menjelaskan kepentingan dasar negara Amerika Syarikat dalam berurusan dengan program nuklear Iran.  


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...