Artikel Popular

Friday, March 8, 2013

Romney Muncul Meratapi Kekalahan

JUMAAT,  8 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Selepas hampir empat bulan mengasingkan dirinya berikutan kekalahan dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada November lalu, +Mitt Romney akhirnya dijadualkan akan menyampaikan ucapan dalam  Conservatif Political Action Conference (CPAC). Hantu Mitt Romney merayau, demikian ulas David Freedlander.  Selain Romney, isterinya Ann turut muncul bersama-sama beliau.

Dalam wawancara dengan +Fox News, Romney memberitahu bahawa beliau tidak dapat menjangkakan bahawa beliau akan kalah.  Dalam wawancara yang dipetik dan diulas secara meluas, antaranya oleh David Corn, Daniel Politi,  dan Peter Beinart,  Romney memberitahu bahawa beliau menyedari kekalahan pada pukul 8.00 atau 9.00 malam ketika satu demi satu keputusan Pilihan Raya Presiden diketahui: peluang beliau untuk ke Rumah Putih hancur sama sekali.

Sejak kekalahannya, Romney dilaporkan melawat +Disneyland  di California, dan mengunjungi   Rumah Putih pada akhir November,  atas undangan Presiden +Barack Obama, yang perbualan mereka dirakamkan oleh John Kenney.

Agak aneh, jika Romney tidak dapat membaca tanda atau isyarat yang beliau menjunam ke dalam lembah kekalahan.  Tinjauan demi tinjauan pendapat, iaitu sejak beliau muncul sebagai pemenang pemilihan awal Republikan - hanya menunggu pengesahan partinya itu, menunjukkan bahawa beliau tidak pernah mendahului Barack Obama.  Hanya selepas debat pertama Presiden yang Obama kelihatan terpinga-pinga dan Romney mencatatkan kemenangan, beliau berjaya merapatkan jurang dalam perlumbaan ke Rumah Putih. Demikian juga dengan peramalan, yang dilaksanakan oleh  Nate Silver dan  Sam Wang antaranya, tidak menunjukkan Romney akan menang.

Tidak seperti dua orang calon Presiden yang kalah sebelum ini, iaitu John Kerry dan +John McCain - kedua-duanya senator hingga kini (kecuali Kerry yang meletakkan jawatan untuk berkhidmat sebagai Setiausaha Negara menggantikan Hillary Clinton), Romney tidak memegang apa-apa jawatan.  Bahkan regu beliau, calon Naib Presiden, iaitu +Paul Ryan kekal sebagai anggota perwakilan  kerana beliau berjaya mempertahankan kerusi Wisconsin dalam pilihan raya tahun lalu.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...